"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Racun burung merpati, 4 termasuk warga Indonesia didakwa

Bernama

Kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak beracun hingga tular di media sosial, bulan lalu. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Empat individu termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati, bulan lalu.

Dua warga Indonesia Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, kedua-duanya pekerja pembersihan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagaimanapun, dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan perkarangan sebuah kilang di Batu Tiga di sini pada 3.53 petang, 21 Julai lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Fathur Rosi dan Abdul Rahman, serta sebutan dan serahan dokumen untuk dua tertuduh wanita itu.

Rasyihah juga membenarkan kedua-dua wanita warga tempatan itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua warga Indonesia itu pula tidak ditetapkan sebarang jaminan kerana mereka kini ditahan di bawah Akta Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah, dan dua warga Indonesia tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Agung mahu rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau

SITI NUR ZAWANI MISCON

Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Baginda secara peribadi merasakan, perkara itu adalah satu usaha yang cukup murni, dan berharap seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan supaya rang undang-undang itu dapat dikaji dan diteliti.

Baginda Al Sultan turut bertitah anak-anak muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan terbaik agar perkara yang boleh menjejaskan kesihatan dapat dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan di hospital-hospital dalam negara.

“Seri Paduka Baginda dalam Titah Perasmian bertitah penubuhan Kompleks Institut Kesihatan Negara merupakan satu lagi titik tolak penanda aras bagi masa hadapan untuk membawa soal-soal kesihatan ke tahap yang lebih baik demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap usaha kerajaan dalam menjamin dan memelihara kesihatan generasi akan datang, menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di parlimen baru-baru ini,” menurut kenyataan rasmi Istana Negara hari ini.

Sanggup terjun bangunan elak dicekup

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kajang: Seorang lelaki warga Indonesia bertindak nekad dengan terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Kompleks Hentian Kajang, di sini, untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa dalam serbuan pada tengah malam tadi.

Tindakan lelaki berusia 27 tahun itu mengundang padah apabila kaki kanannya dipercayai patah akibat terjatuh dalam insiden berkenaan.

Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu terjun melalui tingkap di rumah sewa yang didiami bersama dua rakannya yang juga warga Indonesia di tingkat empat menyebabkan dia tersangkut pada bumbung di tingkat dua.

Dia kemudian jatuh ke tingkat bawah dan cuba melarikan diri ke belukar berhampiran sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang bertugas.

Lelaki itu memaklumkan bertindak sedemikian kerana takut memandangkan pasport miliknya sudah tamat tempoh pada Disember tahun lalu.

"Saya masuk Malaysia sejak tiga tahun lalu dan pasport sudah mati sejak Disember tahun lalu. Disebabkan itu, saya takut dan bertindak melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Lelaki itu antara 175 warga asing yang ditahan dalam Operasi Kutip (Op Kutip) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi berkenaan bermula jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 425 warga asing di 134 kediaman membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.

"Daripada jumlah itu, kami menahan 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing terdiri daripada berusia antara dua hingga 55 tahun.

"Mereka yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sudah lama memerhatikan Kompleks Hentian Kajang apabila ramai warga asing termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India mendiami kediaman kawasan berkenaan.

"Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.

"Ada juga warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) tinggal bersama.

"Kami juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

"Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian," katanya.

Katanya, kebanyakan Pati yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk di Johor.

"Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen, menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh dan tamat permit kerja.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.