"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Najib arah saya bunuh Altantuya' - Azilah Hadri

Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.


Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.


Pengurusan kes ditetapkan pada esok hari.
Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”


Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.”
Azilah juga menjelaskan kenapa beliau baru membuat permohonan menyemak semula kes itu.
Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, dia telah merancang untuk membuat SD itu tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Saya menegaskan di sini bahawa tujuan saya mengemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,” katanya.
“Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan-arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi,” katanya.
Jumpa Altantuya di London'
Azilah berkata, dia ada berjumpa Najib di Pekan pada 17 Oktober 2006.

Dakwanya, Najib mengarahkan dia membunuh “perisik asing.”
Dakwanya lagi, perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokan harinya.
Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang dia dan TPM jumpa di sebuah lobi kondominium di London.
“...saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” katanya.
Azilah mendakwa selepas dia nampak wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, dia ingat pernah bertemuanya bersama Razak dan Najib di kondominium itu.
Najib sebelum ini berulang kali menafikan pernah bertemu dengan Altantuya. Beliau malah bersumpah menafikannya dalam masjid.


Sementara itu, Azilah berkata dia diarahkan, dimaklumkan dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui aide-de-camp beliau ketika itu, DSP Musa Safri.
Dalam afidavitnya, dia menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Alatantunya tetapi Najib dan Musa, dakwanya, berkata operasi itu berkaitan keselamatan negara.
“Selepas operasi sulit tersebut dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan pihak polis dan saya juga diberikan jaminan oleh DSP Musa bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak libatkan nama baik TPM.”

Dalam afidavitnya, dia juga berkata:
“Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia berkenaan operasi sulit tersebut dan saya yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di Mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan.”
‘Maaf, tapi saya tiada pilihan’
Semasa siasatan polis, Azilah berkata pasukan siasatan menyedari “penglibatan” TPM tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, dia mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.
Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa:
  • Dia menerima arahan lisan, tidak secara bertulis, daripada TPM dan Musa.
  • Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh ia melibatkan keselamatan negara.
  • Dia percaya BN mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan dan sebarang cubaan untuk mengingkari arahan TPM atau memburukkan namanya dalam kes itu akan menjadi sia-sia dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadapnya.
  • Dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya dan bimbang perintah hukuman mati terhadapnya dilaksanakan segera.
Katanya, selepas Mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dia menelefon Musa tetapi diminta bersabar.
“Saya beritahu DSP Musa, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua.’”
Azilah juga berkata dia melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan.
Bekas polis itu juga memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang “meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah”.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Musa dan Razak Baginda untuk mengulas perkara ini.
Malaysiakini juga belum dapat berhubung dengan peguam negara Tommy Thomas berkenaan perkara ini.


Banjir: Mersing terputus hubungan

Bernama
Bandar Mersing yang seringkali menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu tidak ubah seperti ‘pekan koboi’ hari ini selepas terputus hubungan dengan daerah lain ekoran bencana banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat termasuk kawasan riadah Taman Laut Sultan Iskandar dan pusat perniagaan Mersing Harbour Centre di Mersing petang tadi mendapati tempat tarikan itu lengang tanpa pengunjung malah kebanyakan premis perniagaan juga ditutup.

Di beberapa buah jalan pula, tidak banyak kereta mahupun motosikal kelihatan lalu-lalang seperti kebiasaan.

Keadaan ini sekali gus mengundang ‘resah’ kepada beberapa orang peniaga jika berterusan kerana ramai daripadanya bergantung sepenuhnya kepada kehadiran pelancong untuk melariskan jualan.

Pengusaha keropok lekor Siti Jumiria Nasir, 38, berkata jualannya susut mendadak selepas daerah itu dilanda banjir.

"Selalunya apabila tiba musim cuti sekolah, kunjungan orang ramai tidak putus-putus tetapi apabila Mersing dilanda banjir ditambah pula beberapa laluan ke sini sudah ditutup, maka, secara tak langsung perniagaan saya terjejas.

“Jadi saya berharap agar banjir ini cepat surut supaya semuanya kembali kembali normal seperti biasa,” katanya yang hanya berniaga ​​​​​berhampiran Dataran Kembara di Mersing..

Bagi peniaga makanan ringan Abdul Rahman Abdul Bakar, 50, yang sudah berniaga selama 14 tahun pula, dia bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan makanan untuk menyara keluarga.

“...tetapi apakan daya, hujan lebat. Jadi terpaksa tutup kedai sekejap dan baru hari ini buka semula tetapi kurang pelanggan,” katanya.

Banjir sejak semalam menjejaskan seramai 1,282 mangsa daripada 363 keluarga di Mersing setakat ini.

Kejadian turut mengakibatkan beberapa jalan yang menghubungkan daerah berkenaan dengan kawasan seperti Kota Tinggi, Johor Bahru dan Rompin ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

Banjir juga dilaporkan berlaku di lapan daerah lain iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Segamat.
-Bernama

Nak sihat? Cuba makan popcorn

FMT Reporters
Macam pelikkan bila menggalakkan anda untuk cuba mengambil bertih jagung (popcorn) sebagai snek untuk kekal sihat?
Turunkan berat badan

Jangan salah faham, tidak dimaksudkan popcorn yang dibeli sebelum memasuki panggung wayang.

Makanan tersebut telah disalut dengan karamel dan perasa tambahan menjadikan kalorinya setinggi 1,000.

Pada tahun 2009, Center for Science in the Public Interest telah mendapati bahawa set kombo bertih jagung dan air berkarbonat bersaiz medium yang sering dijual di kiosk panggung wayang mempunyai 1,610 kalori.

Ia juga mempunyai 60g kandungan lemak tepu bersamaan dengan jumlah rekomendasi pengambilan lemak untuk tempoh 3 hari.

Secara terang-terangan, bertih jagung ini tidak sesuai untuk dimakan jika anda ingin menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, bertih jagung mentah (air popped popcorn) hanya mengandungi 31 kalori secawan.

Ia merupakan snek yang mengandungi jumlah kalori terendah berbanding dengan snek-snek yang lain.

Tambahan pula, 15 kalori bertih jagung mentah ini mempunyai kapasiti kekenyangan yang sama dengan 150 kalori keropok kentang.

Namun, kunci kepada kejayaan untuk menurunkan berat badan bergantung kepada disiplin diri dalam mengehadkan pengambilan makanan meskipun ia sihat, seperti bertih jagung ini.

Jika diambil pada jumlah yang banyak, ia tetap menggemukkan.

Tinggi serat

Bertih jagung mentah diperbuat daripada bijian yang tidak diproses, bermaksud ia mengandungi kandungan serat yang tinggi.

Serat merupakan mineral yang tidak boleh diserap oleh tubuh namun ia memberikan beberapa kesan baik terhadap fisiologi badan.

Serat boleh mengurangkan tahap penyerapan glukosa di usus kecil bagi memberikan kestabilan rembesan insulin seterusnya boleh menyumbang kepada penurunan berat badan.

Ia juga melancarkan pergerakan najis melalui usus besar dan memainkan peranan penting dalam menghindari kanser usus yang sedang menular kini.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Joe Vinson, walaupun bijirin sarapan seperti oat sering dipasarkan sebagai bahan makanan bijirin tulen, namun ia tidak mengandungi peratusan bijirin setinggi bertih jagung mentah.

Kandungan seratnya dapat mengekalkan tahap kekenyangan individu untuk jangka masa yang lama dan ia dapat memberikan kesan positif terhadap sistem penghadaman individu.

Komponen antioksidan

Polyphenol merupakan molekul antioksidan yang terkandung di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Ia dapat menurunkan tahap keradangan di dalam badan dan sering dikaitkan dengan kelanjutan usia.

Namun, kebaikan antioksidan ini hanya boleh dinikmati pada kadar minimum memandangkan buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kandungan air yang tinggi.

Bertih jagung juga mempunyai molekul antioksidan ini.

Malah, ia mempunyai kandungan polyphenol yang sangat pekat memandangkan kandungan airnya yang sedikit (4%).

Semangkuk bertih jagung mempunyai jumlah polyphenol yang lebih tinggi daripada mana-mana buah-buahan atau sayur-sayuran, namun adakah kita boleh mengabaikannya di dalam diet?

Jawapannya tidak kerana bijian ini kaya dengan vitamin yang merupakan komponen penting dalam diet setiap individu.

Namun, jika dilihat pada kandungan polyphenol di dalamnya, ia boleh menghindarkan anda daripada mendapat penyakit kardiovaskular dan kanser memandangkan polyphenol mempunyai sifat antiradang.

Pemakanan seimbang adalah kunci kepada kelanjutan usia.

Bertih jagung mentah mempunyai kebaikan yang pelbagai.

Jika anda ingin mengambil snek ketika menonton televisyen, bertih jagung mentah merupakan pilihan terbaik.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.