Malaysiakini
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang hari ini memerintahkan seorang pemuda yang tular susulan tindakannya menyertai ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak, menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengeluarkan perintah itu terhadap Aliff Daniel Adli, 21, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves, dua tahun lepas.
Mahkamah turut menasihati tertuduh supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar, kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan berat yang merosakkan tauhid.
“Hukuman mahkamah ini bukan sekadar hukuman kerana melibatkan akidah kamu, tetapi sejauh mana hukuman itu memberi kesan dan pengajaran kepada kamu. Adakah mencukupi untuk mahkamah memerintahkan RM3,000 sebagai bentuk pengajaran dalam kes yang melibatkan akidah dan adakah mencukupi untuk mahkamah menghantar kamu ke penjara dua tahun sebagai satu bentuk pengajaran? Tidak pasti.
“Mahkamah tidak pasti sejauh mana itu boleh membantu kamu dalam menjadikan kamu manusia yang lebih baik. Namun, mahkamah melihat cadangan (pihak pendakwaan) yang dikemukakan di bawah Seksyen 54 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang mahkamah boleh pertimbangkan sebagai bentuk pengajaran.
“Mahkamah menasihatkan kamu bertaubat kerana ini satu kesalahan berat, membabitkan perbuatan syirik. Taubat yang sebenar-benarnya yang disebut sebagai Taubat Nasuha, yang mana hak kamu dengan Allah sahaja. Taubat itu antara kamu dengan Allah,” kata hakim syarie itu.
Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa melakukan pemujaan salah dengan cara menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua belah tangan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves, antara 9 malam hingga 11 malam pada 24 Jan 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohd Faizal dalam penghakimannya mengingatkan tertuduh agar tidak mensia-siakan usia mudanya dengan perkara yang merugikan, sebaliknya melakukan perkara lebih bermanfaat demi masa depan diri dan keluarga.
“Kesalahan yang kamu lakukan ini, bukan sekadar kesalahan lazim yang dilakukan dalam kesalahan jenayah, kerana ini melibatkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang Islam, kamu dilahirkan Islam sejak kecil dan bukan seorang mualaf yang baharu mengenali Islam.
“Betul, mungkin kamu cuba meneroka perkara-perkara lain di usia kamu 18 tahun ketika itu, tetapi kamu perlu sedar dan faham batasan-batasannya. Pada usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang kamu perlu lihat daripada perkara tidak sewajarnya dalam konteks kamu sebagai seorang beragama Islam,” katanya.
Terdahulu, Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor Zamniazura Mohd Sarin memohon mahkamah mengguna pakai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) enakmen sama, untuk menggantikan hukuman penjara dan denda kepada perintah pemulihan di pusat pemurnian akidah.
“Seksyen ini membolehkan individu yang disabitkan bersalah kepada perintah pemulihan atau kaunseling di pusat pemulihan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya yang mengendalikan kes bersama dengan Pendakwa Syarie Siti Nor Hashibah Jamhari dan Husaini Roslin.
Sementara itu, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan dia kini menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan serta insaf, selain menjelaskan gambar tular di Facebook berkenaan merupakan foto lama iaitu pada 2024 ketika dia berusia 18 tahun.
“Kenapa (gambar-gambar) itu tidak dimuat naik pada 2024 dan kenapa sekarang? Saya sudah tidak buat lagi perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan syirik. Saya sudah berubah dan bertaubat. Oleh itu, saya mohon dibenarkan menjalani bimbingan kelas (agama),” katanya dalam nada sebak.
Bagaimanapun, Zamniazura menegaskan kesalahan tetap satu kesalahan biarpun lama berlaku dan hukuman berbentuk pemulihan wajar dikenakan, agar tertuduh tidak mengulanginya.
Sejurus prosiding selesai, Aliff Daniel yang memakai baju putih dan berkopiah dibawa oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke pusat pemurnian akidah berkenaan, untuk memulakan perintah pemulihan berkuat kuasa hari ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan