"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal Enjin Jet : Saman ATM Dibatalkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang difailkan oleh lima bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat gara-gara kehilangan dua enjin jet F-5E pada 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof memberi keputusan dalam kamar selepas membenarkan permohonan kerajaan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia yang dinamakan defenden membatalkan saman itu.

Mahkamah turut memerintahkan kelima-lima bekas pegawai kanan itu membayar RM7,000 sebagai kos undang-undang kepada para defendan.

Pemecatan perkhidmatan kelima-lima mereka dibuat mengikut peruntukan statuori Perkara 77, Akta Angkatan Tentera dan mereka tertakluk di bawah undang-undang awam.

Mahkamah juga memutuskan adalah membazir masa dan perkara yang remeh untuk meneruskan saman kerana mengikut undang-undang ia pelanggaran kepada proses mahkamah.
-tvselangor-

Logo Halal: Peniaga dakwa didiskriminasi Jakim

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Mei:
Seorang pengusaha produk makanan ringan secara kecil-kecilan dari Felda Suharto, Kuala Kubu, Selangor mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengamalkan diskriminasi terhadap bumiputera dalam isu pemberian logo halal.

Mohd Rufie Waris dalam aduannya kepada Harakah dan Harakahdaily berkata, beliau yang sudah 20 tahun melibatkan diri dalam bidang itu belum mendapat logo Halal daripada Jakim walaupun sudah berkali-kali memohon.

Lebih menimbulkan masalah apabila bermula awal tahun ini, produk beliau yang dipasarkan di hentian rehat (R&R) arah utara dan selatan tidak boleh lagi diterima peniaga di situ kerana tidak mempunyai logo halal.

Ekoran itu, beliau memberitahu, golongan ibu tunggal yang bergantung kepada perusahaan beliau untuk mendapatkan pendapatan sudah hilang sumber pendapatan.

Mohd Rufie menjalankan perusahaan makanan ringan tersebut dengan cara membeli bahan mentah dan ianya akan diproses oleh beberapa ibu tunggal di kawasan tersebut.

Apabila siap diproses, Mohd Rufie akan mengambilnya dari rumah ke rumah untuk dipasarkan ke kedai runcit di kawasan sekitar dan juga R&R bermula R&R Rawang sehingga ke R&R Bukit Merah bagi laluan utara dan R&R Sungai Buluh sehingga R&R Pagoh bagi laluan selatan.

Namun, bermula Januari tahun ini, produk makanan yang diusahakan tidak lagi diterima peniaga di R&R atas arahan pihak pentadbiran PLUS.

Ujarnya, beliau dimaklumkan peniaga di situ, mereka akan didenda RM10,000 untuk setiap satu barang yang tidak mempunyai logo halal.

"Isunya sekarang ini saya tidak boleh memasarkan barangan saya dan sumber pendapatan untuk ibu tunggal sudah tidak ada. Masalahnya hanya kerana tidak ada logo halal," katanya yang hadir sendiri ke pejabat Harakahdaily hari ini.

Apa yang dikesalkan beliau apabila Jakim seolah-olah meminggirkan golongan pengusaha kecil seperti beliau apabila memberi alasan produk beliau tidak layak menerima logo halal kerana tidak diusahakan secara industri.

Perkara itu ujarnya, dinyatakan sendiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Abdul Hamid Mohamed Salleh sewaktu Mohd Rufie bertemu beliau pada Mac lepas.

"Pada 13 Mas lepas saya pergi berjumpa sendiri dengan Abdul Hamid di pejabat Jakim. Saya buat aduan dan tanya kenapa saya tidak boleh dapat logo halal. Beliau kata sebab saya tidak ikut prosedur. Saya tidak masuk dalam industri, kilang pun tidak ada. Beliau kata kalau usahakan di rumah, memang tidak dapat logo halal.

"Saya bukan emosional tapi saya adalah pembayar cukai. Saya meniaga sudah 20 tahun. Bukan 20 hari. Saya pun membantu ibu tunggal. Ke mana lagi saya nak mengadu?Siapa yang akan bela nasib bumiputera?,".soalnya.

Menurutnya juga, ramai kawan-kawannya yang mengalami nasib yang sama tetapi tidak berani untuk membuat aduan.

"Saya bercakap bukan untuk saya seorang. Banyak pengusaha bumiputera yang mengalami nasib yang sama.Kalau di Selangor ini ada dalam 70 orang pengusaha yang tidak dapat pohon logo halal," ujarnya

Sehubungan itu, beliau merayu agar Kerajaan khususnya Jakim prihatin dengan nasib pengusaha kecil seperti mereka, bukan hanya memberikan logo halal kepada pengusaha yang sudah maju sahaja.

"Saya merayu dan menyerulah bagi pihak kawan-kawan saya,supaya Kerajaan turut membantu peniga dan pengusaha yang baru hendak meningkat naik," katanya.

Jangan Cakap Bahasa Inggeris

Mohd Sayuti Omar

DIAM-DIAM terdengar cerita pelik dan ganjil di Selangor, ceritanya tentang MB Selangor, Khalid Ibrahim hendak dijatuhkan. Mulanya saya tidak mahu memberi respons perkara ini dan mahu melihatnya saja. Apakah cerita itu rekaan pembangkang (UBN) atau sebaliknya. Seperti mana juga di Kedah, cerita ada empat Adun yang hendak bertukar menjadi salentia juga sudah hebuh.

Tetapi apabila bekas MB Kedah, Mahadhir Khalid mengatakan cerita itu adalah rekaan pihak Pas, maka fahamlah kedudukan sebenar tentang isu di Kedah itu. Apa yang dapat ditamsilkan isu empat Adun termasuk Exco hendak bertukar menjadi salentia itu adalah permainan pihak UBN saja.



Perkara ini juga dijelaskan oleh Azizan Abdul Razak. Katanya, sebenarnya tidak ada apa-apa pergolakan di Kedah seperti mana dihebohkan. Kerajaanya masih stabil. Dalam pada itu, satu himpunan akan diadakan pada 22 Mei ini di Kota Sarang Semut. Dalam himpunan itu semua wakil rakyat Pakatan Kedah akan hadir membuat penjelasan berhubung isu berkenaan. Rupa-rupanya walaupun ianya tidak tertekan tetapi tetap menyerabutkan juga hingga tepaksa membuat penjelasan.

Sekiranya semua wakil rakyat Pakatan Kedah hadir pada malam itu, dan menjelaskan kepada rakyat maka isu ada Adun nak lompat dan kerajaan Kedah tergugat pun akan berakhir. Setidak-tidaknya ia melegakan MB Kedah itu buat seketika. Sebaliknya kalau ada Adun yang tidak dapat hadir, kebetulan pula empat mereka yang disebut itu, ini bermakna cerita yang dikarai itu tidak boleh dipandang rendah. Umum kena menerima Kedah dalam bahaya.

Setakat ini katanya keadilan masih stabil di Kedah.

Dalam menanti perkembangan di Kedah inilah pula timbul cerita di Selangor pula, usaha nak jatuhkan Khalid Ibrahim (foto). Apa yang berlaku di Selangor berbeza dengan apa yang terjadi di Kedah. Di Selangor yang hendak jatuhkan Khalid Ibrahim bukan Khir Toyo tetapi sesama sendiri. Ini kes teruk dan benar-benar sudah sinting, kata orang Indonesia.

Umno Selangor sudah kehabisan jampi dan usaha, untuk mengkucarkacirkan kerajaan Selangor. Habis alat mereka gunakan termasuk cuba menggunakan raja. Mereka juga cuba menarik wakil rakyat Pas, tetapi tidak jadi. Sampai lembek lotet - lemah gemalai, Hassan Ali menepis cerita berkenaan. Ia memburukkan lagi apabila orang Pas sedang juga katanya mengemukakan bukti mentah mengenai ura-ura itu.

Alhamdulilah kini kebenaran sudah menyerlah. Kebatilan sudah terhapus oleh kebenaran. Hassan Ali agak sudah dapat duduk tenang kerana gangguan syaitan terhadapnya sudah tidak ada lagi.

Yang berlaku sekarang ini ialah di kalangan PKR. Kenapalah politik Pakatan Rakyat tidak pernah reda? Ada-ada sahaja isu yang timbul dan memanaskan keadaan. Cerita yang hangat kini ialah Khalid nak dijatuhkan. Alasannya ialah Khalid tidak tahu berpolitik. Beliau tidak tahu menggunakan kedudukan sebagai MB untuk kepentingan PKR dan Pakatan Rakyat. Stail kerjanya terlalu tegas dan lurus.

