"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas dapat ‘restu’ PAS, Bersatu Terengganu letak 10 calon lawan BN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu Terengganu akan meletakkan calon di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang Barisan Nasional (BN) hasil persetujuan bersama PAS, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bersatu negeri, Razali Idris, berkata pihaknya juga akan meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Besut, selain mempertahankan Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau berkata, PAS melalui perbincangan pengagihan kerusi sudah bersetuju menyerahkan 10 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dikuasai BN kepada Bersatu untuk meletakkan calon.

“Kita sudah menyerahkan senarai calon untuk bertanding di 10 kerusi DUN kepada Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk dianalisis.

“Kita menyerahkan senarai tiga calon bagi setiap kawasan DUN kepada Muhyiddin untuk dimuktamadkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada PRU14 lalu, BN memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

Mengulas lanjut, Razali yang juga ketua Bersatu bahagian Marang berkata, senarai calon diserahkan untuk bertanding di 10 kerusi DUN terbabit adalah berintigeriti, bebas daripada jenayah serta diterima rakyat.

Katanya, senarai calon daripada Bersatu itu juga diserahkan kepada pimpinan PAS negeri untuk dianalisis.

Berhubung pengumuman nama ADUN Telemong, Rozi Mamat, yang akan bertanding mewakili Umno di kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Razali berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri urusan parti itu, namun mengakui ia berlaku di luar peraturan parti.

“Mengikut peraturan, calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen akan ditentukan presiden dan bukannya pengerusi Umno negeri,” katanya.

Terbukti projek AKSB timbulkan masalah: Exco Kelantan dicadang letak jawatan

BORHAN AHMAD

Bekas Pengerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Hanifa Ahmad, dicadangkan agar meletakkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, berikutan sekitar 150,000 pengguna air terjejas akibat kegagalan Rumah Pam Telaga Jejarinya.

Ini berikutan kerosakan di projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II (Pakej I) yang telah kontroversi sejak dari awal lagi dan dikritik.

Awal 2018 lalu, pihak yang menegur masalah pembinaannya, Datuk Husam Musa telah disaman oleh AKSB namun kes itu telah dimenangi oleh Husam.

Kini, Pengerusi Save Kelantan itu, Datuk Husam Musa mencadangkan agar Hanifa meletakkan jawatan kerana beliau bertanggungjawab terhadapnya.

“Apa kata, Pengerusi AKSB di masa itu, YB Datuk Hanifa Ahmad – sekarang masih Exco – diminta berundur dari Exco Kerajaan Negeri kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab meneruskan pelantikan kontraktor berkenaan walau pun sudah diperingatkan.

“Menjadi kewajipan beliau sebagai Pengerusi AKSB untuk menjaga kepentingan Kerajaan dan rakyat Kelantan melalui amalan pengurusan yang beramanah.

“Sebarang kepincangan kerana gagal mengikut amalan pengurusan yang pruden hendaklah dipikul oleh mereka yang terlibat,” kata Husam dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

Menurut Husam, akibat kelemahan peringkat awal pembinaan loji ini telah menyebabkan masalah timbul sekarang ini.

Berdasarkan HEBAHAN GANGGUAN AIR terpapar di Laman Web AKSB sendiri sejak kelmarin dan dikemas kini pada 14 Mei 2022.

Ia berpunca dari kebel besar Aksb – 11 kv atau 11,000 volt dan pepasang elektrik Pam Telaga Jejari AKSB di Sungai Bagan rosak, kata Husam

“Ikut kawan-kawan TNB, kabel macam ini boleh tahan berpuluh tahun bagi projek lain. Kalau pasang betul dan elok,” katanya.

Katanya, kejadian keroskan ini jarang berlaku kalau kontraktor yang memasangnya baik.

“Apa tah lagi bagi loji atau rumah pam yang baru siap seperti di Sungai Bagan, di bawah Projek Merbau Condong yang penuh kontraversi dari awal.

Tetapi ia berlaku.

“Tok-Tok Wakil Pas kena buka la mata. Jangan anggap teguran orang lain langsung tak ada kebenaran. Tegur lah mana patut sebelum terlambat macam sekarang,” kata beliau.

Ini kerana, beberapa Dun terlibat dari empat jajahan?

“Kan Tok Wakil juga yang susah dan dimarahi. Kalau pun tidak dibenci oleh rakyat?” katanya.

Husam menyindir, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub “tak payah lah letak jawatan, fasal KEGAGALAN AKSB bagi beliau tak ada apa-apa yang hendak diherankan, kan.”

TEGURAN

“Info terkini yang saya terima – kerja-kerja pembaikian kabel yang rosak ini memerlukan kontraktor pakar dalam mencari lokasi kebocoran kabel,” kata beliau.

Menurut Husam, panjang kabel yang terlibat adalah sejauh 800 meter atau setengah batu.

Kabel ini dipasang di tepi sungai Bagan. Kawasan ini rata-rata di penuhi kebun jagung penduduk setempat dan kawasan pengambilan pasir.

Bahagian MnE AKSB mungkin tidak mempunyai kepakaran diperlukan, katanya.

“Saya agak kontraktor elektrik dari Kuala Lumpur terpaksa dipanggil dan dengan itu kerosakan ini memerlukan masa sekurang-kurangnya sampai sehari dua lagi untuk dikesan dan pembaikian selesai.

“Panjang jugalah masa ratusan ribu rakyat jelata menderita.

“Berapa pula nanti kos pembaikian ini? Kalau pun tak jutaan, ratusan ribu ringgit akan lesap,” dakwanya lagi.

Katanya, ia kembali kepada cerita kontraktor yang dilantik oleh AKSB dulu tidak ada kelayakan, sub kepala untuk kerja elektrik dan mekanikal atau MnE yang menjadi asas tender.

Laporan berita AKSB memburu pihak yang membocorkan maklumat.

“Ini lah yang ditegur oleh pegawai AKSB yang jujur masa itu. Mereka pula yang diburu – seperti kenyataan YB Datuk Hanifa di atas. Bukan nak betulkan kesalahan. Kini, Allah tunjukkan KekuasaanNya,” kata Husam merujuk kepada kenyataan Hanifa sebelum ini.

Ketika kesilapan ini didedahkan Husam awal 2018 dahulu, Hanifa membuat kenyataan media untuk menyiasat siapa yang memecahkan dokumen tender berkenaan.

Menurut Husam, sejak awal lagi kontraktor utama yang dilantik tidak ada kelayakan MnE.

“Periksalah dokumen-dokumen pra kelayakan tender dulu. Kalau Aksb kata dah tak ada, saya ada salinan dokumen itu,” katanya.

Untuk menutup kekurangan itu, katanya, kontraktor yang tak layak dari awal itu telah menubuhkan syarikat usaha sama dengan sebuah syarikat lain.

“Kontraktor ini tidak layak dari awal. Tetapi tetap dilantik. Agak sendiri lah sebabnya,” katanya.

Menurut bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu, pihak tertentu dalam pengurusan AKSB telah menutup hilang kelayakan ini.

“Syarikat yang ditubuhkan untuk menutup kehilangan kelayakan ini pula belum didaftarkan ketika mereka diberikan projek ini sehingga ditegur oleh Penasihat Undang-Undang Kelantan sendiri masa itu.

“Semua itu tidak dipedulikan oleh Aksb.

“Mereka tetap lantik syarikat yang tak layak.

“Bila saya membuat teguran terbuka, saya dituduh memfitnah AKSB. Saya disaman atas tajuk ini, bukan tajuk yang lain.

“Selang masa berlalu, Allah Maha Besar menunjukkan apa yang terjadi. Ia menyusahkan rakyat jelata.

“Ia mengaibkan AKSB, kecuali AKSB pun beriman dengan malu apa. Apa kita nak kata sekarang?” katanya.

#SaveKelantan #AKSB #HusamMusa #Kelantan #Pas

Nama-nama besar tandingi jawatan dalam PKR

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Pemilihan PKR bermula pada Jumaat untuk memilih pemimpin mereka bagi tempoh tiga tahun akan datang, sehingga 2025, dengan perhatian tertumpu kepada jawatan timbalan presiden yang ditandingi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

Walaupun Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan presidennya tanpa bertanding, perebutan jawatan kepimpinan lain, seperti empat naib presiden yang dipilih, wajar diperhatikan kerana 17 calon bersaing untuk keempat-empatnya.

Antara yang bertanding adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Nama terkemuka lain yang bertanding termasuk Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Setiausaha Penganjur Nik Nazmi Nik Ahmad dan anggota kepimpinan pusat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Selebihnya adalah ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, bekas ahli Parlimen Kapar G Manivannan, bekas timbalan pengerusi Perak MA Tinagaran, bekas ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas naib presiden Pemuda S Thiban; ADUN Sentosa G Gunarajah, ADUN Chuah Michael Yek and ADUN Bukit Selambau R Summugam.

Bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim and Fahmi Zainol merebut jawatan ketua Pemuda. Adam menubuhkan kumpulan “Seangkatan”, manakala Fahmi menyertai kempen “Ayuh Malaysia” anjuran Rafizi.

Bagi jawatan timbalan ketua Pemuda pula, dua calon yang bertanding adalah peguam Kamil Munim and Chua Wei Kiat.

Sementara itu, perebutan jawatan ketua Wanita menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Roziah Ismail dan Fadhlina Sidek, manakala jawatan timbalannya akan ditandingi Faizah Ariffin, Juwariya Zulkifli dan Napsiah Khamis Maharan.

Di peringkat cabang, antara persaingan yang ketara adalah di Gombak, di mana bekas setiausaha politik Anwar Farhash Salvador akan menentang Amirudin.

Di Pulau Pinang, pertembungan antara ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Exco Halim Hussain bagi jawatan ketua cabang Bayan Baru dikatakan patut diberi tumpuan.

Beberapa selebriti yang menganggotai PKR turut mengambil bahagian dalam pemilihan tahun ini.

Hans Isaac dan penyanyi rap Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, akan bertanding untuk jawatan ketua cabang Ampang, dalam pertembungan dengan tujuh yang lain.

ans menyertai parti itu pada 2020, manakala Altimet pada tahun berikutnya.

Sumber dalaman parti berkata, cabang Ampang menjadi lemah selepas bekas ketuanya Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti dan menyertai Bersatu. Dengan Hans dan Altimet bertanding, dijangka ini dapat menyegarkan dan meningkatkan moral di cabang itu.

Seorang lagi selebriti, Ketua Eksekutif Petra Media Afdlin Shauki bertanding untuk jawatan ketua cabang Setiawangsa, menentang Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Undian dalam talian akan dijalankan dari 18-20 Mei bagi mereka yang telah mendaftar, manakala undian secara fizikal bermula pada 13 Mei dan akan diteruskan sehingga 22 Mei.

Keputusan bagi kepimpinan cabang akan diumumkan pada 23 Mei, manakala jawatan timbalan dan naib presiden pada 26 Jun, sehari selepas kongres kebangsaan parti pada 24-25 Jun.

Pemilihan berasingan akan diadakan untuk memilih 60 ahli dalam jawatankuasa pusat, serta jawatankuasa sayap Pemuda dan Wanita. Kira-kira 2,000 perwakilan daripada cabang dijangka akan mengundi.