Padah salah guna subsidi, MOF sekat pemilik stesen minyak & ahli keluarga dari guna BUDI MADANI
SITI NUR ZAWANI
Kementerian Kewangan (MoF) telah mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang dengan menyekat stesen berkenaan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI.
Ia susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi.
Kementerian itu berkata, tindakan berkenaan diambil susulan aduan beberapa penerima BUDI MADANI yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.
Semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) direkodkan, melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
“MoF telah menyekat stesen minyak berkenaan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI.
“Kementerian juga menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak tersebut, dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.
“Menyekat sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka, daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOF, semua pengadu telah membuat laporan polis berhubung penggunaan maklumat MyKad mereka tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.
MoF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.
Sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka.
Kementerian itu berkata, BUDI MADANI dirangka bagi memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.
“Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api,” ujarnya.
Kerajaan MADANI menegaskan bahawa pemantauan transaksi BUDI MADANI akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan program berkenaan.
“Kerajaan MADANI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan BUDI MADANI. Kerajaan sentiasa memantau transaksi BUDI MADANI dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” menurut MOF.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan