"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

CUKUPLAH SEKALI SAJA PH BEKERJASAMA DENGAN MAHATHIR, JANGAN BUANG MASA

Shahbudin Husin

Bagi mereka yang mengikuti dan faham perjalanan politik Tun Mahathir Mohamad, rata-rata dapat merasakan perseteruannya dengan Anwar Ibrahim hanya akan berakhir apabila nyawa terpisah daripada jasadnya.

Selagi bernyawa, beliau dipercayai akan terus bermusuh, sedaya upaya menyekat atau setidak-tidaknya mengganggu kemaraan politik Presiden PKR itu.

Di sebalik Anwar diketahui memang sudah lama memaafkan Tun Mahathir, malah sedia menyambut huluran tangan bekas Perdana Menteri itu untuk berbaik dan seterusnya bekerjasama menjelang PRU 2018 lalu, hubungan baik mereka ternyata tidak bertahan lama.

Sebaik berkuasa semula, bibit-bibit ke arah “mengencing” Anwar sudah mula terlihat daripada gerak-geri, tingkah laku dan nadanya bersuara..

Tidak perlu dihuraikan panjang lebar bagaimana segalanya itu berlaku, tetapi yang nyata bukan daripada Anwar ia berpunca.

Mengimbas sebelum itu, selepas bersara pada 2003 dan kemudian keluar daripada persaraan untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi, meskipun ada permintaan agar beliau kembali semula ke dunia politik, Tun Mahathir dengan tegas menolak gesaan tersebut.

Alasannya, beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.

Begitu juga, ketika pentadbiran Najib Razak yang ditonjolkannya untuk menggantikan Tun Abdullah mula bermasalah, khususnya berkaitan karenah Rosmah Mansor, pembaziran, suka bermewah, merebaknya budaya “cash is king” dan seterusnya skandal 1MDB, di sebalik beliau mula melakukan serangan dan kritikan, Tun Mahathir tetap menolak gesaan untuk bertanding semula.

Beberapa kali permintaan itu diajukan kepadanya, tetapi jawapannya tetap sama iaitu beliau telah menjadi Perdana Menteri selama 22 sebelum itu.

Hanya apabila skandal 1MDB semakin meresahkan rakyat, Najib semakin ditolak dan terlihat kemungkinan PH ada peluang meraih kemenangan, barulah beliau memulakan langkah berubahnya.

Bermula dengan Deklarasi Rakyat, mendekati pemimpin-pemimpin PH, bertemu Anwar di mahkamah, menubuhkan Bersatu, menawarkan diri mengetuai PH, bertanding dalam PRU15 dan menuntut perlunya Bersatu diberi kerusi majoriti untuk ditandingi.

Walaupun mungkin berubahnya perdirian beliau itu kerana ingin menjatuhkan Najib, tetapi ia juga tentu disebabkan untuk menghalang kemaraan Anwar.

Tun Mahathir tidak mustahil dapat merasakan peluang PH untuk menang PRU14 sangat cerah kerana penolakan rakyat terhadap Najib atas isu 1MDB amat besar, maka jika beliau tidak berada dalam PH, ia pasti kemudiannya akan memberi laluan mudah untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, walau bersetuju dengan janji peralihan kuasa, nyata Tun Mahathir mula berdolak-dalik mengenainya, mula memecah-belahkan PKR melalui Azmin Ali, melemahkan PH secara halus dengan antaranya enggan menunaikan beberapa janji manifesto pilihanraya, membawa kumpulan penentang Anwar dalam UMNO untuk menyertai Bersatu dan macam-macam lagi.

Semuanya itu dilakukan dengan hanya satu tujuan – untuk menyekat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tindakan Tun Mahathir meletak jawatan tanpa berunding dengan PH adalah strateginya untuk kembali berkuasa tanpa terikat lagi dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Walhal, sebelum Langkah Sheraton itu, bukan saja semua gerakan mengumpul sokongan untuk beliau terus menjadi Perdana Menteri melalui pembentukan kerajaan baru adalah dengan restu dan lampu hijaunya, malah pada petang hari Langkah Sheraton itu diadakan juga semua pemimpin parti yang menyokongnya mengadakan perjumpaan di kediamannya.

Tun Mahathir setuju dengan semua gerakan itu kerana ia bertujuan mengekalkannya sebagai Perdana Menteri sambil Anwar tidak lagi menjadi penggantinya.

Selepas meletak jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri interim, beliau terus tampil dengan idea kerajaan perpaduan yang akan menjadikannya memiliki kuasa tanpa had dan berjaya mengenepikan Anwar sebagai penggantinya.

Mujur idea kerajaan perpaduan itu ditolak UMNO dan Pas kerana ia akan melibatkan DAP sama.

Selepas kegagalan itu, beliau terus cuba bersaing untuk menjadi Perdana Menteri, meski dalam tembual semua Ahli-Ahli Parlimen dengan Agong, beliau hanya mampu memperolehi undi paling sedikit sekali.

Bagi undian kali ketiga selepas itu, beliau terus mahu menjadi Perdana Menteri lagi dan meskipun Anwar sedia beralah dengan memberi sokongan kepadanya, Tun Mahathir tetap enggan melatakkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Lihat, betapa pendendam dan busuk hatinya.

Begitu pun, semuanya sudah terlambat apabila Muhyiddin Yassin akhirnya, dengan disokong UMNO dan Pas, lebih dulu diyakini oleh Istana Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam beberapa cubaan untuk blok pembangkang mengembalikan mandat rakyat seterusnya, Tun Mahathir kemudiannya tetap berkeras untuk dirinya dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Apabila namanya tidak dipersetujui dan beberapa rundingan dengan PH menemui kegagalan,!beliau selepas itu menonjolkan nama Shafie Apdal pula.

Maknanya, nama untuk memberi laluan dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak sama sekali akan dilakukan oleh Tun Mahathir.

Kemudian, apabila setiap kali Anwar cuba berusaha untuk mengambil alih kuasa, pasti ada saja gerakan dan gangguan yang cuba dilakukannya, terakhir sehari sebelum pengundian bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 baru-baru ini di mana Tun Mahathir tampil dengan Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk memimpin negara secara percuma dan tanpa gaji.

Sekarang ini, di sebalik Anwar dipercayai akan terus berusaha mengembalikan mandat rakyat berdasarkan keyakinan PH terhadapnya, tiba-tiba muncul pula suatu gerakan lain ke arah mewujudkan semula PH Plus, perlunya dibentuk gabungan besar pembangkang, tetapi diselitkan syarat PH harus menukar penerajunya.

Tidak lain, semua ini adalah agenda untuk membawa semula Tun Mahathir menerajui blok pembangkang dan sekali lagi tujuan lainnya ialah bagi mengenepikan Anwar.

Dengan kemelut PN dan MN, UMNO dan Bersayu yang terus berpanjangan di mana pembahagian kerusi bakal menjadi masalah besar, pertandingan tiga penjuru – BN, PH dan PN – dalam PRU akan datang adalah sukar dielakkan.

Dalam hal ini, Tun Mahathir sedar peluang PH menang pilihanraya adalah cerah, kalau pun tidak secara bersendirian, mungkin dengan mewujudkan kerajaan campuran selepas itu.

Dalam erti kata lain, peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tetap ada dan terbuka.

Sebab itu, selain sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang, namun kemudian menarik balik keputusan itu, Tun Mahathir kini tidak lagi pernah menyebut soal persaraannya.

Disebabkan Anwar masih ada, beliau seolah-olah sudah lupa untuk bersara.

Percayalah, Tun Mahathir tidak akan berhenti berpolitik selagi Anwar ada, lebih-lebih jika ruang untuk Pengerusi PH itu menjadi Perdana Menteri sentiasa terbuka.

Harus juga jangan lupa, dalam sidang media bersama Ku Li baru-baru ini, Tun Mahathir turut menyatakan dirinya tidak perlu tunduk dan taat kepada Anwar, meskipun beliau berada di blok pembangkang.

Soalnya, adakah pihak tertentu dalam PH sendiri sekarang sudah buta, kalau pun tidak “gila”, sehingga mahu membuang masa bekerjasama semula dengan seseorang yang mempunyai ciri khianat dan dendam paling dahsyat seperti Itu?

Bukankah lebih baik dibiarkan beliau mereput begitu saja? (Shahbudindotcom 20/12/2020)

Netizen serang Nasrudin bila kata mahu pertahan akidah ummah

MALAYSIA DATELINE

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) yang juga AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan diserang oleh para netizen apabila berkata “Yadim akan perhebatkan gerakan pertahan aqidah ummat melalui dakwah dan program pengukuhan aqidah.”

Di dalam ruangan komen terhadap posting beliau itu, penuh dengan kata-kata sindiran terhadap beliau berikutan kes anak saudara seorang menteri wanita dari Johor yang berkahwin dengan ketua pasukan hoki India berketurunan Sikh.

Gambar keratan laporan yang digunakan untuk menyerang Nasrudin Hassan.

Nizam Toha menulis, “Akidah (isteri) pemain hoki terbela di zaman PN”. Ia dipercayai ditujukan kepada kes wanita Malaysia dari Johor yang berkahwin dengan pemain hoki India berbangsa Sikh itu.

Shamsul Effendey pula menulis, “Itu je???? Xde demo² dah ke?”. Beliau dipercayai menyindir tindakan Nasrudin dan Pas sebelum ini yang mengadakan pelbagai demonstrasi kononnya untuk mempertahankan akidah Islam tetapi selepas menjadi kerajaan yang berkuasa, ia sudah tidak ada lagi.

Fareez Kezam pula mengulas, “Ejas buat himpunan padang merbok ustaz. Ana nak pegi jual baju. Dah lama tak cedok ni.”

Fareez dipercayai menyindir Nasruddin yang sebelum ini menganjurkan perhimpunan menyokong Rang Undang-undang 355 RUU355) di Padang Merbok dengan mencetak baju-T dengan banyak tetapi selepas menjadi kerajaan dan Menteri Undang-undang dari Pas, RUU355 sudah senyap entah ke mana.

Ad Irwan pula menulis, “Din, ulas sikit isu gadis melayu sedara mara menteri Umno yang kawen dengan lelaki Sikh tu..kira murtad ke macam mana tuh?? Xcukup kuat dakwah tu Din sapa ada hok murtad secara terang terangan doh..”

Mohd Muhammad menulis “ejas molek2 bende ni, kalau perlu tipu orang kampung berhimpun balik kat Padang Merbok buat je din.. nampk sikit buat kerje” sambil menyiarkan gambar perkahwinan ketua pasukan hoki India itu.

Tengas Bara Tengas menulis, “Apa tindakan yadim dlm isu ni? Sebab apa yg aku nampak sepatah haram pun tak buat statement berkaitan isu ni..” sambil menyiarkan gambar perkahwinan itu.

PKR yakin Anwar masih ada 'nombor'

Malaysiakini

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail percaya bahawa presiden parti itu, Anwar Ibrahim masih mampu mendapatkan jumlah yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.

Dia berkata perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Berkanun (SD) atau melalui Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Saifuddin berkata Anwar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH.

"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya.

"Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan progres terhadap usaha beliau kepada pimpinan utama PH," katanya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu Utusan Malaysia semalam bahawa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan berlanjutan apabila dewan bersidang semula pada Mac.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno Ketereh, Annuar Musa mendakwa terdapat usaha berterusan dari dalam parti itu untuk menyokong Anwar.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga melobi BN agar menyokong presiden PKR itu pada Okt lalu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini meminta pembangkang supaya tidak membazirkan tenaga dan membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan yang disifatkan mereka sebagai 'oportunis'.

Ini selepas tiada ahli parlimen kerajaan yang mengundi untuk menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata presiden PKR telah diberi mandat untuk mendapatkan jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan dan tidak seharusnya dipersalahkan.

"Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar. Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.

"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha," katanya kepada Sinar Harian.