"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal di balai polis

Agensi
POLIS wanita berkenaan. FOTO Agensi  POLIS wanita berkenaan. FOTO Agensi

Washington: Beberapa pegawai polis dipecat dan digantung tugas selepas siasatan mendapati mereka melakukan hubungan seksual walaupun ketika bertugas dan di balai polis.

Mirror UK melaporkan, siasatan dilakukan terhadap Jabatan Polis La Vergne di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) selepas menerima aduan daripada Datuk Bandar La Vergne, Jason Cole.

Menurut laporan penyiasatan, Datuk Bandar menghubungi jabatan sumber manusia polis dan memetik sumber yang tidak dinamakan dalam mendedahkan perkara itu.

Difahamkan, seorang pegawai wanita menjalinkan hubungan intim dengan pegawai lelaki jabatan yang sama, termasuk dengan salah seorang isteri pegawai, dakwa sumber berkenaan.

Datuk Bandar juga memetik maklumat mengenai pesta tab mandi panas di rumah seorang sarjan.

Salah seorang pegawai lelaki terbabit dalam siasatan turut melaporkan kebimbangan serius mengenai kesihatan mental pegawai wanita itu.

Dalam soal siasat, dua pegawai mengaku melakukan hubungan intim secara berasingan dengan pegawai wanita itu ketika bertugas secara aktif di balai polis dan di gimnasium jabatan.

Susulan kejadian, beberapa pegawai polis dipecat dan digantung tugas.

Cole dalam satu kenyataan berkata, kes itu kini dalam siasatan.

Kemelut Sabah - Siapa Main Siapa?

Shahbudin Husin 

Melihat senarai susunan kabinet baru Sabah yang mengangkat sumpah pagi tadi, persoalan utama yang bermain dalam pemikiran kebanyakan orang tentunya ialah siapa main siapa dan siapa akhirnya kena main?

Walaupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Zahid Hamidi turun sendiri ke Sabah untuk menyelesaikan kebuntuan dan kemudian mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan, tetapi Ketua Menteri, Hajiji Noor ternyata enggan akur kepada cadangan tersebut.

Selain mengenepikan UMNO dan Warisan dalam barisan baru kabinetnya, Hajiji turut membawa masuk PH ke dalam kabinet kerajaan negeri, manakala salah seorang daripada lima Adun UMNO yang dikategori belot pula telah diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri menggantikan Bung Mokhtar Radin.

Seorang lagi daripada lima Adun berkenaan juga diberikan jawatan menteri.

Kecewa dengan perlantikan tersebut dan keputusan Hajiji mengenepikan UMNO, Bung Mokhtar selaku Pengerusi UMNO Sabah mengumumkan tidak mengiktiraf kedudukan mereka dalam kerajaan negeri bagi mewakili UMNO.

Ini bermakna, UMNO secara rasmi adalah pembangkang di Sabah walaupun sebelum ini adalah sebahagian daripada kerajaan.

Status lima Adun itu tentunya menjadi perhitungan selepas ini dan apakah tindakan yang bakal UMNO ambil terhadap mereka?

PH pula, daripada kedudukan sebelum ini sebagai pembangkang kini telah bertukar menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Warisan yang dulu adalah pembangkang dan cuba bekerjasama dengan UMNO untuk menjatuhkan Hajiji, tetap kekal sebagai pembangkang.

Yang aneh lagi pelik, walaupun UMNO dan Warisan adalah pembangkang di Sabah dalam pembentukan kerajaan baru ini, tetapi mereka adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang diterajui Anwar.

Persoalan paling besar, bagaimana Hajiji boleh menolak cadangan kerajaan perpaduan yang disarankan Anwar, tetapi dalam masa yang sama membawa masuk dua wakil PH dalam kabinetnya?

Jika idea kerajaan perpaduan Anwar boleh ditolak oleh Hajiji, siapa pula yang memberi restu kemasukan dua wakil PH itu ke dalam kabinet kerajaan negeri?

Ikut logik, jika idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan Anwar telah ditolak oleh Hajiji, beliau sebagai Pengerusi PH juga sepatutnya tidak membenarkan penyertaan dua wakil PH itu dilantik sebagai menteri.

Yang paling malang dalam kemelut ini tidak lain ialah UMNO kerana dengan kehilangan status sebagai sebahagian dalam kerajaan negeri,parti itu dikira sebagai pihak yang tewas dan kecundang.

Siapa main siapa dan siapa telah kena main?

Tidak terkecuali menjadi persoalan, apakah keberanian Hajiji menolak cadangan kerajaan perpaduan itu ada kaitan dengan kedatangan Hamzah Zainuddin ke Sabah menemuinya dua hari lalu?

Sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini – elok-elok jadi kerajaan, UMNO kini sudah jadi pembangkang di Sabah akhirnya.

Walaupun UMNO Sabah pasti ketika ini sedang kecewa dengan nasib mereka, tetapi siapa yang mahu dipersalahkan?

Adakah ia salah Bung Mokhtar yang berpakat dengan Warisan untuk menjatuhkan Hajiji?

Atau ia salah Presiden UMNO, Zahid Hamidi kerana gagal berperanan sewajarnya dalam memastikan penyelesaikan menang-menang dalam kemelut tersebut?

Kebetulan dengan Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung Jumaat dan Sabtu ini,

Sayap-sayap Umno desak singkirkan 'pengkhianat'

Shakira Buang, Hasapaizi Zain, Hariz Mohd & Ng Xiang Yi

Sudah tiba masanya untuk Umno bertindak lebih tegas dalam berdepan dengan pengkhianatan dari dalam parti itu sendiri.

Lebih-lebih lagi selepas kekalahan teruk Umno dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

Desakan itu dibuat oleh ketiga-tiga sayap parti itu dalam ucapan dasar ketua-ketuanya hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengkhianat perlu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.

Asyraf berkata, gunting dalam lipatan itu hanya mengutamakan diri berbanding parti.

"Episod ‘tikam belakang’ dalam Umno bermula selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, yang segelintir pemimpinnya dikatakan lebih taat terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berbanding presiden parti sendiri.

"Atas asas inilah, dalam dua ucapan dasar sebelum ini, Pemuda tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti without fear or favour.

"Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti Umno ini," katanya.

Tegas Asyraf, Pemuda Umno juga tidak boleh hipokrit dengan “melambung pemimpin tatkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang”.

"Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.

"Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,' katanya.

Tambahnya, sesetengah calon Umno juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti.

"Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup. Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.

"Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?” soalnya.

‘Perlu pembaharuan segera’

Desakan yang sama turut dibuat Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad yang berkata parti itu perlu melakukan pembaharuan penting itu dengan kadar segera.

"Semalam, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalan presiden (Mohammad Hassan) telah menyentuh bahawa kekalahan kita adalah berpunca daripada faktor luaran dan dalaman.

"Dari luar, kita kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat didorong oleh sumber kewangan yang tidak dijangka seperti yang telah ditularkan.

"Dari dalam pula, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri.

"Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan. Pembaharuan penting mesti segera dilaksanakan dan pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi," kata Noraini.

Zahida ingatkan pada disiplin parti

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan mengingatkan semua perwakilan dan seluruh kepimpinannya bahawa parti itu mempunyai disiplin.

Tegasnya, mana-mana pemimpin yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus diambil tindakan disiplin.

"Mana-mana yang terbukti cuba memusnahkan parti perlu diambil tindakan segera. Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti.

"Saya ulang, kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan, tindakan mesti diambil segera," katanya.

Tambah Zahida, pengkhianat parti adalah barah kepada Umno.

"Barah jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama Umno.

"Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat kelima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita," katanya.