"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahniah Malaysia, Negara ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk

Negara ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk jatuh kepada …

DANIAL HAKIM

Malaysia ‘diiktiraf’ di tangga ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk, mengikut laporan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’.

Kajian dilakukan firma pendidikan pemandu, Zutobi itu memaklumkan mutu jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Dalam masa sama, menurut data firma itu, jumlah kematian jalan raya di Malaysia direkod kedua tertinggi iaitu 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Analisis kajian itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Kuwait turut disenaraikan dalam kumpulan negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Negara yang terletak di pantai Teluk Arab itu juga mencatatkan jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.

Sementara itu, Singapura disenaraikan sebagai negara yang mencatatkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10, lapor BH Online.

Republik itu juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya terendah iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya tertinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Lelaki mengaku salah ugut tikam isteri tolak hubungan seks

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu menikam isterinya kerana menolak permintaan melakukan hubungan seks, Mei lalu.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faidros Mustafa, 41, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan ketakutan terhadap isterinya, Rohani Mohamed Kassim, 32, selepas wanita itu enggan melakukan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan pada 9 malam di sebuah rumah beralamat di Balai Panjang, Melaka Tengah, pada 9 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan, lapor Kosmo.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut menikam perut isterinya itu sekiranya wanita tersebut enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks.

Tertuduh mempunyai dua orang anak turut memaksa isterinya untuk mengambil dadah jenis syabu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf dan tempoh penjara diambil kira daripada tarikh ditangkap iaitu 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Air mata gembira sambut kepulangan mangsa culik

Bernama


Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat pada 13 Sept lalu diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor hari ini.

Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh ibu bapa serta anggota keluarga yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Turut mengiringi ketibaan wanita terbabit ialah Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes terbabit dianggap selesai dan kejayaan berkenaan menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seumpama itu.

“Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

“Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya.

"Sebaiknya kita berilah ruang kepada dia dan keluarganya buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan hari ini.

Jelas Muhamad Zaki, polis akan terus membantu mangsa termasuk dari segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan wanita terbabit.

Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

“Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

- Bernama