"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tidak akan hadiri perhimpunan agung MCA

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menghadiri perhimpunan agung tahunan (AGM) MCA Ahad ini.

Setiausaha akhbarnya, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad memberitahu
Malaysiakini malam ini bahawa perdana menteri tidak akan merasmikan AGM parti itu yang akan berlangsung di ibupejabat MCA di ibunegara Ahad ini.

Mengikut tradisinya, perdana menteri dijemput merasmikan perhimpunan agung tahunan parti-parti komponen BN.

Keputusan untuk meneruskan AGM itu Ahad ini dibantah oleh sayap Pemuda dan Wanita MCA serta naib presidennya, Datuk Seri Liow Tiang Lai.

Tengahari tadi, jawatankuasa pusat sementara - dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat - mahu AGM itu diteruskan seperti yang dirancang, walaupun dibantah keras oleh ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanitanya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kedua-duanya kemudiannya bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.

Pagi tadi, Kedua-dua sayap tersebut telah mengadakan mesyuarat exco tergempar untuk membatalkan AGM masing-masing yang dijadualkan diadakan esok.

Jawatankuasa pusat sementara itu - tanpa 21 anggotanya yang meletak jawatan semalam - memutuskan untuk meneruskan AGM Ahad ini dan mengarahkan Pemuda dan Wanitanya turut berbuat demikian.

Dipercayai Chua dan Liow mahu AGM itu ditangguhkan dan diadakan ketika pemilihan baru kepimpinan parti itu pada 28 Mac depan.

-malaysiakini-

Pengarah Radio berhenti sukarela? kenapa IKIM masih tak nak bayar gaji dia?

HermanSamsudeen
Seperti yang saya jangkakan IKIM akan menafikan tulisan saya yang bertajuk “Pengarah Radio IKIM didesak ‘Letak Jawatan’ kerana jemput Presiden PAS Muzakarah“. Saya tidak terkejut dengan jawapan IKIM itu. Tapi benarkah Ir. Ahmad Jais Alias, mantan Pengarah Radio IKIM berhenti secara sukarela seperti yang didakwa oleh IKIM tanpa sebarang tekanan?

Jika dia berhenti secara sukarela, kenapa IKIM masih lagi tahan baki gaji beliau pada bulan Februari hingga hari ini? Dah berhenti, bayar sahajalah. Kenapa nak tahan-tahan lagi, macam orang yang gila talak tapi tak nak bayar fasakh lepas perceraian dimuktamadkan.

Khabarnya IKIM sekarang sedang membuat siasatan dan mahu mencari sumber maklumat saya. Tak payahlah buang masa kacau kakitangan lain kerana cerita ini bukan saya sorang sahaja yang tahu. Sahabat-sahabat di Persatuan Pengguna Islam juga tahu masalah dalaman IKIM ini.

Radio IKIM memperolehi pendapatan hampir RM 3 juta setahun bagi tahun 2008 dan 2009, tapi kenapa IKIM masih mahu cantas budget iklan IKIM. Penganjur karnival IKIM pula disoal siasat tentang isu bayaran tetamu rasmi program.

Malah kenaikan pangkat kakitangan kejuruteraan dan pemasaran disekat. Penambahan jawatan baru yang dipohon oleh Radio IKIM juga dibekukan dan beberapa DJ part time bakal ditamatkan perkhidmatan.

Secara ekonominya, dengan pendapatan RM 3 juta setahun Radio IKIM mampu meningkatkan kapasiti perkhidmatannya.

Soalnya kenapa berlaku penjimatan yang sedikit mencurigakan itu. Dikhabarkan bahawa beberapa individu yang masih berkhidmat juga sedang dipantau oleh pihak IKIM atas alasan mereka pro-PAS.

Memang mengarut bila tahap profesionalisme IKIM jatuh serendah itu. Saya juga mahu IKIM menjawab tuduhan seorang pengadu di PPIM yang mengatakan bahawa Radio IKIM beroperasi secara haram kerana enggan membayar yuran siaran (CASP) kepada SKMM sejak penubuhannya lagi.

Kenapa sampai begitu sekali teruknya pengurusan kewangan Radio IKIM yang diuruskan oleh akauntan IKIM sendiri. Apa yang akauntan itu buat di IKIM, adakah dia masih mahu bekerja atau bermain politik.

Sekali lagi saya menjangkakan yang IKIM bakal menafikan tulisan ini. Saya tidak perlukan penafian, tapi penjelasan kenapa perkara ini boleh tersebar jika tiada angin yang bergoyang didalam IKIM.

Apa yang dilalui oleh mantan Pengarah IKIM ini hanyalah gelora kecil yang pastinya boleh membangkitkan tsunami jika ianya benar. Saya yakin bahawa kakitangan IKIM yang tertindas akan tampil juga akhirnya untuk membela nasib diri mereka. Jangan biarkan IKIM buli anda, itu nasihat saya kepada mereka yang sedang disiasat dan diperhatikan oleh pihak atasan IKIM.

Tindakan IKIM menekan kakitangannya termasuk mantan Pengarah Radio ini adalah taktik biasa. Seseorang kakitangan yang mahu didesak letak jawatan akan cuba dipulau atau disabotaj dari segi kenaikan pangkat, tahanan gaji, tak bayar elaun dan potongan macam-macam peruntukan yang sewajarnya diterima.

