"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Kedah, Sanusi naik angin penyokong minta wang untuk balik mengundi

‘Jangan berkira’, Sanusi selar pengundi minta wang untuk balik mengundi

Predeep Nambiar

PADANG SERAI: Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyelar golongan yang menuntut wang untuk pulang ke kampung halaman bagi tujuan mengundi.

Pengerusi PN Kedah Sanusi Md Nor, dalam ceramah kempen yang dirakam dalam klip video dimuat naik di TikTok, juga berkata, segelintir pengundi merungut dalam talian apabila mereka tidak mendapat elaun untuk mengundi.

Sanusi dirakam berceramah menyokong calon PN Azman Nasruddin pada pilihan raya Parlimen Padang Serai yang akan diadakan pada 7 Dis.

Beliau kelihatan berang terhadap pengundi yang meminta bayaran untuk pulang mengundi. Sebaliknya, katanya, penyokong Pakatan Harapan (PH) sanggup pulang mengundi dari sejauh Australia dan Amerika Syarikat.

“(Pengundi PH) tahu penting tanah ini untuk dikuasai,” katanya, menurut video itu.

“(Kita) kejar wakil rakyat, minta RM50, (ugut) tak mahu balik (mengundi) kalau tak diberi (wang). Memalukan!

“Satu keluarga berhabis RM40,000 pulang dari Australia untuk undi PH. Tak berkira pun.

“Patutlah kita dijajah teruk. Patutlah kemenangan kita (PN) dirampas begitu sahaja, kerana kita ini bangsa yang berkira.”

Sanusi menegaskan betapa pentingnya setiap undi dan meminta orang ramai agar tidak berkira untuk membelanjakan RM50 atau RM100 untuk pulang mengundi.

“Yang lawan kita, balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat, Australia. Duit tambang, 10 sen pun mereka tak minta. Mereka balik undi Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam video itu.

Klip video itu dimuat naik di akaun TikTok @_bintmuhammad.

FMT telah menghubungi Sanusi untuk mendapatkan komen.

Pilihan raya Parlimen Padang Serai pada 7 Dis menyaksikan pertembungan enam penjuru, antara calon PN, PH, Barisan Nasional (BN), Pejuang, Warisan, dan seorang calon bebas. Bagaimanapun, Warisan mengumumkan ia enggan bertanding manakala BN memberi laluan kepada calon PH.

Rafizi akan buat video beri pandangan mengenai kerajaan perpaduan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, salah seorang tokoh Pakatan Harapan (PH) yang merundingkan pembentukan kerajaan perpaduan berkata semalam bahawa rundingan itu tidak “cantik”.

“Tapi bising di luar,” katanya di Twitter.

Rafizi berkata, beliau akan memberikan pandangannya mengenai kerajaan perpaduan tidak lama lagi menerusi video.

Rafizi adalah antara lapan orang Ahli Parlimen PH yang dinamakan sebagai anggota Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat. Beliau dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi).

Jemaah Menteri Anwar dianggotai 15 Ahli Parlimen PH, enam daripada BN, lima daripada Gabungan Parti Sarawak, seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah dan seorang lagi Ahli Parlimen yang bukan ahli mana-mana parti.

Dalam kalangan parti PH, PKR mempunyai lapan kerusi, DAP empat, Amanah dua dan Upko satu.

Penyokong DAP telah mempersoalkan mengapa parti itu secara tidak seimbang diberikan sedikit kerusi walaupun mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dalam kalangan rakan gabungannya.

Pengkritik politik turut mempersoalkan pelantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri walaupun tidak memenangi kerusi di Parlimen. Beliau telah dilantik sebagai senator, salah seorang daripada empat individu yang menjadi anggota Jemaah Menteri melalui Dewan Negara.

Yang kalah lebih bertuah

Aznan Bakar

Alhamdulillah, Jemaah Menteri kerajaan perpaduan telah berjaya dibentuk. Walaupun mengambil sedikit masa, iaitu hampir seminggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim angkat sumpah, disebabkan tawar-menawar, lobi-melobi dan sebagainya, namun kini kerajaan perpaduan sudah terbentuk untuk mengemudi negara.

Selain tanggungjawab besar di bahu perdana menteri yang juga menteri kewangan dalam memulihkan ekonomi negara, tumpuan rakyat sudah tentu kepada menteri-menteri yang memegang portfolio yang ada kaitan secara langsung dengan hidup rakyat.

Sumbangan besar Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli sudah tentu dituntut kerana makanan dan ekonomi adalah dua subjek yang terus membelenggu rakyat ketika ini.

Rakyat tentunya mahu melihat kelantangan kritikan dua menteri ini ketika di pentas ceramah diterjemahkan kepada gerak kerja berkesan untuk membantu mengurangkan atau meringankan beban dipikul.

Rakyat tidak harapkan semua masalah ini selesai dalam sekelip mata, tetapi sekurang-kurangnya ada mekanisme untuk mereka bergantung harap.

Satu lagi elemen yang menarik dalam barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Jumaat lalu adalah mereka yang kalah kelihatan lebih bertuah daripada yang menang.

Kalau tengok kepada rekod perkhidmatan sebelum ini, dua tiga orang individu yang kalah pada PRU15 lalu dan dilantik ke dalam Jemaah Menteri tidaklah cemerlang mana pun berbanding beberapa calon yang menang tetapi tidak dilantik.

Kalau dilihat pada komen-komen di media sosial ramai yang berkata, jika begini situasinya, tidak perlu ada pilihan raya. Lantik saja individu yang berkenan di hati sebagai Senator, lepas itu letak dalam Jemaah Menteri.

Tujuan pilihan raya adalah untuk beri mandat kepada rakyat memilih wakil mereka di Parlimen dan untuk parti yang menang letak wakil di Jemaah Menteri. Nampaknya mandat rakyat itu tidak ada nilai pun, sebab itu mereka yang terang-terang ditolak oleh pengundi mendapat keistimewaan dilantik menganggotai Jemaah Menteri. Nampaknya, pasca-PRU15 mereka yang kalah lebih bertuah. Itu adalah rezeki Allah Taala kepada mereka.

Bagi kategori kluster mahkamah, tidak perlu ulas kerana kita berpegang pada prinsip seseorang itu belum bersalah hingga mahkamah putuskan demikian. Cuma mungkin agak janggal apabila anggota Jemaah Menteri terpaksa hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah.

Media tempatan mungkin boleh memilih untuk tidak melaporkan, tetapi bagaimana dengan media antarabangsa? Pasti ia akan menjadi bahan berita utama mereka. Ibaratnya, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Apa pun kita mendoakan yang terbaik untuk Jemaah Menteri kerajaan perpaduan ini. Kita harapkan dengan kekuatan dan pengalaman yang ada pada Anwar, beliau akan dapat memimpin pasukannya untuk kembali menggemilangkan Malaysia.

Walaupun dengan berat hati, rakyat terimalah keputusan yang telah dibuat oleh pemimpin negara ini biar sebahagiannya tidak seperti apa yang kita mahukan.

Bagi pemimpin yang kalah pada PRU15 dan dilantik dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan ini, buktikanlah bahawa mereka dipilih kerana lebih berkualiti daripada yang menang. Bukan kerana kronisme, lobi atau guna kabel.

Rakyat sentiasa ada untuk menilai.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.