"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tamrin tinggalkan PAS kerana dua Adun ini

Tranungkite

Kesabaran anak bekas timbalan perdana menteri, Mohd Tamrin Abdul Ghafar sampai ke kemuncak apabila melihat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar.

Tamrin berkata, tindakan PAS yang menggantung keahlian Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad menghantar surat letak jawatan ke Ibu Pejabat PAS semalam.

"Pada saya, tindakan PAS itu amat salah. Apa yang mereka (Adun) buat adalah mempertahankan keputusan muktamar PAS, iaitu mesti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

"Tetapi PAS bertindak sebaliknya. Dua Adun ini mengambil keputusan menentukan PAS bersama PR, itu saja. Jadi apa salahnya?" katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) di Kelab Sunway Lagoon di Petaling Jaya, malam tadi.

Saari dan Hasnul pada 12 Oktober lalu dikenakan tindakan mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS kerana melanggar arahan parti.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti parti, namun masih diberi ruang merayu dalam tempoh 15 hari.

Tamrin berkata, bukan saja krisis Selangor tetapi beberapa pandangan mengenai isu lain juga pernah dikemukakannya kepada pemimpin PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi tidak diambil perhatian.

"Sebelum itu, masalah Pilihan Raya Umum (PRU) begitu juga.

"Ada beberapa perkara yang gagal ditunaikan PAS semasa menabur janji PRU13 lalu. PAS mungkir janji. Itu bukan stail politik saya," katanya.

Beliau berkata, dirinya juga kecewa kerana pemimpin PAS gagal menunjukkan contoh imej sebuah parti Islam yang baik.

"Saya tidak ada masalah dengan PAS. Parti tidak tersasar daripada landasannya, cuma pemimpinnya saja yang lari daripada perjuangan asal.

"Siapa pemimpin itu? Ianya jelas," katanya tersenyum.

Katanya, hasrat untuk keluar parti dinyatakan kepada beberapa pemimpin tertinggi PAS, tetapi tidak ada pertemuan empat mata dengan Hadi atau Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya sama ada tindakannya itu seperti cuba mempengaruhi ahli PAS lain supaya mengikut jejak langkahnya, beliau menafikan.

Katanya, keputusan itu adalah kehendaknya sendiri dan tidak dipengaruhi sesiapa.

"Saya percaya ramai yang tidak gembira dengan apa yang terjadi dalam PAS, ia sangat ketara.

"Mungkin (ramai ahli akan keluar parti) memandangkan ada pemimpin yang membuat ramalan itu tetapi saya tidak mempengaruhi sesiapa, terpulang kepada mereka," katanya yang tidak bercadang kembali semula kepada Umno mahupun parti lain dalam PR.

Sebaliknya, beliau mahu fokus kepada GAP dan memerhatikan perjalanan dunia politik dan bebas bersuara sebagai rakyat awam.

Anak Tun Ghafar Baba itu menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk menarik diri daripada menjadi ahli parti Islam itu berkuatkuasa semalam.

Pada 2012, bekas Adun Ayer Molek dan Ahli Parlimen Batu Berendam Umno itu menyerahkan borang keahlian parti kepada Hadi dalam satu majlis di Gombak.

GAP dilancarkan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa yang mensasarkan agenda utama, iaitu menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran akibat perkauman demi kesejahteraan generasi akan datang.

Menentang perkauman dan ekstremis agama, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu bagaimanapun menegaskan perjuangan GAP tidak menolak prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Barah perkauman ini ada dalam semua budaya, dan perjuangan kami adalah agar semua dapat menyatakan ‘Kata Tak Nak Kepada Perkauman’," katanya.

4 Perompak ‘Ultraman’ merakam gambar dan video bogel mangsanya

Kuala Lumpur: Tidak hanya diacu pistol malah seorang lelaki turut dibogelkan oleh sekumpulan empat perompak yang muncul dengan memakai topeng watak animasi Ultraman.

Suspek membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita sebelum itu bertindak menceroboh kediaman mangsa di Brickfields, di sini, sekitar jam 4 pagi kelmarin.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 30-an yang ketika itu berada di ruang tamu terkejut apabila diserang suspek bertopeng yang menyerbu masuk melalui pintu hadapan kediaman.

Menurutnya, suspek mengacukan pistol dan mengarahkan mangsa berdiam diri.
"Mangsa yang sebelum itu sedang melayari Internet dipaksa memindahkan wang tunai ke dalam akaun diberikan suspek.

"Bagaimanapun mangsa enggan akur dengan arahan itu menyebabkan suspek yang berang mengarahkan mangsa membuka baju dan seluar," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian merakam gambar dan video bogel mangsa.

"Penjenayah mengugut menyebar video itu ke laman sesawang jika mangsa terus berdegil enggan menyerahkan wang diminta.

"Suspek memberi tempoh sehingga jam 7 pagi kepada mangsa supaya memindahkan wang diminta ke dalam akaun bank suspek," katanya.

Difahamkan suspek terus beredar dari kediaman itu tanpa mencederakan mangsa.

"Bimbang dengan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.
-hmetro-

Pesta arak Octoberfest, angkara MCA?

Subky Latif
TIADA kedengaran adanya anjuran minum arak berterangan menyolok mata baik di Selangor atau di mana-mana seperti Octoberfest Shah Alam semasa pemerintahan Barisan Nasional di Selangor dulu.

Mengapa pula semasa pentadbiran Pakatan Rakyat ini orang bernafsu besar pula untuk mengadakan kenduri arak terbuka?

Angkara siapa semua ini?

Jika tidak silap, Chen Chen, wanita bekas pemimpin MCA ada membuat pembelaan kononnya pesta laknat itu boleh memberi pulangan ekonomi yang menggalakkan. Apa pun perkembangan terkutuk itu dikatakan tidak direstui oleh pihak berkuasa Shah Alam.

Tidakkah mungkin MCA di belakang kegiatan tidak senonoh ini?

Ada tiga sebab MCA boleh disyaki berperanan dalam anjuran itu. Pertama, MCA adalah parti golongan saudagar yang matlamat utamanya adalah untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya tanpa mengira kesan akhlak masyarakat.

Kedua, ketika PAS baru menang semula di Kelantan tahun 1990 dulu, MCA telah mencabar kerajaan pro Islam itu dengan menganjurkan pesta arak terbuka. Sekalipun Menteri Besar
TG Nik Aziz menasihatkan supaya ia dibatalkan, tetapi MCA berkeras untuk memprovokasi kerajaan baru itu.

Tiada cara baik Tok Guru hendak menghalangnya, lalu beliau mengeluar cabar masyhur kepada MCA, lantaklah mereka hendak berpestahingga pecah perut. Tiba-tiba dengan cabaran Tok guru itu, ia membatalkan pesta itu.

Ketiga, melalui pesta yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan inilah MCA rasa dapat mengembalikan pengaruh politiknya dalam kalangan penganut agama yang menghalalkan minum arak.

MCA dan Gerakan telah runtuh politik dan moral dengan politik saudagarnya atau politik yang mengutamakan golongan kaya. Tiada cara ia dapat kembali berpengaruh melainkan menganjur sesuatu yang boleh menyebabkan setengah orang marah kepada kerajaan Selangor sekarang.

Ia mengharapkan orang akan membuat perbandingan. Semasa BN memerintah, tiada pesta arak di Selangor. Apabila Pakatan memerintah, ada pesta arak. Maka orang yang mahu mewujudkan masyarakat bermaruah dan berakhlak akan hilang kepercayaan kepada Pakatan.

Bagi penganut agama yang agamanya tidak mengharamkan arak curiga dengan Pakatan yang di dalamnya ada PAS, maka dasar PAS boleh mempengaruh DAP dan PKR bagi membenci arak. BN tidak pernah benci arak. Tetapi DAP dan Pakatan boleh jadi benci arak. Pesta arak adalah suatu kempen bagi menjamin pengguna arak tidak hilang hak dan bebas guna arak adalah pada zaman BN.

Kempen ini sebenarnya adalah kempen saudagar arak yang menggunakan nama kebebasan beragama dan menggunakan nama agama yang membenarkan penggunaan arak.

Adakah agama yang tidak mengharamkan arak itu menggalakkan penganut mengambil arak sebanyak-banyak seperti anjuran pesta itu, atau ia sekadar satu kelonggaran mengambil manfaat yang ada pada arak?

Islam tidak menafikan adanya kebaikan arak. Orang jahiliyah tidak melarang arak tetapi mereka menghormati orang tidak mengambil arak. Kristian, Hindu dan lain-lain tidak mengharamkan arak, tetapi masyarakat dunia menghormati Dag Hammarsjold, Setiausaha Agung PBB yang kedua, Nehru dan Lee Kuan Yew kerana sifat non-alkohilic mereka.

Mengapa pembesar dunia itu tidak mengambil arak? Pada mereka, bukan arak tiada kebaikan, tetapi keburukannya lebih banyak. Kerana buruknya lebih banyak, maka Islam mengharamkannya.

Agama yang membenarkan arak adalah sekadar satu kelonggaran atas keperluan tertentu, tetapi tidaklah ia menggalakkan minumnya dengan menganjurkan pesta hingga pecah perut. Islam pula mengharamkannya tetapi tidak melarang bagi mereka yang mengira arak itu ada keperluannya. Tetapi tidak tertarik ia dipestakan.

Jika benar MCA di belakang penganjuran pesta itu, maka MCA telah membenarkan dirinya diperalat oleh saudagar arak yang tahu mengaut untung tetapi tidak kisah dengan moral dan kesejahteraan. Pengeluar arak jangan peralatkan agama yang tidak melarang arak.