"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu mabuk dipenjara 10 tahun, denda RM70,000, hilang kelayakan memandu 10 tahun

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Lee Han Wee, 45, didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kakitangan MBMB tiga tahun lalu. - NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Lee Han Wee, 45, didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kakitangan MBMB tiga tahun lalu. - NSTP/ MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
MELAKA: Penyelia syarikat hiasan dalaman dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, selain denda RM70,000 dan hilang kelayakan memandu 10 tahun selepas disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap Lee Han Wee, 45, di akhir kes pembelaan hari ini selepas meneliti secara maksimum keterangan saksi bersama hujahan kedua-dua pihak, selain rayuan dan pemberatan.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu, manakala pendakwaan sebaliknya membuktikan kes melampaui keraguan dan mensabitkan tertuduh bersalah.

"Tertuduh dengan ini dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dari tarikh sabitan hari ini dan didenda RM70,000 gagal bayar 12 bulan penjara.

"Selain itu lesen memandu kelas D digantung 10 tahun selepas tertuduh menjalani hukuman penjara," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Han Wee didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian Abdul Rahim Mohamad, 53, di Jalan Limbongan, Klebang pada jam 12.45 pagi, 29 November 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tuan Ahmad Sazali Omar dan Sharina Farhana Nor Sa'ari, manakala tertuduh diwakili peguam Al Hirzan Mohd akhir.

Peguam memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi mengemukakan rayuan di mahkamah tinggi, atas beberapa alasan termasuk tertuduh cedera tulang pinggul dan memerlukan rawatan susulan di hospital pakar, namun dibantah pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bagi penangguhan hukuman penjara manakala denda perlu dibayar hari ini selain jaminan dinaikkan kepada RM20,000.

Sementara itu, bekas isteri mangsa, Norizan Mat Isa,43, melahirkan rasa syukur atas hukuman diputuskan mahkamah dah menganggap kematian arwah suaminya yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sudah terbela.

Peniaga kuih itu berkata, tiga anaknya iaitu Wardah,23;Nurul A'liyah,16, dan Sofia U'mairah,14, turut terbabit dalam kemalangan itu dan mengalami kecacatan kekal.

"Pada lengan Wardah masih terdapat besi, manakala Nurul A'liyah cedera pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat. Sofia U'mairah pula patah tangan dan menjejaskan pergerakannya," katanya.

Tiada ulasan: