Nur Alif Hazmi
SHAH ALAM: Pergaduhan di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya, yang tular baru-baru ini bukan berpunca isu perkauman, sebaliknya akibat tidak puas hati tindakan pihak pengurusan perumahan memutuskan bekalan elektrik.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata siasatan mendapati bekalan elektrik diputuskan ke premis perniagaan suspek yang dipercayai beroperasi secara tidak sah dengan suspek meminta bekalan disambung semula, namun permintaan itu tidak dilayan.
“Tidak ada isu perkauman cuma tidak puas hati (bekalan elektrik diputuskan),” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Beliau berkata, dalam kejadian pada 9 Okt berkenaan, suspek kemudian memanggil beberapa rakannya bersemuka dengan pihak pengurusan dan penduduk kawasan itu.
Shazeli berkata, susulan itu lima lelaki direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, sambil memaklumkan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
Sebelum ini, tular di media sosial klip video memaparkan antaranya beberapa individu memegang parang bertengkar dengan penduduk di sebuah kawasan perumahan dipercayai di Taman Medan Jaya.
Kawasan perumahan tersebut yang dilengkapi pagar keselamatan bagaimanapun berjaya menghalang individu terbabit daripada memasuki kawasan untuk melakukan serangan.
Dalam perkembangan berasingan, polis belum menerima maklumat baharu untuk mengenal pasti mayat lelaki yang ditemukan di ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 27 Ogos lalu.
Pada 15 Sept lalu, FMT melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan waris lelaki itu, yang identitinya masih belum diketahui selepas mayatnya ditemukan di ruang simpanan tayar pesawat yang tiba dari Tokyo, Jepun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan