"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Sukan nafi nikah dengan Erra Fazira

FAZLI RADZI

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan kononnya beliau bernikah dengan selebriti pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira.

Bekas Menteri Besar Perak yang dipanggil sebagai Peja itu berkata, beliau amat bahagia dengan satu-satunya isteri dan anak-anaknya.

“51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali.

“Itupun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” katanya menjawab soalan oleh Senator Datuk Razali Idris ketika sidang di Dewan Negara hari ini.

“Syabas kerana turun jawab soalan. Hari ini saya ada tiga (soalan). Dalam sehari dua ini di media sosial gegak gempita mengatakan Yang Berhormat Menteri Belia (dan Sukan) berkahwin dengan seorang artis popular tanah air,” soal Razali.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, tidak membenarkan Ahmad Faizal menjawab soalan itu kerana di luar skop tumpuan.

“Ada kena mengena? Ini di luar skop. Itu hal peribadi beliau dan saya tidak benarkan beliau menjawab,” kata Rais.

Razali kemudiannya membalas persoalan yang diajukan itu ada kena-mengena kerana membabitkan peribadi Ahmad Faizal sebagai menteri.

Tular di media sosial sejak petang semalam kononnya Ahmad Faizal bernikah dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Erra Fazira, 47, yang berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor itu.

Gerakan mahu guling Presiden Pas: ‘Jangan nak mulakan kerja mengarut’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menafikan wujudnya gerakan yang mahu menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti heboh diperkatakan.

Mengulas penyebaran audio berkaitan gerakan itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, dia telah mendengar rakaman suara tersebut.

“Jangan nak mulakan kerja-kerja mengarut. Tuan Guru Presiden sentiasa di hati kami para pimpinan. Bahkan, AJK yang ada sekarang inilah yang mempertahankan TG presiden dari projek langgar Hadi oleh kumpulan jebon 2015.

“Lalu ada yang hantar sebuah audio kepada saya. Saya dengar butiran demi butiran perkataan.

Tiada sepatah pun perkataan yang soreh (jelas) mahupun kinayah yang boleh memberi erti ‘Tukar TG Hj Hadi’,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pendedahan audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Abdul Hadi tular menjelang pemilihan pimpinan Pas yang dijadualkan bulan depan.

Rakaman audio itu antara lain mendedahkan, pemimpin Pas yang dinamakan Dr T itu mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Mokhtar melarang munculnya tanggapan sedemikian memandangkan rakaman audio itu tidak ‘soreh’ iaitu jelas atau nyata.

“Bila tidak soreh jangan nak bina persepsi bagi menghuru-harakan parti (Pas). Moga tiada ‘tali barut’ yang cuba buat kecoh atas arahan atau perancangan orang di luar parti,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru agar Pas dimantapkan melalui kesetiaan ahli dan pimpinan parti tersebut.

“Jom perkukuhkan Pas dengan wala kepada jamaah dan pimpinan.

“Tapi pelik juga macam mana audio yang tak soreh itu boleh sengaja dirakam dan ditularkan? Siapa? Apa tujuan?” soalnya lagi.

Pandora Papers dedahkan kekayaan negara diseludup

FAIZ FADZIL

Kontroversi “Pandora Papers” bukanlah isu yang baharu, malah pendedahan mengenai simpanan luar pesisir (offshore) sebegini telah berlaku beberapa kali dalam dekad yang lepas.

Setiap kali pendedahan ini dibuat, khususnya ketika pentadbiran Najib Razak, nama Malaysia pasti akan terpalit. Dalam pendedahan “Panama Papers” pada tahun 2016, sekurang-kurangnya 1,784 individu Malaysia telah dinamakan, termasuk anak Najib, Mohd Nazifuddin.

Pada tahun 2015, pendedahan “Swiss Leaks” telah menunjukkan bahawa 93 akaun klien berkait dengan Malaysia.

Semua pendedahan ini menunjukkan bagaimana ahli politik dan orang kaya lari daripada cukai dan menyimpan kekayaan mereka dalam akaun-akaun tersembunyi di negara lain, yang selalunya mempunyai kadar cukai yang rendah.

Akibatnya, Malaysia kehilangan hasil cukai, sehinggakan rakyat B40 dipaksa bayar cukai lebih tinggi, contohnya menerusi GST.

Aliran keluar wang haram telah menjadi serius ketika pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional.

Menurut laporan Global Financial Integrity, jurang nilai dagang atau “value gaps” Malaysia (merujuk kepada beza nilai perdagangan dilaporkan Malaysia dan rakan negara dagang) telah meningkat daripada US$25.9 bilion pada tahun 2009 kepada US$41 bilion pada tahun 2017.

Keadaan ini merujuk kepada masalah “trade misinvoicing” iaitu kaedah popular menyeludup keluar kekayaan ke negara rendah cukai.

Saban tahun, Malaysia berada dalam kalangan 5 negara teratas dalam isu aliran keluar wang haram. Kerajaan tidak pernah ada suruhanjaya khas yang bebas untuk menyiasat isu ini.

Pada 9 Oktober baru-baru ini, Najib cuba memutarkan isu ini dengan mengatakan hanya syarikat-syarikat Malaysia serta MNC terlibat dalam “trade misinvoicing” ini.

Padahal, Global Financial Integrity telah secara jelas menyatakan bahawa “trade misinvoicing” ini  juga meliputi ahli politik, ahli kerajaan dan penjenayah yang menyeludup keluar wang secara haram.

Global Financial Integrity juga pernah menyebut bahawa kegagalan kerajaan membendung rasuah boleh meningkatkan aliran keluar dana haram.

Gesaan Najib bahawa cukai GST hanya satu-satunya kaedah untuk menyelesaikan masalah ini adalah tidak masuk akal.

Jika benar GST boleh membendung aliran wang haram secara haram, negara-negara maju OECD tidak akan terus terjejas dengan masalah ini sehingga sekarang.

Ironinya, data Global Financial Integrity menunjukkan nilai “value gap” Malaysia telah meningkat selepas GST diperkenalkan.

Justeru, rakyat perlu bersatu hati menolak amalan rasuah dan mengangkat agenda integriti dan tadbir urus baik (governance).

Dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, dokumen tersebut telah menyebut tentang perang menentang pelbagai kegiatan haram termasuk aliran dana haram.

Untuk berjaya dalam perang menentang aliran keluar wang haram ini, Malaysia perlu menambah baik sistem perundangan dan pemantauan pihak berkuasa.

Episod hitam negara dengan kewujudan pelbagai “shell company” yang seterusnya menyebabkan berlaku skandal 1MDB tidak boleh dibiarkan berulang.

Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, adil dan bebas pendedahan antarabangsa seperti Pandora Papers, Panama Papers dan Swiss Leaks.

Jangan biarkan rakyat marhaen yang tidak bersalah terus merana. Kekayaan negara harus dikongsi secara adil demi mencapai kemakuran bersama.