"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kesihan PAS?

Umno tak pernah jemput PAS hidupkan MN, kata Zahid

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya tidak pernah menjemput PAS untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang didakwanya dikhianati parti Islam itu sendiri.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Umno juga tidak pernah memulakan sebarang rundingan mengenai kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kita tidak pernah pun mulakan rundingan, jadi tidak ada persoalan sama ada kita memulakan atau menghentikan. Mereka yang datang kepada kita, mereka yang mahu bersama untuk mewujudkan semula MN.

“Setelah kita ditinggalkan, kita tidak pernah menghalau sesiapa untuk tidak berkawan dengan kita dan kita juga tidak menjemput sesiapa untuk berkawan semula dengan kita. Itu jalan mereka sendiri,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76.

Zahid berkata, Umno memilih parti yang setia dalam BN untuk menentukan masa depannya sendiri, walaupun PAS berkeras mahu menghidupkan MN bersama Bersatu dan Umno.

“Kami mempunyai pilihan kami sendiri untuk menentukan masa depan BN bersama rakan-rakan yang setia dalam komponen BN,” katanya.

BN terdiri daripada empat parti komponen, iaitu Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sabtu lalu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan Umno dan Bersatu bagi menghadapi PRU15 demi menjamin kestabilan politik negara selepas pilihan raya.

Agong kecewa situasi politik, tiada pilihan selain perkenan

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik negara dan tiada pilihan selain memperkenankan permintaan untuk Parlimen dibubarkan.

Perkara itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Fadil juga berkata Agong menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar SPR menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November 2022.

"Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir," katanya.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen dalam perutusan yang disiarkan pada jam tiga petang tadi.

Susulan itu, PRU15 perlu diadakan dalama tempoh 60 hari. SPR dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, tarikh undi awal dan tarikh mengundi.

Sementara itu, Ahmad Fadil juga berkata Agong menegaskan negara yang kukuh penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan.

Dia juga memaklumkan Agong berkenan menerima menghadap Ismail Sabri semalam, di mana perdana menteri mengemukakan permintaannya untuk pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini.

"Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang

termaktub di bawah Perkara 40(2X(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan perdana menteri bagi pembubaran Parimen ke-14," katanya lagi.

Puad Zarkashi: Anak bulan di Putrajaya, ‘Raya’ atau ‘pilihan raya’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan kemungkinan Parlimen akan dibubarkan esok.

“Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya. ‘Raya’ atau ‘pilihan raya’,” katanya ringkas di Facebook.

Spekulasi mengenai pembubaran Parlimen semakin kuat selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat satu pengumuman penting esok.

Ismail dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini untuk mendapat perkenan baginda bagi membubarkan Parlimen.

Satu sumber peringkat tinggi kerajaan yang dihubungi FMT berkata, beliau tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat mengenai pertemuan itu tetapi memberitahu, ada satu pengumuman penting dari perdana menteri esok.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan, Ismail menghadap Yang di-Pertuan Agong pada tengah hari ini untuk mendapat perkenan bagi membubarkan Parlimen.

“Parlimen mungkin dibubarkan seawal-awalnya esok,” kata sumber yang dipetik New Straits Times.

Pemimpin Umno sebelum ini mendesak Ismail membubarkan Parlimen segera supaya pilihan raya umum boleh diadakan pada tahun ini tetapi ditolak parti pembangkang dengan alasan risiko musim banjir dan masalah ekonomi negara.