"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Hadi dapat undi tertinggi, Nik Abduh tewas

Faiz Zainudin 

Tiga jawatan Naib Presiden PAS kekal milik penyandang asal iaitu Idris Ahmad (dari kiri), Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Abdullah. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun gagal mempertahankan jawatannya.

KUALA TERENGGANU: Anak Abdul Hadi Awang mendapat undian tertinggi sebagai ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, gagal mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan parti kali ini.

Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ADUN Batu Burok meraih 884 undi manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendapat 877 undi untuk menduduki tempat kedua.

Kemenangan menyakinkan Khalil sememangnya dijangka, dan sealiran dengan sentimen perwakilan yang mengekalkan Hadi sebagai Presiden parti tanpa bertanding.

Namun kekalahan Nik Abduh – anak tokoh utama PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Murshidul Am PAS – dilihat sebagai mengejutkan.

Jumlah undi yang diperolehi Ahli Parlimen Bachok itu dan 17 calon lain yang kalah dalam saingan untuk 18 kerusi dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak diumumkan.

Turut senasib dengan Nik Abduh ialah Mohd Khairuddin Aman Razali dan Mokhtar Senik.

Pemilihan PAS turut menyaksikan ketiga-tiga Naib Presiden parti iaitu Idris Ahmad, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Abdullah mengekalkan jawatan apabila pencabar tunggal, Muhd Zuhdi Marzuki tewas.

Sebelum ini, Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man diumum menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Keputusan itu diumumkan wakil Jawatankuasa Pemilihan PAS, Nur Khuzaini Ab Rahman.

Berikut adalah keputusan pemilihan AJK PAS Pusat bagi sesi 2021-2023:

Pengerusi Tetap

Hussin Ismail (Menang tanpa bertanding)

Timbalan Pengerusi Tetap

Kamal Shaari (Menang tanpa bertanding)

Presiden

Abdul Hadi Awang (Menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden

Tuan Ibrahim Tuan Man (Menang tanpa bertanding)

Naib Presiden

1. Idris Bin Ahmad dengan 1,164 undi (kekal jawatan)

2. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan 778 undi (kekal jawatan)

3. Mohd Amar Bin Abdullah dengan 956 undi (kekal jawatan)

AJK PAS Pusat 2021-2023

1. Muhammad Khalil Abdul Hadi (884 undi)

2. Muhammad Sanusi Md Nor (877 undi)

3. Kamaruzzaman Mohamad (872 undi)

4. Khairil Nizam Khirudin (844 undi)

5. Riduan Mohd Noor (841 undi)

6. Iskandar Abdul Samad (822 undi)

7. Dr Halimah Ali (774 undi)

8. Dr Mohd Fadzli Hassan (736 undi)

9. Ahmad Marzuk Shaari (707 undi)

10. Mohd Nassuruddin Daud (706 undi)

11. Najihatussolehah Ahmad (695 undi)

12. Siti Zailah Mohd Yusoff (688)

13. Azman Ibrahim (679 undi)

14. Nasrudin Hassan (645 undi)

15. Ahmad Amzad Mohamed (615 undi)

16. Aliakbar Gulasan (613 undi)

17. Mahfodz Mohamed (609 undi)

18. Dr Rosni Adam (609) undi

Cakap bukan main, tetapi hanya satu calon Pas lawan DAP di Melaka

MALAYSIA DATELINE

Pas disifatkan sebagai bercakap sahaja soal hendak melawan DAP tetapi hanya sanggup meletakkan seorang sahaja calon mereka untuk melawan DAP dalam pilihan raya negeri Melaka.

Aktivis politik, Jamzuri Ardani dalam posting beliau di facebook berkata, sebelum ini bukan main lagi menyebut mahu melawan DAP.

“Sebelum ini bukan main hati-hari sembang pasal nak lawan DAP kunun… cesss!!!” tuis Jamzuri.

Dalam pertandingan tiga penjuru di PRN Melaka kali ini, tujuh calon Pas akan bertembung dengan Umno, yang dianggap oleh Pas sebagai rakannya sebelum ini di samping calon Pakatan Harapan.

Lima calon Pas pula bertembung dengan calon AMANAH dari PH, bertembung dengan dua calon PKR dan satu calonnya bertembung dengan calon MCA.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, para penyokongnya akan mengundi calon PN yang lain apabila bertembung dengan calon dari BN termasuk Umno.

Beliau juga pernah berkata, parti itu akan mensasarkan kerusi DAP.

Tidak namakan bakal KM mungkin merugikan PH

Robin Augustin

PH mencalonkan dua bekas Ketua Menteri, Adly Zahari (kiri) dan Idris Haron untuk bertanding dalam PRN Melaka.

PETALING JAYA: Kegagalan Pakatan Harapan untuk menamakan calon Ketua Menterinya jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh merugikan parti itu, kata penganalisis.

“Bagi saya, ini adalah kesilapan PH. Orang ramai mahu tahu siapa yang mungkin menjadi KM selepas PRN,” kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan.

Ketiadaan nama akan memberi kesan negatif kepada pengundi, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar, katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, keputusan untuk tidak menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari daripada Amanah sebagai calon tidak memberi keyakinan.

Katanya, keputusan itu “jelas untuk tidak menutup pintu buat Idris Haron”, yang juga bekas Ketua Menteri.

Wong berkata, naif untuk fikir bahawa DAP, yang berkemungkinan menjadi parti terbesar selepas PRN, akan menerima Idris sebagai KM jika PH menang.

Langkah pilih bekas ADUN Umno mungkin makan diri

Mengenai langkah PH memilih bekas ADUN Umno, Idris dan Nor Azman Hassan bagi kerusi Asahan dan Pantai Kundor, Azmi berkata, ini seperti pedang bermata dua.

“Idris dan Nor Azman sudah tentu boleh menarik undi Melayu di kawasan yang ditandingi tetapi hakikat bahawa PH meletakkan mereka sebagai calon boleh membuat penyokong mereka sendiri tidak senang.

“Saya percaya kesan negatif pencalonan mereka akan mengatasi manfaatnya,” katanya.

Wong berkata, tindakan PH menerima Idris dan Nor Azman sangat menjatuhkan pendirian moral gabungan itu mengenai isu lompat parti, terutama bagi PKR dan Amanah.

Katanya, walaupun Umno dan Bersatu turut mencalonkan individu yang melompat parti, ramai penyokong PH menganggap diri mereka lebih “berprinsip” berbanding penyokong Umno atau Bersatu.

“Jadi, ini akan menjatuhkan semangat PH, termasuk DAP yang berpendirian tegas membantah lompat parti,” katanya.

“Satu-satunya cara untuk PH pulih mungkin adalah ikrar untuk membentangkan atau menyokong rang undang-undang antilompat parti atau pemecatan selepas pilihan raya.”