"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Srikandi Bersatu sakan berpesta gelek ‘Kopi Dangdut’

FAZLI RADZI

Tular di media sosial sekumpulan anggota Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gembira berjoget lagu dangdut.

Kira-kira 20 orang wanita dilihat menari diiringi irama lagu ‘Kopi Dangdut’ yang sedang berkumandang dalam sebuah dewan.

Menerusi klip rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, turut kelihatan seorang lelaki separuh usia menari dengan kedua-dua tangannya lentik ke atas mengikut alunan lagu popular Indonesia era awal 1990-an itu.

Mereka yang ada ketika ketawa dan bersorak mengikut irama lagu ciptaan asal tahun 1958 dari Venezuela, “Moliendo CafĂ©” (Mengisar Kopi) itu dilihat ada yang tidak mengenakan pelitup muka.

Sumber memaklumkan kepada Malaysia Dateline, aksi ceria anggota sayap wanita parti diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu berlaku ketika Kursus Pemantapan Pimpinan Srikandi Bersatu di Holiday Inn Shah Alam pada pada 28, 29 dan 30 April lalu.

Ini bermakna mereka bergelek gembira antara 16 hingga 18 Ramadan ketika kes harian Covid-19 meningkat antara 3,142 kes hingga 3,788 kes dengan jumlah keseluruhan 408,713 kes pada akhir April lalu.

Lagi penjawat awam ditahan dalam serbuan parti liar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sepuluh individu termasuk seorang penjawat awam ditahan polis dalam serbuan parti liar di sebuah unit apartmen di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, semalam.

Serbuan kira-kira 7.30 malam itu menahan semua suspek yang dipercayai pasangan kekasih berusia di antara 18 hingga 40 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, dua daripada mereka juga didapati merentas negeri tanpa kebenaran semata-mata untuk datang berhibur di apartmen terbabit.

Katanya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk alat pembesar suara serta minuman keras yang ditemui di situ.

“Kita menahan lima lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun. Polis juga merampas alat pembesar suara dan minuman keras di lokasi serbuan.

“Siasatan mendapati dua daripada mereka merentas negeri dari Sungai Buloh dan Kajang, Selangor. Kita juga mengesan salah seorang suspek menyewa unit apartmen selama dua hari sejak semalam dengan bayaran RM130 sehari,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Zainal berkata hasil ujian air kencing mendapati sembilan daripada mereka dikesan positif dadah yang dipercayai diambil ketika berada di apartment terbabit.

Pada masa sama, katanya semua suspek dikenakan kompaun RM4,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Manakala dua lagi yang merentas negeri itu menerima tambahan kompaun sebanyak RM5,000 lagi atas kesalahan yang dilakukan mereka.

Menurut Zainal, tindakan kompaun dikenakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

‘Amin Idris tak nak campur isu Ebit Lew, Caprice, Nadir tapi…’

ZULQARNAIN ABU HASSAN

KUALA LUMPUR: Pengacara program Islamik terkenal, Amin Idris enggan masuk campur isu perdebatan antara Ustaz Ebit Lew dan Caprice namun dia berpesan terhadap individu yang dikenali ‘ustaz’ tidak mengeruhkan lagi situasi yang sudah berlaku.

Amin menerusi Instagramnya menegur dan menegaskan bahawa ‘ustaz’ tersebut hendaklah menjaga kelakuannya malah mengingatkan kes mahkamah antara Amin bersama individu itu masih belum selesai.

“Saya tak nak campur dalam isu Ebit Lew, Caprice mahupun Nadir An Nuri. Saya doakan kebaikan buat mereka. Namun nasihat saya buat seorang ‘ustaz’, jangan masuk campur boleh? Kes mahkamah awak dengan saya pun tak settle lagi.

“Jaga perangai, apa awak tulis akan jadi against awak di mahkamah nanti. Pihak mahkamah akan melihat sikap dan kelakuan di media sosial. Kalau tak faham, sila rujuk peguam ‘ustaz’. Ikhlas daripada saya yang masih dalam kuarantin, positif Covid-19,” tulisnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut dan peminat pengacara itu menyifatkan tindakan ‘ustaz’ tersebut tidak lain hanya mahu meraih perhatian orang ramai dan “gila glamor”.

Sementara itu, pelakon dan penyampai radio terkenal, Sharifah Shahirah, berkata, “Kita manusia biasalah, drama… pentas dunia,” komennya.