"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Negeri pertama adakan sidang DUN esok, Johor jadi tumpuan susulan kemelut politik Umno, PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan membuka tirainya esok dan menjadi tumpuan apabila menjadi negeri pertama mengadakan persidangan selepas Parlimen mula bersidang akhir bulan lalu.

Tumpuan itu susulan kemelut politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dan Umno di peringkat pusat yang dijangka memberi kesan pada sidang DUN yang selama ini berlangsung tenang.

Memetik laporan Berita Harian, tindakan kerajaan Johor diterajui Umno yang terus mengambil sikap berdiam diri walaupun Bersatu Johor mendesak supaya pendirian jelas diumumkan, sama ada terus menyokong PN atau pun mengikut ketetapan Umno pusat, dilihat mampu memberi kesan kepada persidangan yang berlangsung.

Minggu lalu, Menteri Besar Hasni Mohammad yang juga Ketua Umno Johor mencuri tumpuan apabila dilaporkan meminta keabsahannya sebagai Menteri Besar supaya dibangkitkan dan dibincangkan ketika persidangan berlangsung.

Mengulas mengenai sama ada berlaku kejutan ketika Sidang DUN Johor yang bermula esok, ahli jawatankuasa Bersatu Johor, Osman Sapian mengambil pendirian untuk tidak mendahului parti.

Beliau yang juga bekas menteri besar berkata, Bersatu Johor mempunyai strategi tertentu namun ia tidak boleh diumumkan secara terbuka.

“Itu (strategi Bersatu) kita tak boleh bincangkan secara terbuka. Kita ada strategi tersendiri.

“Pastinya strategi ini memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di peringkat Pusat.

“Apa pun keputusan Bersatu Johor perlu mendapat restu dan kelulusan kepemimpinan tertinggi parti iaitu Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Selagi tiada restu dan kelulusan presiden, selagi itu tiada kenyataan mengenainya akan dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini sehingga 22 Ogos nanti.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, dilaporkan bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar pada tarikh berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Terdapat 56 kerusi DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Tak komen jelek, hina atau maki Sanusi, tapi saya ‘kena’ juga, kata Ketua Umno Sungai Petani

FMT Reporters

Ketua Umno Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff mendakwa dirinya menjadi “mangsa” hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sejurus selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa orang ramai bebas mengkritik dan menegurnya tetapi tidak secara ‘melampau,’ Ketua Umno Sungai Petani tampil mendakwa dirinya menjadi “mangsa” hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda.

“Saya tak komen jelek, hina …(atau) maki MB Kedah pun… tetapi (petang ini) saya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis,” kata Shahanim Mohamad Yusoff di Facebook.

Menurutnya “orang ramai yang komen macam-macam,” tetapi beliau yang dipanggil ke balai polis untuk diambil kenyataan.

“Salahkah ‘up’ status jumlah kematian? ….Bersuara demi rakyat..Allah tahu niat kita..mana demokrasi,” tambah Shahanim.

Petang tadi, Sanusi berkata beliau tidak ambil hati jika ditegur, selagi ia bukan kenyataan hinaan, carut dan fitnah yang menyalahi undang-undang.

Katanya, beberapa penangkapan baru-baru ini adalah susulan laporan polis dibuat pegawainya, yang menganggap kenyataan tertentu terhadapnya sebagai melampaui batas dan tatasusila.

Baru-baru ini empat orang ditahan polis kerana didakwa memecah keamanan dan menyalahgunakan undang-undang internet dengan membuat kenyataan dianggap menghina Sanusi di Facebook.

Ini berkaitan kenyataan dibuat beliau di Sungai Petani pada hujung minggu lalu berhubung penggunaan kontena untuk jenazah Covid-19. Bercakap kepada FMT, Sanusi berkata kebebasan bersuara tidak membolehkan seseorang bertindak sesuka hati.

“Media sosial bukan tempat melempar fitnah, memburuk, mencari salah silap orang, memaki hamun, mengadu-domba, guna bahasa kesat dan sebagainya atas alasan mengkritik pemimpin.

“Jika ada kesilapan yang langgar undang-undang selama menggunakan media sosial, mereka perlu menghadapi akibatnya berdasarkan undang-undang.”

Kes rogol dikaitkan Adun Gombak Setia: 'Apa jadi lepas 9 bulan?

Shakira Buang

Seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Adun Gombak Setia Hilman Idham akan memfailkan saman sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tindakan itu diambil selepas hampir sembilan bulan membuat laporan polis, dia belum mendapat sebarang jawapan mahupun perkembangan siasatan, kata peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Asheeq berkata demikian setelah menghantar surat menuntut penjelasan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini

Katanya, surat pertama mereka pada 10 Jun melalui e-mel kepada PDRM dan ketua polis negara tidak berbalas.

"Kini, sudah berbulan masih tiada maklum balas sehingga hari ini. Ia juga sudah terlalu lama dan kami tidak lagi boleh menunggu,” katanya.

Katanya, saman itu akan difailkan jika surat terbaru hari ini tidak dijawab dalam masa tujuh hari.

Tambah Asheeq Ali, anak guamnya mempunyai hak untuk mengetahui perkembangan atau hasil siasatan polis atas aduan dibuatnya.

"Ini adalah kes rogol yang melibatkan nama-nama besar. Laporan juga telah dibuat tetapi kenapa mengambil masa yang terlalu panjang?” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Asheeq membandingkan kes anak guamnya itu dengan kes lain sebelum ini.

"Laporan kes Adun Tronoh diterima 9 Julai 2019 dan dituduh bulan seterusnya dan kes kedua membabitkan wakil rakyat parti Amanah tindakan diambil dengan kadar segera tetapi kenapa kes ini hampir sembilan bulan tidak ada perkembangan?” soalnya.

Pada 24 Mei lalu, polis berkata hampir menyelesaikan siasatan berhubung tuduhan rogol terhadap wanita 33 tahun itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim yang dihubungi Malaysiakini ketika itu berkata, siasatan yang bermula Disember lalu dijangka selesai tidak lama lagi.

Terdahulu Azmi memberitahu wartawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bahawa kertas siasatan akan diserahkan pada 25 Mei atau hujung minggu tersebut.

Mangsa membuat laporan polis pertama pada 5 Disember yang mendakwa dua lelaki merogolnya, namun menarik balik laporan pada 8 Disember kerana mendakwa diugut.

Dia bagaimanapun berubah fikiran dan meminta siasatan dilakukan pada Januari.

Salah seorang yang didakwa merupakan pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional, makakala seorang lagi dikatakan rakan Hilman.

Menurut laporan polis pertamanya, dia terbangun pada pukul empat pagi pada 5 Disember di sebuah bilik hotel dalam keadaan berbogel sendirian.

Wanita itu merasakan dirinya dinodai setelah menemui kondom di bilik mandi.

Wanita itu juga membuat laporan polis kedua pada 8 Mei dan mendakwa Hilman "merancang" insiden tersebut setelah makan malam sempena sambutan hari jadi dan sesi karaoke di sebuah hotel di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Dia sebelum ini mengaku sebagai wanita dipapah ke bilik hotel dalam rakaman CCTV yang tular oleh seorang lelaki yang didakwanya sebagai Hilman.

PNBBC Portal melaporkan, Hilman pada 4 Mei menafikan kesahihan surat tular bahawa dia menjelaskan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan video itu.

Hilman ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini tidak memberikan sebarang komen.