"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fokus pulih ekonomi negara, usah sibuk kritik Izzah, Anwar ingatkan Azmin

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan Timbalannya, Azmin Ali bertenang dan menumpukan perhatian untuk menangani isu di peringkat pusat, bukannya sibuk mengkritik anaknya, Nurul Izzah.

Beliau berharap kenyataannya dapat meredakan keadaan kerana paling penting ialah masing-masing menjalankan tugas sendiri untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya harap dengan penjelasan ini redalah. Masing-masing ada tugas besar bangunkan ekonomi rakyat, sibuk hal ini buat apa?” soalnya di lobi Parlimen.

Semalam, Azmin dilihat seperti membidas Nurul Izzah di Twitter dengan berkata, Malaysia memerlukan pelaksana yang sanggup mengharungi keadaan sukar, bukannya budak kecil yang merengek.

Ia selepas ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberi gambaran ini adalah penggal terakhirnya menjadi wakil rakyat.

Nurul Izzah dalam temubual dengan akhbar Singapura, Straits Times turut menyuarakan kekecewaannya terhadap perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu, selain tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.

Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca berlakunya begitu banyak kerosakan, “bukan sahaja kehidupan kami, tetapi juga sistem”.

Minggu lalu, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Dr Mahathir Mohamad membenarkan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee terus mengetuai jawatankuasa itu selepas menyertai PPBM, 15 Mac lalu.

Najib cuba jual aset negara sebelum PRU14, kata Guan Eng

Geraldine Tong

PARLIMEN l
Bekas perdana menteri Najib Razak adalah orang yang bertanggungjawap meluluskan penjualan Bangunan Malaysia di Hong Kong ketika beliau masih berkuasa, dakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Saya ingin memaklumkan kepada Najib (BN-Pekan) bahawa keputusan untuk menjual bangunan konsulat di Hong Kong dilakukannya sendiri semasa pentadbiran BN. Surat tawaran itu dikeluarkan olehnya.

"Keputusan itu dibuatnya sebelum 9 Mei (2018)... tetapi keputusan dibuat secara rundingan terus pada harga RM1.1 bilion," kata Lim semasa ucapan penggulungannya titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Najib telah menyuarakan kebimbangan mengenai laporan media bahawa kerajaan Malaysia ingin menjual menara pejabat 28 tingkat yang dimilikinya di Hong Kong.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan dalam proses mencari pembeli untuk bangunan 28 tingkat di Hong Kong yang diberi nama "Malaysia Building" yang kini milik kerajaan Malaysia.

Menara di Jalan Gloucester, di daerah Wanchai itu menempatkan beberapa agensi kerajaan termasuk pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.

Lepas sebut 'cengeng', Anwar minta Azmin bertenang

Ng Xiang Yi

Presiden PKR Anwar Ibrahim menasihatkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali agar "tenangkan diri" berhubung isu tertentu.

"Saya rasa dia perlu bertenang sedikit. Saya rasa dia perlu sentiasa menumpukan kepada isu-isu pusat.

"Ada orang yang mahu lindungi prinsip dan pendirian, ada orang yang hanya cuma mahu mempertahankan kedudukan dengan apa cara sekali pun. Jadi anda perlu ambil kira perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Azmin melalui Twitter yang menyebutkan bahawa Malaysia memerlukan pemimpin yang akan berjuang sehingga ke saat akhir, dan bukannya pemimpin yang "cengeng".

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan, kenyataan menteri hal ehwal ekonomi itu dipercayai ditujukan buat anak perempuan Anwar yang juga bekas naib presiden PKR Nurul Izzah.

Kenyataan itu dibuat Azmin selepas media melaporkan wawancara Nurul Izzah dengan media Singapura yang antara lain menyatakan kekecewaan terhadap PH kerana usaha perubahan yang perlahan di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Nurul Izzah turut menyatakan kekecewaan kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam parti komponen PH.

Selain itu, ahli parlimen Permatang Pauh itu juga menyentuh tentang cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan".

Nurul Izzah juga memberi gambaran bahawa penggal ini merupakan yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.

Susulan kenyataan Azmin, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengirim ciapan di Twitter yang berkata tidak wajar untuk menggelarkan "seorang wanita yang menyatakan pendirian sebagai cengeng".

Mengulas perkara itu, Anwar berkata beliau berharap penegasan sokongannya terhadap Dr Mahathir akan mengurangkan ketegangan dalam PKR.

"Kerja masing-masing ada tugas besar bangunkan ekonomi rakyat, sibuk soal-soal ini pasal apa?" katanya.