Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

VIVIEN Fabian (tengah) bersama barisan peguamnya, Datuk Ram Singh (kanan), Kamarudin Mohmad Chinki (dua dari kiri), Prem Elmar, Chen Wen Jye, dan Inspektor John Kennedy Anak Sanggah, ketika hadir pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: Isteri kepada seorang pegawai ESSCOM mendakwa diarah menanggalkan pakaiannya sehingga bogel serta dipukul beberapa kali oleh pegawai penyiasat ketika disoal siasat berhubung kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu pada Januari 2023.
Vivien Fabian, 38, yang juga saksi plaintif ke-14 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa seorang pegawai wanita dari Bukit Aman mengarahkannya membuka pakaian satu persatu sebelum diminta mencangkung menghadap dinding selama beberapa minit di bilik soal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menjawab soalan tambahan ketika pemeriksaan utama Peguam Datuk Ram Singh, saksi itu mendakwa seorang lagi pegawai lelaki yang beliau percaya berbangsa India turut menutup matanya menggunakan pelitup muka sebelum menampar kedua-dua telinganya.
Datuk Ram Singh: Selepas kamu disuruh buka baju, adakah kamu betul-betul buka pakaian kamu?
Vivien: Ya. Saya membuka baju saya satu persatu sampai lah saya bogel habis dan saya diarahkan bercangkung duduk menghadap dinding.
Datuk Ram Singh: Untuk apa kamu diarahkan bercangkung duduk menghadap dinding?
Vivien: Saya pun tidak tahu apa yang mereka mahu, yang saya tahu mereka mahu saya mengaku terbabit dalam kes pembunuhan itu.
Beliau turut mendakwa pegawai wanita berkenaan memukul belakang badannya antara 10 hingga 15 kali sambil dia didesak mengaku berada di lokasi pembunuhan di sebuah ladang kelapa sawit.
Vivien berkata, beliau tidak mengikut arahan untuk mengaku kerana menegaskan dia bersama suami berada di Lahad Datu pada 13 Januari 2023, termasuk di sebuah warung di sana dan tidak berada di lokasi kejadian.
Wanita itu juga mendakwa penyiasat menggunakan tiga anaknya untuk memberikan tekanan psikologi sepanjang tempoh tahanan, termasuk membawa mereka ke IPD Tawau dan membolehkan beliau melihat anak-anaknya itu melalui cermin gelap.
Sepanjang pemeriksaan utama, Vivien beberapa kali dilihat menangis ketika menjawab soalan berkaitan kejadian dipaksa menanggalkan pakaian serta perkara berkaitan anak-anaknya.
Beberapa ahli keluarganya yang mengikuti prosiding dari galeri awam turut dilihat menitiskan air mata.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahmadul Kaber, Vivien bersetuju laporan polisnya yang memperincikan dakwaan penganiayaan fizikal itu hanya dibuat pada 28 April 2023, kira-kira tiga bulan selepas kejadian yang didakwanya berlaku.
Dia bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan laporan itu dibuat selepas difikirkan kemudian (afterthought) atau dakwaannya mengenai penganiayaan, termasuk dipaksa menanggalkan pakaian direka bagi menyokong tuntutan sivil berkenaan.
Vivien bersetuju dia tidak mengetahui nama atau pangkat dua pegawai yang didakwa terbabit, namun tidak bersetuju dengan cadangan pegawai lelaki berkenaan tidak berada di dalam bilik atau tidak pernah menyentuh dan memukulnya.
Mardziatun: Saya cadangkan kepada kamu dakwaan anda mengenai penganiayaan, serangan, dibogelkan atau melepaskan pakaian secara paksa, dan eksploitasi anak-anak anda adalah rekaan dan pembesaran yang direka untuk menyokong saman sivil ini dan tidak disokong dengan apa-apa dokumen sokongan setuju?
Vivien: Tidak setuju.
Mardziatun: Saya cadangkan memandangkan tiada laporan perubatan berkaitan kecederaan kamu, maka, dakwaan pukulan fizikal yang teruk dan penyiksaan adalah direka-reka dan dibesar-besarkan untuk menyokong tuntutan sivil ganti rugi kamu yang bernilai jutaan ringgit, setuju?
Vivien: Saya serahkan kepada hakim untuk menilai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan