"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong amat dukacita, Takiyuddin kelirukan Dewan Rakyat

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin pada kenyataan hari ini.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda," katanya.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui tedahulu dengan Takiyuddin Hassan selalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Idrus Harun, peguam negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.

"Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Ahmad Fadhil.

Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.

Ramai pihak sebelum ini berpendapat pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.

Pengumuman Takiyuddin pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.

Takiyuddin juga berkata lantaran itu, "isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan."

Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:

  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]
  • Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021

Kredibiliti PN dipersoal selepas elak soalan mudah Ordinan Darurat, kata penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Kerajaan berdepan isu kredibiliti dan keabsahan yang timbul susulan enggan mendedahkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan membabitkan pembatalan ordinan darurat, menurut penganalisis.

Bercakap kepada FMT, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM), berkata kecurigaan sama ada Agong memberi perkenan tidak dapat dielakkan.

Oh berkata, enggan “memberi jawapan terhadap soalan mudah” menyebabkan “lebih banyak soalan berbangkit”.

Awang Azman pula berkata, kini timbul spekulasi bahawa Agong belum memberi perkenan berhubung pembatalan itu.

Isnin lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan pada 21 Julai lalu, membatalkan semua Ordinan Darurat mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan. Persoalan berkenaan kekal tidak dijawab.

Kata Oh, persoalan terbabit adalah penting kerana pembatalan hanya boleh dibuat dengan perkenan Agong, lebih-lebih lagi Ordinan Darurat diisytiharkan atas nama baginda.

Katanya, tindakan membatal Ordinan Darurat sebelum persidangan Dewan Rakyat memberi isyarat kerajaan tidak mahu ordinan itu diundi dan berkemungkinan disebabkan persoalan membelenggu Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan majoritinya.

“Sekiranya kerajaan tidak mempunyai majoriti, ia mengesahkan kecurigaan bahawa kerajaan sedia ada adalah kerajaan minoriti dan kredibiliti serta keabsahan untuk memerintah pastinya terjejas teruk,” katanya.

Awang Azman berkata, Ordinan Darurat sepatutnya diperdebatkan dan ditarik balik hanya selepas undi di Parlimen.

“Kegagalan mendapatkan sokongan menarik semula Ordinan Darurat di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mendedahkan sama ada Agong memainkan peranan dalam pembatalan memberi tamparan terhadap kredibiliti kerajaan.

“Ini akan dilihat cubaan mengelirukan Ahli Parlimen dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, terutama jika Agong belum memberi perkenan ketika pengumuman dibuat.

“Imej kerajaan sudah tercalar. Biarpun kerajaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan, tanggapan bahawa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong akan kekal,” katanya.

Maut selepas terima vaksin campuran

KOSMO!

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Chawetsan Namwat dalam sidang media laporan bedah siasat. - NNT

BANGKOK – Thailand melaporkan kes kematian pertama melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang dikaitkan dengan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca, lapor akhbar Thaiger News, kelmarin.

Berita ini muncul ketika kerajaan sedang bersiap sedia meneruskan perancangan mencampur dua vaksin berbeza sebagai meningkatkan imuniti badan dalam mengekang penularan varian Delta di negara tersebut.

Berdasarkan bedah siasat ke atas mangsa yang mendapat vaksin campuran daripada Sinovac dan AstraZeneca, doktor telah mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan pembengkakan otak akibat darah beku.

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit,  Dr. Chawetsan Namwat mendedahkan laporan bedah siasat kepada umum berikutan kematian berlaku sehari selepas mangsa menerima vaksin campuran.

Punca kematian rasmi adalah edema serebrum, iaitu ketika cecair berlebihan terkumpul di otak, akhirnya menyebabkan otak membengkak dan mampatan saluran darah otak.

Laporan bedah siasat bagaimanapun tidak menyatakan adakah ia dianggap sebagai kesan langsung daripada penerimaan vaksin, kesan sampingan atau insiden kesihatan semata-mata.

Wanita itu memang mempunyai masalah darah tinggi namun doktor di pusat vaksinasi memaklumkan mangsa dan suaminya bahawa vaksin itu masih selamat serta sesuai untuknya.

Suami mangsa turut  mendapat campuran yang sama dengan satu dos Sinovac dan satu dos AstraZeneca namun hanya mengalami sedikit ketidakselesaan selepas itu.

Tindakan mencampurkan vaksin sudah menjadi isu yang dipandang serius Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila menyatakan penentangan pada awalnya.

WHO kemudiannya melembutkan pendapat dengan mengatakan bahawa individu tidak boleh memilih campuran vaksin mereka tanpa panduan perubatan profesional.

Pusat Kawalan dan Penyakit Berjangkit dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand akan membuat siasatan lanjut berkenaan laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada tindakan campuran vaksin membawa masalah atau memberi lebih banyak kebaikan. 

Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha baru-baru ini mengarahkan kajian lebih menyeluruh dibuat berkenaan keberkesanan campuran dua vaksin berbeza iaitu Sinovac dan AstraZeneca. – Agensi