"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

HSA siasat dakwaan pakar perubatan lakukan gangguan seksual

Azizi Majid

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pakar perubatan di Jabatan Anestesiologi.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Jawatankuasa Khas Siasatan sudah ditubuhkan pengurusan hospital berkenaan bagi menyiasat laporan itu yang diterima pada 28 Ogos lalu.

Menurut JKNJ, siasatan itu dibuat susulan laporan sebuah portal yang mendedahkan dakwaan terdapat pihak tertentu meminta pengadu menarik semula laporan salah laku berkaitan gangguan seksual berkenaan.

“Siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut garis panduan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.

“Pihak hospital tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyembunyikan, menyekat, menekan atau menghalang mana-mana warga kerja daripada membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual,” menurut kenyataan itu.

JKNJ memaklumkan, HSA sentiasa komited memastikan keadilan kepada semua pihak, selain memelihara ketelusan dan integriti proses siasatan pada setiap peringkat.

“JKNJ bersama pihak hospital kekal komited untuk menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan profesional serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, intimidasi atau salah laku,” jelas kenyataan itu.

Tiada ulasan: