"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM pagi di Johor, petang jumpa Hadi ketika Covid-19 lepasi 21,000 kes

FAZLI RADZI

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hari ini bergerak dari Johor hingga ke Terengganu ketika kes harian Covid-19 melepasi 21,000 iaitu paras tertinggi, 21,668 kes.

Kira-kira jam 5 petang tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kampung Rusila, di Marang.

Ketibaan Mahiaddin disambut anak Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil.

Pertemuan Mahiaddin dengan pemimpin sekutu kerajaan PN itu berlangsung kira-kira sejam.

Turut mengiringi Mahiaddin, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Media melaporkan hanya Mahiaddin, Hamzah dan Ahmad Samsuri memasuki kediaman Abd Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu.

Sejurus keluar dari rumah tersebut, Abdul Hadi dan Muhyiddin hanya sempat melambaikan tangan ke arah media sebelum menaiki kenderaan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.10 petang.

Pertemuan Mahiaddin dan Hadi itu susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu.

Terdahulu pagi tadi, Mahiaddin hadir ke persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri.

Mahiaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir tiba di Bangunan Sultan Ismail kira-kira jam 9.30 pagi.

Presiden Bersatu itu duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Istana utus surat mahu tahu jumlah sokongan pada Muhyiddin

Malaysiakini 

Haspaizi Zain & Hariz Mohd

Istana Negara didakwa memohon pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan surat yang tular, Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara mengutuskan surat kepada Speaker, Azhar Harun pada 9 Ogos.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini.

Melalui warkah itu, Yang di-Pertuan Agong ingin mendapatkan kepastian jumlah sokongan kerajaan.

Agong ketika menerima menghadap perdana menteri

Istana berkata, Azhar melalui surat pada 3 Ogos memberitahu kedudukan semasa sokongan kepada Muhyiddin adalah 106 orang.

Bagaimanapun, kata istana, pada 4 dan 6 Ogos, dua anggota jemaah menteri meletakkan jawatan, menjadikan jumlah sokongan berkurangan dua orang.

"Pihak Istana Negara juga mendapat makluman bahawa empat ahli Dewan Negara telah menukar pendirian dan telah menyokong YAB perdana menteri.

“Walaubagaimanapun sehingga kini tiada laporan rasmi daripada YB Datuk berkaitan perkara tersebut.

"Sehubungan  dengan itu pihak Istana Negara memohon laporan terkini mengenai bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong YAB perdana menteri untuk disembuh maklum kepada KDYMM Yang di-Pertuan bagi apa-apa perkenan selanjutnya," kata surat berkenaan.

Surat terbabit ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Azhar diminta menjawab surat itu sebelum jam dua petang pada 10 Ogos - dua hari lepas.

Pada 9 Ogos lalu, Umno mendedahkan 13 surat membabitkan ahli parlimen termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Mohamadin Alamin yang tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Selain itu turut tersebar surat dikatakan jawapan balas Azhar. Bagaimanapun perkara ini belum dapat disahkan.

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar dan masih menunggu penjelasannya.

Bagaimanapun, portal Malaysiapost melaporkan Azhar enggan mengesahkan mengenai ketulenan surat balasannya kepada istana.

“Maaf, saya tak boleh komen mengenai komunikasi rasmi saya, lebih-lebih lagi kalau dengan pihak istana,” dia dipetik sebagai berkata menerusi aplikasi WhatsApp.

Blogger dakwa Mahiaddin akan letak jawatan hari ini

MALAYSIA DATELINE

Blogger dan aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin mendakwa, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin di jangka meletakkan jawatan pagi ini.

“Mahiaddin Yasin di jangka hantar surat perletakan jawatan pagi ini.. Berkuat kuasa hari ini,” tulis beliau menerusi Facebooknya.

Penyataan ini tidak dapat disahkan sejauh mana ia benar atau hanya andaian beliau semata-mata.

Lewat petang semalam Mahiaddin bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional di Putrajaya namun sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan mengenainya.

Para pemimpin yang terlibat juga menguncikan mulut masing-masing dari bercakap mengenainya.

Sebelum ini, Malaysia Dateline difahamkan, Mahiaddin bercadang mempercepatkan sidang Parlimen sehingga minggu depan berbanding September nanti.

Ia didakwa berdasarkan keputusan yang dicapai selepas pertemuan beliau dengan Yang Dipertuan Agong bagi menentukan keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

Ini berikutan tindakan Umno menghantar surat kepada Yang Dipertuan Agong bahawa 14 ahli parlimen mereka menarik diri dari menyokong kerajaan PN.

Susulan itu, semua parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan, Warisan, Pejuang, Muda dan bebas juga berbuat perkara yang sama.