Agensi

LILY Jones ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman pada Jun lalu. FOTO Polis Gwent/PA.
Newport, United Kingdom: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa menikam seorang remaja perempuan, Lilly Jones sebanyak 55 kali selepas mereka bertemu di sebuah taman berhampiran rumah mangsa di selatan Wales, Jun lalu.
Memetik laporan The Guardian, mayat Lilly, 14, ditemukan dua hari kemudian di kawasan hutan kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas polis melancarkan siasatan berikutan laporan kehilangannya.
Mahkamah diberitahu, Lilly dan tertuduh sudah beberapa bulan berhubung menerusi mesej selepas mula menunjukkan minat antara satu sama lain pada Mac lalu ketika mangsa berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, Lilly kemudian mengetahui tertuduh turut menjalin hubungan dengan seorang gadis lain. Kedua-dua remaja perempuan itu dikatakan berkawan dan merancang untuk bersemuka dengan tertuduh.
Pendakwa raya, Anna Pope KC berkata, Lilly keluar rumah kira-kira jam 6.30 petang pada 20 Jun lalu selepas memberitahu bapanya bahawa dia mahu keluar sebentar. Namun, mangsa tidak pulang ke rumah.
Polis kemudian menerima laporan kehilangan Lilly dan melancarkan siasatan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa bersama tertuduh kira-kira jam 6.50 petang pada hari dia dilaporkan hilang.
Menurut Pope, polis mengenal pasti tertuduh sebagai individu terakhir yang melihat Lilly masih hidup. Ketika disoal siasat, remaja lelaki itu pada mulanya mendakwa dia sepatutnya bertemu mangsa tetapi Lilly tidak muncul. Namun, selepas ditunjukkan rakaman CCTV, dia mengaku berada bersama Lilly selama kira-kira 15 minit sebelum meninggalkannya.
Mayat Lilly ditemukan dua hari selepas pertemuan itu dengan kesan tikaman pada leher, belakang dan dada. Pope berkata, pihak pendakwaan percaya tertuduh membunuh mangsa sebelum meninggalkannya di kawasan hutan dalam keadaan nazak atau sudah meninggal dunia.
Bukti forensik turut mengaitkan tertuduh dengan kejadian itu apabila asid deoksiribonukleik (DNA) remaja lelaki berkenaan ditemukan di bawah kuku Lilly dipercayai akibat mangsa mencakarnya ketika diserang. Sebilah pisau perkhemahan yang ditemukan di bilik tidur tertuduh juga mempunyai kaitan secara saintifik dengan kes berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat padanan DNA Lilly pada pisau itu selain kesan kecil darah di bahagian dalam pemegangnya selepas bilah senjata berkenaan ditanggalkan. Pihak pendakwaan mendakwa pisau itu digunakan untuk membunuh mangsa manakala usaha tertuduh membersihkannya gagal menghapuskan kesan DNA berkenaan.
Mahkamah turut diberitahu bahawa pemeriksaan telefon bimbit tertuduh mendapati dia membuat carian mengenai polis Gwent dan istilah berkaitan kira-kira 30 kali pada pagi selepas Lilly dilaporkan hilang.
Mangsa yang berasal dari bandar Blaina itu meminati aktiviti cosplay dan Pokémon selain sering berhubung dengan rakan sekolahnya. Pada hari kejadian, dia turut keluar membeli kad Pokémon bersama bapanya.
Bagaimanapun, tertuduh menafikan membunuh Lilly dan mendakwa pembunuhnya ialah individu lain yang ditemui mangsa selepas dia meninggalkannya di taman. Identiti tertuduh tidak boleh didedahkan kerana masih bawah umur. Perbicaraan di Mahkamah Crown Newport masih berlangsung
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan