"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM geledah pejabat YTL siasat 1BestariNet

Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, hari ini.

"Hasil penggeledahan itu, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

"Siasatan menjurus kepada dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion," menurut sumber.

Sumber berkata, fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau meminta semua pihak supaya memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019 disaran menjalankan satu penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.

Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.

Tiada ulasan: