"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Yang ini pakar dalam dalam bidang fitnah agaknya

Fitnah bekas CEO Yayasan Kebajikan Negara: Kamarul mohon maaf, jamin tidak ulangi
MALAYSIA DATELINE


Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff memohon maaf kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Kebajikan Negara, Datin Che Asmah Ibrahim susulan kenyataan berbaur fitnah berhubung dana kepada pelarian Rohingya.

Kamarul dalam kenyataannya kelmarin mengakui dakwaannya pada 30 April lalu sebagai “tidak benar, kelihatan berunsur fitnah serta tidak berasas”.

Penulis rencana di Harakadaily itu berkata, beliau terpengaruh dengan asakan dan desakan yang tidak berasas tanpa dirinya membuat semakan terlebih dahulu terhadap maklumat yang diperolehnya.

Kamarul dalam hantaran di Facebook bernama ‘Kamarul Yusoff’ menulis, “tiada walau satu sen pun hasil daripada dana AS$50 juta kerajaan Qatar sudah sampai kepada pelarian Rohingya?”

Kamarul Zaman Yusoff

Sehubungan itu, beliau memohon maaf dan memberi jaminan tidak akan mengulangi hal tersebut lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, Che Asmah dalam kenyataannya sedia memaafkan permohonan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM itu.

“Saya sedia memaafkan permohonan dari sedara semuslim saya Dr Kamarul Yusuf yang telah menyebarkan berita tidak benar dan kelihatan berunsur fitnah terhadap saya melalui laman FB beliau Kamarul Yusoff pada 30 April 2020.

“Bagi mereka yang saya tidak kenal dan mereka juga tidak kenal saya tetapi telah sama-sama like & ‘share'(316 kali) posting tersebut atas tujuan tertentu dan mencerca, mencelaka dengan penuh kebencian, harap maklum bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

“Sesungguhnya dosa manusia kepada Allah boleh dipohon ampun dariNya tetapi dosa sesama manusia harap fikirlah sendiri,” kata Che Asmah lagi.

Subky Latif meninggal dunia

Bekas wartawan kanan dan veteran PAS, Subky Latif dilaporkan telah meninggal dunia.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anaknya menersi satu hantaran di Facebook.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin,” kata mereka.

Muhyiddin sudah memberitahu pemimpin Bersatu supaya bersedia kemungkinan pilihanraya mengejut akan diadakan

MUHYIDDIN AKAN BUBAR PARLIMEN SEBELUM BELIAU DIJATUHKAN, KATA PEMIMPIN BERSATU
Shahbudin Husin
Pagi tadi saya berkesempatan berbual agak panjang dengan seorang pemimpin yang menjadi Ahli MPT Bersatu Pusat.

Beliau adalah Ahli MPT yang pro kepada Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri sekarang ini.

Berbagai perkara dan topik kami perbualkan – tentang Muhyiddin, Tun Mahathir Mohamad, masa depan Bersatu, hubungan Bersatu dengan UMNO dan PN, usaha menjatuhkan Perdana Menteri, pilihanraya awal secara mengejut dan macam-macam lagi.

Berkenaan usaha menjatuhkan Muhyiddin, terutama yang digerakkan oleh Tun Mahathir, beliau tidak yakin nombor atau jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan akan mencukupi bagi tujuan itu.

Menurut beliau, sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mempunyai banyak kelebihan bukan saja untuk menghalang, tetapi juga untuk menarik Ahli Parlimenn pembangkang agar menyokong kerajaan.

“Itu kelebihan yang tidak boleh dinafikan, cuma Perdana Menteri belum menggunakan lagi kelebihan itu, mungkin menunggu langkah yang akan dimulakan oleh Tun Mahathir terlebih dahulu,” katanya dengan yakin.

Lebih beliau tidak yakin usaha menjatuhkan Muhyiddin itu akan menemui kejayaan ialah jika ianya dilakukan tanpa sokongan Anwar Ibrahim dan PKR untuk menjayakannya.

Tambahnya, dengan 38 Ahli Parlimen dimiliki oleh PKR dan jika Anwar kekal dengan pendirian menolak atau tidak mahu menyokong Tun Mahathir, hampir pasti atau terlalu sukar usaha menjatuhkan Muhyiddin daripada menjadi kenyataan.

Malah, beliau juga penuh yakin Anwar tidak akan sedia menyokong atau bekerjasama dengan Tun Mahathir setelah Presiden PKR itu dipermain-mainkan dengan janji peralihan kuasa sebelum ini.

“Saya penuh yakin Anwar ada ketegasan yang jitu kali ini di mana beliau tidak akan membiarkan dirinya dipatuk buat kali ketiga oleh Tun Mahathir,” tambah Ahli MPT itu lagi.

Ditanya lebih lanjut jika Tun Mahathir terus berusaha ke arah itu, beliau menegaskan, Muhyiddin tidak akan membiarkan dirinya dijatuhkan begitu saja.

Muhyiddin katanya, pasti akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihanraya awal diadakan sebelum dirinya dapat dijatuhkan.

“Dalam pertemuan dengan pimpinan parti dua minggu lalu, Muhyiddin memang telah membayangkan kemungkinan ke arah itu dan meminta semua pihak bersiap sedia menghadapi pilihanraya awal itu,” ujar beliau seterusnya.

Kata beliau, peringatan Muhyiddin itu memberi erti bahawa mengadakan pilihanraya awal memang sentiasa ada dalam pertimbangannya.

Ahli MPT Bersatu itu juga memberitahu, Muhyiddin ketika ini sedang mengadakan perbincangan aktif dengan pimpinan parti-parti lain dalam PN bagi menyelesaikan beberapa perkara seperti pembahagian kerusi sebagai persiapan ke arah mengadakan pilihanraya awal itu.

“Saya yakin soal pembahagian kerusi akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Selepas itu, jika apa-apa berlaku, Muhyiddin tiada masalah lagi untuk memanggil pilihanraya secara mengejut,” kata beliau..

Tetapi, beliau mengingatkan, jika pilihanraya awal diadakan, bagaimana Tun Mahathir mahu menghadapinya?

“Adakah PH sedia lagi bekerjasama dengannya, sedangkan untuk menjatuhkan Muhyiddin pun Anwar tidak mahu bersama dengan Tun Mahathir?” soal Ahli MPT itu lagi. (Shahbudindotcom 22/06/2020)