"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terkejut punya pasal, 10 MPV kejar pasangan kekasih sejauh 130km

Omar Ahmad

am@hmetro.com.my

TANGKAP layar video tular. FOTO tular

TANGKAP layar video tular. FOTO tular

Johor Bahru: Sepasang kekasih yang mengelak dari pemeriksaan polis dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sejauh 130 kilometer (km) berjaya ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada jam 11.30 malam anggota Balai Polis Bandar Datuk Onn bersama rakan setugas membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.

Katanya, polis kemudian mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan dan semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri.

"Anggota kemudian meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS. Enam kereta peronda MPV dari IPD JBS dan empat kereta peronda MPV dari JBU yang sedang bertugas turut membantu menahan suspek.

"Suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam.

"Pemandu ialah lelaki tempatan berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 18 tahun. Hasil soal siasat awal mendapati suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat peronda MPV menghampiri kenderaannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.

Katanya, polis turut merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168.

"Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Januari depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu).

Sebelum ini, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat yang memaparkan beberapa MPV polis mengejar sebuah kereta di Jalan Skudai di sini.

Pahang dedah 29 nama ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ palsu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pahang menyenaraikan 29 nama Datuk dan Datuk Seri palsu menerusi notis awam yang dikeluarkan susulan pemalsuan senarai nama penerima pingat daripada Sultan Pahang.

Notis itu menyenaraikan nama individu terbabit yang tiada dalam senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur.

Tindakan itu dibuat susulan kes pemalsuan senarai nama penerima pingat yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

Setiausaha kerajaan negeri, Sallehuddin Ishak berkata, pihaknya setakat ini hanya mengeluarkan notis awam berkenaan dan tiada tindakan lain, lapor Berita Harian.

Dalam kes ini, dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah dihadapkan ke mahkamah 28 Dis lalu, kerana didakwa mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri tanpa kebenaran, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh lelaki berusia 30 tahun dan 36 tahun itu didakwa tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan sejumlah nama individu ke dalam laman sesawang itu sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes terbabit akan disebut semula pada 13 Feb depan.

Amanat khas Anwar pagi esok: Membangun Malaysia Madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai mengikuti dan memahami amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ yang akan disampaikan beliau esok secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri berkata ia sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baru buat negara.

“Esok saya akan berada di PICC di Putrajaya bagi mencerakinkan mengenai bagaimana negara dan tatanan ini dapat menjunjung nilai dan etika pemerintahan yang baik buat rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar dijadual menyampaikan amanat bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ pada 11.30 pagi sebelum menyempurnakan montaj dan gimik pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani’.

Buku yang diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Amanat khas berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen media tempatan seperti Bernama TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain menerusi Facebook Live Institut Darul Ehsan.

Program dijadual bermula 9 pagi dengan ucapan aluan Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Datuk Ismail Yusop.

Ia disusuli slot ‘Wacana Membangun Negara Madani’ pada 9.15 pagi yang akan disertai empat panel jemputan antaranya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Eksekutif IDE Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman,

Turut dijemput sebagai panel dalam wacana berkenaan ialah Presiden Kolej Dar al-Hikmah Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia Prof Dr Haslinda Abdullah.

Dif-dif kenamaan dijadual tiba pada 11 pagi dan majlis dijadual tamat pada 1 tengah hari.

- Bernama