Katanya sikap ini tidak menguntungkan parti. Misalnya banyak kontrak diberikan kepada orang luar bukan orang kuat parti. Yang dapat ialah orang luar parti dan termasuk juga ahli-ahli Umno. Tindakan ini tidak disukai. Cara Khalid ini tidak disenangi dan dianggapkan merugikan parti. Khalid dilihat tidak prihatin kepada parti.

Yang beranggapan demikian ialah orang parti yang cari makan dengan kuasa parti. Sebalik di pihak rakyat dan pegawai kerajaan senang dengan cara Khalid. Mereka melihat cara Khalid itulah pembaharuan dalam politik, di mana beliau tidak menjadi kuasa politik untuk menjaga kroni sebaliknya mengutamakan rakyat. Malangnya cara itu tidak disenangi.

Kalaulah itu alasan untuk menukar Khalid dengan MB yang prihatin kepada nasib parti, saya rasa tidak perlu kepada satu gerakan untuk menjatuhkan Khalid. Tidak perlu kepada satu pasukan psywar. Saya rasa sebagai seorang yang ada prinsip, tidak tahu politiking, Khalid tidak payah ditekan begitu rupa sekali. Cukup kalau menasihatinya secara terhormat, dia akan berhenti.

Lagipun kedudukan Khalid di situ bukan atas kehendaknya seratus peratus. Di tunjuk dan dipilih oleh Anwar Ibrahim untuk menguruskan Selangor. Bagi Anwar dia mengetahui di mana kelebihan dan kekurangan Khalid. Dia tahu ketulusan dan integriti Khalid. Jadi apabila Khalid kini ramai-ramai dihentam nampaknya seorang lagi orang pilihan Anwar menjadi mangsa politik.

Golongan yang beriya hendak jatuhkan Khalid itu mungkin benar berdasarkan kepentingan politik PKR terutamanya dalam persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Khalid kena tahu pilihan raya ke -13 memerlukan kewangan yang banyak. Beliau tidak boleh merasakan cukup setakat memperkenalkan beberapa program dan pendekatan untuk menjamin PKR menang.

Tetapi dari sudut lain pula, tindakan untuk menjatuhkan Khalid secara tidak bermoral pada saya tetap tidak betul. Kalau nak tukar MB, tukarlah dengan baik dan penuh dengan fatah seperti menarik rambut dalam tepong. Apa yang berlaku kini, golongan yang tidak serasi dengan Khalid ingin menyengahkan Khalid ke bawah dalam keadaan memalukan. Perangai lanun dalam Umno campaklah ke laut merah.

Apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam itu saya rasa sebahagian daripada kegiatan untuk memalukan Khalid Ibrahim. Saya rasa Manikavasagam tidak akan bertindak keterlaluan begitu kalau dia tidak disokong dan dihalak oleh pihak tertentu. Kalau diperhatikan daripada cara Manikavasagam mendedahkan isu penyelewengan dan rasuah dalam isu pasir itu cuba untuk memburukkan Khalid.

Saya ingin memberi ingatan penting di sini khasnya kepada golongan yang tidak senang dengan Khalid. Kalau tidak sukakan Khalid lakukan dengan cara terhormat. Buat memorandum hantar kepada Khalid minta dia turun dari kerusi MB. Dengan cara mendedahkan masalah kerajaan negeri, mencemarkan imej kerajaan negeri, ia bukan cara terbaik. Cara itu pada saya samalah cuba bercakap bahasa Inggris dengan kucing. Atau pun meludah ke langit yang akhirnya tertimpa hidung sendiri.

Khalid tidak arif dalam politik. Dia berfikir secara lateral dan mudah. Jadi kalau bencikan dia cakap terus terang habis cerita. Seribu kalipun kalau buat tekanan seperti Manikavasagam itu ia tidak memberi bekas, sebab Khalid jahil politik. Cuba hantar buat memorandum dan semua ahli Yang Berhormat PKR, biar Mohamad Azmin Ali yang jadi ketua tanda tangan dan serahkan kepada Khalid, saya rasa kalau memorandum itu diserahkan waktu Zohor, waktu Asar Khalid akan meletakkan jawatan sebagai MB.

Saya teringat sepatah kata-kata Khalid sewaktu makan rojak di laman rumahnya pada satu majlis; saya berkhidmat kepada rakyat saja, kalau saya diminta berhenti jadi MB saya akan berhenti bila-bila saja. Lagipun jadi orang politik ini susah, tidur saya pun tak berapa cukup.