"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Sembunyi kematian, 4 individu dipenjara 20 bulan di Melaka

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Empat tertuduh dengan diiringi polis dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh hari ini- Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Empat tertuduh dengan diiringi polis dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh hari ini- Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
MELAKA: Empat individu dijatuhi hukuman penjara 20 bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyembunyikan kematian dua lelaki pada Julai tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45, dan Lim Chien Voon, 42, selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi kesalahan dengan menyembunyikan kematian Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26, di rumah No 6, Jalan Melur 2, Taman Paya Rumput Perdana, di sini, antara 7 hingga 10 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan (KK), sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.

Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah mewakili tertuduh pertama, Lok manakala Nahdan Rengganathan Abdullah mewakili Daniel dan Lim. Tertuduh ketiga, Woon tidak diwakili.

Dalam rayuannya, Asyraaf menyatakan Lok seorang duda dan bekerja sebagai kontraktor sebelum ditangkap serta menyara dua anak masih belajar berusia 20 dan 17 tahun serta ibu berusia 80 tahun.

Katanya, tertuduh turut menghidap gout dan merayu hukuman penjara minimum antara 18 hingga 20 bulan dari tarikh ditangkap.

Rengganathan turut memohon hukuman ringan atas alasan Daniel yang juga penjual sayur dan Lim (pemandu Grab) sudah insaf dan mengaku bersalah sejurus ditawarkan pertuduhan pilihan hari ini, selain mereka turut mengalami tekanan mental sebelum ini kerana dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 KK.

Sementara itu, tertuduh ketiga, Woon memberi alasan sudah berpisah dengan isteri dan menanggung tiga anak serta ayah berusia lebih 70 tahun.

Pihak pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan terhadap semua tertuduh.

"Tindakan semua tertuduh menyembunyikan mayat kedua-dua mangsa menyebabkan polis hilang peluang untuk menyiasat punca kematian. Pohon hukuman setimpal dikenakan," katanya Wardah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Lok, Daniel dan Lim bermula dari tarikh ditangkap 20 Julai 2023, manakala Woon (23 Julai 2023).

Mengikut fakta kes, polis menerima aduan awam mengenai penemuan bungkusan dipercayai mengandungi mayat manusia di tepi jalan hujung padang Cheng.

Hasil pemeriksaan polis menemui dua mayat lelaki berbungkus ditinggalkan di tepi jalan bersemak berhampiran kubur Kristian yang kemudiannya disahkan sebagai Stanley Chew Kok Kin dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Soo Yao Long beralamat di Taman Cahaya Kota Putri, Masai, Johor.

Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan(KK) dan berjaya menahan empat lelaki iaitu tertuduh.

Tiada ulasan: