"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haji Hadi: PAS mesti menang di Sabah demi 'merdekakan' negara

Malaysiakini

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti itu perlu bertanding dan memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Abdul Hadi berkata untuk membolehkan PAS mentadbir negara, parti itu perlu terlebih dahulu menang di negeri bawah bayu itu.

"PAS mesti memperkasakan kedudukan di Sabah. Bagi melaksanakan perkara ini maka kita mesti menang di Sabah atau ada kerusi yang kita menangi.

"Sama ada kerusi kita atau kita ajak kawan-kawan parti lain yang bergabung bersama-sama dengan kita untuk menubuhkan kerajaan demi memerdekakan negara kita sepenuhnya tanpa bergantung dengan makhluk asing," katanya dalam kenyataan di Facabook malam tadi.

Abdul Hadi berkata dia melihat PAS mempunyai masa depan di Sabah memandangkan ramai yang hadir pada Konvesyen PAS di Kota Kinabalu semalam terdiri daripada kalangan anak muda.

Tambahnya, pilihan raya umum yang lepas menunjukkan ramai kalangan ahli Umno dan anak muda memberikan undi kepada parti itu sehinggakan PAS dapat memerintah di empat buah negeri.

"Kita ada peluang lima tahun sekali bagi memilih kerajaan. Beri peluang kepada PAS untuk memimpin kerajaan.

"Kita mengharapkan perubahan yang telah berlaku kepada anak muda yang merupakan perubahan yang positif kepada Sabah," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abdul Hadi menekankan perlunya PAS mempunyai kerusi di negeri ini untuk mewakili suara parti itu.

Ketika ini, PAS mempunyai seorang Adun dilantik, iaitu Aliakbar yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.

PAS pernah meletak calon di beberapa kerusi pada beberapa pilihan raya sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Tiada ulasan: