"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video Ustaz didakwa hina Negeri Sembilan menjadi viral

Seremban: Video ceramah seorang ustaz yang didakwa mengutuk dan menghina Negeri Sembilan menjadi viral di laman sosial Facebook dan mendapat maklum balas ramai pengguna laman berkenaan.

Difahamkan, video berdurasi 58 saat itu memaparkan ceramah ustaz terbabit ketika di sebuah masjid di Selangor yang memberitahu di Negeri Sembilan tiada tazkirah dan ilmu agama dianjurkan selain menggunakan perkataan ‘bebal’ seolah-olah menghina penduduk negeri berkenaan.

Harian Metro mendapati video berkenaan mula dimuat naik pada Jumaat lalu sebelum tersebar dan dikongsi lebih 300 pengguna Facebook serta disukai lebih 6,000 pengguna lain.

Video itu menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak terutama penduduk Negeri Sembilan yang dipercayai tidak dapat menerima kata-kata digunakan ustaz terbabit seolah-olah menghina mereka.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Amran Awaluddin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Mufti terlebih dulu kerana ustaz terbabit adalah pemegang tauliah untuk memberikan ceramah agama di negeri ini, namun sudah tamat tempoh.

Beliau berkata, Jabatan Mufti berkemungkinan akan memanggil ustaz terbabit untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan dikeluarkan itu selain memberi nasihat kepadanya.
-hmetro-

Restoran hidang daging manusia diserbu

ANAMBRA - NIGERIA. Sebuah restoran hotel ditutup selepas didapati menghidangkan daging manusia sebagai sajian kepada pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke restoran terbabit.

Satu serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa selepas menerima aduan daripada orang ramai yang mengadu menerima khabar angin bahawa restoran tersebut menghidangkan daging manusia kepada pelanggan mereka.

Lapor portal Metro. co.uk, polis melaporkan menemui keadaan kepala manusia yang dipotong dan disembelih dalam keadaan mengerikan selain turut menjumpai cebisan-cebisan daging manusia yang disimpan di bahagian dapur restoran.

Pihak berkuasa turut menemui sejumlah telefon bimbit dan laras senjata automatik ketika melakukan serbuan ke atas restoran tersebut.

Seorang penduduk tempatan ketika ditemui pemberita berkata, dia sentiasa menyedari aktiviti pelik yang berlaku di restoran terbabit.

“Mereka (pekerja) tidak pernah memakai pakaian yang bersih dan teratur, cara mereka keluar masuk hotel juga agak pelik. Saya tidak terkejut dengan apa yang didedahkan di restoran tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menahan 10 pekerja yang didakwa terbabit dengan jenayah tersebut.
-sinarharian-

Alhamdulillah! Berkat doa anak, satu keluarga dapat hidayah


NUR Emily berselfie dengan adik ketiganya Muhammad Aiman selepas mengucap syahadah.
Port Dickson: “Doa anak lelaki saya yang bersungguh-sungguh meminta kepada Allah SWT supaya membuka pintu hati kami sekeluarga memeluk Islam ditunaikan Allah,” kata Safiyyah Abd Aziz, 42.

Menurutnya, anak lelaki kedua daripada empat anaknya, Muhammad Daniel Chan, 19, terlebih dulu memeluk Islam pada 2013 ketika berusia 17 tahun sebelum seorang demi seorang ahli keluarga mengikut jejak langkahnya itu.

Menyingkap kembali perjalanan mengucap dua kalimah syahadah, Muhammad Daniel mengambil keputusan memberitahu keluarga hasrat memeluk agama suci itu dan dengan bantuan guru serta ustaz di sekolahnya, dia mengucap dua kalimah syahadah.

Safiyyah yang dulunya bernama Sofiya Siswagi berkata, dia dan suami tidak menghalang Muhammad Daniel memeluk Islam, malah tertarik melihat kehidupan anaknya selepas memeluk agama itu.

“Saya dan anak bongsu, Muhammad Hamim Chan, 13, mengikut langkah Muhammad Daniel memeluk Islam pada Oktober 2013. Selepas itu, suami saya Muhammad Chan Kum Tong, 56, dan anak ketiga, Muhammad Aiman Malek Chan, 15, menyusul pada Julai 2014.
-hmetro-