"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: 'Sampai masanya kita mengajar orang yang bongkak'

Malaysiakini

PRN JOHOR | Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, sekarang adalah masa untuk mereka "mengajar" parti dan orang politik yang "bongkak" selepas mereka dibantu oleh PAS.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata sebelum ini PAS berkempen dengan "penuh keikhlasan" membantu calon BN dalan pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan di Tanjung Piai.

Untuk rekod PRN Tanjung Piai itu diadakan pada 16 Nov 2019 ketika negara ini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan berkenaan mendapat mandat daripada rakyat.

PAS pula masih menjadi pembangkang dan baru saja memeterai piagam kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional, manakala PN pula belum wujud.

Kata Ahmad Fadhli ketika PRK Tanjung Piai PAS bersungguh-sungguh membantu BN dengan mengarahkan ahli dan penyokong memenangkan Wee Jeck Seng dari MCA.

Kini katanya ada pihak tertentu yang mendakwa PAS tidak ikhlas berkawan dengan mereka.

"Saya tak nak sebut nama siapa, tapi inikah nilai sebuah persahabatan? Inikah cara kamu menilai sebuah persahabatan?" katanya di depan penyokong PN.

Ahli parlimen Pasir Mas itu berkata demikian semasa berucap sempena pelancaran jentera Pemuda PN sempena PRN Johor di Batu Pahat.

Petikan ucapan itu dikongsikan sendiri oleh Ahmad Fadhli di media sosialnya semalam.

PH tak boleh menang

Hubungan di antara Umno dan PAS kini terus tegang dengan kedua-dua parti saling melontarkan kritikan tajam di antara satu sama lain.

Antara kecaman yang pernah dibuat datang daripada presiden PAS sendiri, Abdul Hadi Awang, yang menganggap Umno sebagai parti yang tidak bermoral kerana mahu bergerak sendirian selepas dibantu ekoran kekalahan dalam PRU 2018.

Abdul Hadi juga mengumpamakan Umno seperti itik yang patah kakinya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menyindir Abdul Hadi - yang gemar menggunakan haiwan sebagai perumpamaan - dengan menyarankan duta khas bertaraf menteri itu meninggalkan jawatan sebagai ahli politik dan menjadi zoologi.

Kata Ahmad Fadli lagi, di Johor adalah tempat berkumpulnya beberapa pemimpin BN yang mengeluarkan kenyataan tajam sehingga melukakan hati PAS dan PN.

"Maka sampai masanya kita kena ajar orang yang bongkak. Bukan semuanya, tidak," katanya lagi.

Bagaimanapun dia tidak menyebut atau memetik mana-mana pemimpin Umno bagi menjelaskan kenyataan tersebut.

Sementara itu ketua Pemuda PAS itu juga dengan yakin meramalkan bahawa PH tidak akan memenangi PRN Johor, justeru gabungan yang pernah menjadi kerajaan di Johor itu "tidak perlu dihentam".

"Dalam situasi yang ada pada hari ini [...] PH tak boleh menang. PH sudah menjadi pakatan yang tak ada harapan," katanya.

Maszlee sah calon PH DUN Layang-Layang

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nama bekas Menteri Pendidikan itu diisytihar pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini hari ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Maszlee yang sebelum ini daripada Bersatu telah menyertai PKR kira-kira tiga bulan lalu.

Mengulas pemilihannya, beliau mengakui terharu dengan kepercayaan yang diberikan parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis PKR, Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.

“Namun, saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding demi menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN-DUN lain juga kita dapat bantu.

“Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang ada di Parlimen Simpang Renggam.

“Lagi pula DUN Layang-Layang dalam Parlimen Simpang Renggam,” katanya yang menyertai PKR pada 27 November lalu.

Maszlee menjadi calon keenam diumumkan bertanding mewakili PKR pada PRN Johor, bulan depan.

Kena istikharah dulu, kata Rafizi bila diminta aktif politik semula

MALAYSIA DATELINE

Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan membuat solat istikhrah terlebih dahulu setelah digesa sesetengah pihak supaya beliau aktif semula dalam politik.

Menjawab ciapan @reformis Rafizi menjelaskan beliau akan berbincang dengan keluarga dan pemegang saham serta tim rakan-rakan di tempat kerja sebelum memutuskan untuk aktif dalam politik.

“In Sha Allah saya solat istikharah. Kena tanya keluarga, kena bincang dengan shareholders, kena bincang dengan team members ditempat kerja (kucing aku Kristy confirm tak setuju).

“Bila kita ambil jalan politik, niatnya kena betul,” tweet Rafizi.

Terdahulu, ciapan @reformis merayu Rafizi kembali aktif dalam politik kerana menyifatkan negara sekarang seolah-olah tiada hala tuju.

“Bro @rafiziramli , tolonglah comeback. Aku dah tak tahu mana hala tuju negara kita sekarang. Tolong bro, kita masih ada tugas yang kita kena selesaikan,” rayu beliau.

Beliau berkata, Malaysia masih memerlukan khidmat Rafizi dan mencadangkan mereka bermula dari peringkat bawah.

“Kita mula semula dari bawah. Agenda reformasi mesti kita selesaikan demi anak cucu kita,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi pernah mengumumkan beliau tidak akan kembali ke arena politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Pengumuman itu selepas dia dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).