Sahabat saya yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamad pernah mengalami masalah yang sama ketika bekerja di Takaful. Setelah pihak atasan tahu beliau pro-PAS, beliau yang menjadi Pengurus Bahagian IT disabotaj, Kakitangannya ditukar seorang demi seorang ke bahagian lain, projek jabatannya disekat begitu juga peruntukan. Hingga akhirnya beliau datang ke pejabat setiap hari dalam keadaan tiada apa-apa yang boleh dibuat sebab kakitangan pun ditukar sana – sini. Dan akhirnya beliau letak jawatan secara ’sukarela’.

Inilah budaya korporat yang cuba dibawa oleh Umno melalui penguasaan GLC dan beberapa agensi Kerajaan yang strategik seperti radio IKIM yang majoriti pendengarnya adalah orang PAS! mereka gunakan mental torture sebegini untuk menghalau kakitangan yang tidak disukai.

Jadi saya harap IKIM hentikanlah kerja-kerja tidak berfaedah itu. Pandang ke hadapan, pertingkatkan penguasaan umat Islam dalam bidang penyiaran. dan jangan lupa bayar segera baki gaji mantan Pengarah Radio IKIM dan juga yuran SKMM jika masih mahu beroperasi.

Nota: Saya menulis berdasarkan angin yang bergoyang di IKIM. Saya mahu penjelasan dari kedua-dua pihak, itu sahaja…dan kepada pengurusan IKIM, jangan sibuk nak padamkan angin sebab nanti mereka pasang Aircond pulak. Ambilah tindakan yang lebih baik dengan menghormati mereka yang berbakat dan berilmu tanpa memandang parti mana yang mereka sokong. Saya akan terus mendengar radio IKIM selagi mana masih ada orang yang berilmu yang iklas menabur khidmat walaupun masih diganggu oleh nyamuk-nyamuk merah!

Datuk Kalakau sertai PKR, siapa lagi selepas ini?

Zul Mamak
KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol mengumumkan penyertaan beliau ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28 Februari lalu, iaitu 10 hari selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu, diumumkan beliau di depan ribuan rakyat pelbagai kaum, di Sabah dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Penasihat Dap, Lim Kit Siang.

Dalam ucapannya, mantan Ketua Pemuda Upko selama 12 tahun berturut-turut itu menjelaskan, bahawa tujuannya menyertai PKR dan Pakatan Rakyat adalah disebabkan pentadbiran negeri itu tidak terurus sejak Umno dan BN memerintah Sabah sejak 1994.

"Selain itu, wujud isu pencerobohan gereja yang gagal ditangani oleh pemerintah BN," tambah beliau.

Kalakau yang juga bekas Senator memberitahu, bahawa beliau akan bergerak lebih aktif lagi selepas ini, termasuklah mengadakan siri penjelajahan ke seluruh bahagian di Sabah bagi menjelaskan isu-isu penting termasuk hak royalti kempen 'Minyak untuk Sabah' dan isu kempen 'Fitnah 2' yang kini dilemparkan ke atas Anwar.

"Ini bukan lagi masa berbulan madu, ini masa untuk kita semua bangun melaksanakan agenda perjuangan PKR, rakyat ingin berubah dan selama ini Umno-BN tidak pernah berubah," katanya dalam majlis yang berlangsung di Tuaran Sabah pada malam 28 Februari lalu.

Bekas Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) turut merangka program khas pada April depan dengan mengundang Ahli Parlimen (MP) Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerangkan isu berkaitan Petronas dan royalti minyak yang sepatutnya dinikmati negeri Sabah.

Turut serta di majlis itu, pimpinan Pakatan Rakyat negeri Sabah termasuk Ketua Penerangan Pas, Hishamuddin Sulaiman dan Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Hj Ansari Abdullah dan Pengerusi DAP Sabah, Dr. Hiew King Cheu.

Berikut ialah sebahagian Pimpinan BN yang Keluar parti bersama ribuan penyokong masing-masing sejak setahun lalu (sekadar menyebut beberapa nama).
  1. Dr. Streram Sinnasamy yang juga Pengerusi MIC Cawangan Seri Sentosa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  2. Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, Dan Ketua Wanita Mic Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.
  3. Bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng
  4. Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.
  5. Timbalan Ketua Bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy. Tindakan itu seterusnya melumpuhkan PPP Negeri Sembilan (N9) kerana kekuatan PPP N9 terletak di Bahagian Teluk Kemang.
  6. Intelektual berbangsa Cina, Yong Thye Chong, atau lebih dikenali Sebagai Kim Quek turut menyertai Parti Keadilan Rakyat.
  7. Tokoh Veteran Umno, Dara Ahmad sertai PKR, walaupun bersama Umno selama 55 tahun

Berikut pula ialah bekas pemimpin BN yang pernah menjawat jawatan menteri dan bertaraf pimpinan tertinggi yang berhijrah menyertai PKR setakat ini.

  1. Timbalan Ketua Wanita MCA merangkap Setiuasaha Parlimen dan Dr Tan Yee Kew
  2. Ahli Parlimen Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Dan Koperasi serta Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong
  3. Ahli Parlimen Kota Bahru dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim
  4. Menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng
  5. Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Naib Presiden MIC, Datuk S. S. Subramaniam.
  6. Datuk Kalakau Untol, Timbalan Menteri Persekutuan merangkap bekas Senator negeri Sabah sehingga 2005.