"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sharir Samad: Amaran Hadi permulaan langkah jatuhkan kerajaan

Malaysiakini

Pemimpin kerajaan perlu berwaspada dengan amaran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bakal tumbang.

Veteran Umno, Shahrir Samad, berkata ini kerana PAS juga merupakan pencetus kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Jatuhnya PH. Naiklah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pencetusnya ialah PAS.

"Sekarang sekali lagi PAS memulakan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menaikkan kembali sebuah kerajaan tajaan PAS.

"Sekali dah berjaya. Kali kedua, cuba lagi. Hadi sudah beri amaran awal Mac 2023. Tunggu dan lihat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, presiden PAS itu dilaporkan menjangkakan kerajaan hari ini yang diterajui Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .

"Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

"Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir turut mengimbau bibit kejatuhan kerajaan PH selepas pertemuan pemimpin PAS itu dengan Mahathir.

Katanya, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada Feb 2019, Hadi telah berjumpa Mahathir yang ketika itu perdana menteri PH.

Selepas dua perjumpaan dengan Mahathir, presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan menyokong bekas pengerusi Pejuang itu sebagai perdana menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

"Kemudian, enam ahli parlimen BN telah, tanpa pengetahuan Umno, juga mengisytiharkan sokongan yang sama kepada Mahathir. Kenyataan mereka ini dibuat sebelum PRK Parlimen Tanjung Piai.

"Kedua-dua pengisytiharan sokongan ini adalah petanda pelaksanaan "Langkah Sheraton" di mana PAS dan sekelompok ahli parlimen Umno-BN menyokong Mahathir sebagai PM," katanya.

Polis tembak mati isteri

Bernama

Seorang anggota polis berpangkat Lans Kopral menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa telah berlaku tembakan di rumah suspek.

“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.

“Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

Yusharifuddin berkata mayat mangsa telah dibawah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya.

- Bernama

MENU RAHMAH, INISIATIF TANPA MODAL YANG MEMBUATKAN PAS SEPERTI HILANG AKAL

SHAHBUDIN HUSIN

Setakat ini, sejak terbentuknya kerajaan perpaduan, dua perkara didapati paling membuatkan Pas sakit hati dan benci sekali.

Pertama, Anwar Ibrahim dan kedua, Menu Rahmah.

Selepas Tun Mahathir Mohamad, Pas barangkali dalam kedudukan kedua sebagai suspek paling benci kepada Anwar.

Sama seperti Tun Mahathir, Pas juga sentiasa cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, baik ketika parti itu berada dalam Pakatan Rakyat dan lebih agresif setelah ia tidak lagi menjalin sebarang kerjasama dengan PKR.

Apabila akhirnya Anwar berjaya juga menjadi Perdana Menteri, tentulah bukan kepalang sakit hati dan bencinya Pas kepada Pengerusi PH itu.

Ditambah ketika itu bagaimana rakyat dilihat amat menerima baik kepimpinan Anwar dan sentiasa menyerbu ke mana saja beliau pergi, disertai dengan dunia pun sama hangat mengalu-alukannya, hanya Tuhan saja yang tahu betapa meluap-luapnya perasaan benci dan sakit hati Pas itu, terutama sekali Hadi Awang yang di ketika Anwar jadi Perdana Menteri, dia pula telah hilang gaji.

Sebab itu, usaha dan propaganda Pas serta Hadi yang tanpa henti kononnya Anwar akan tumbang tidak lama lagi tidak lain hanya didorong rasa benci dan sakit hati itu saja.

Tiada sebab lain selain daripada itu yang mendorong Pas serta Hadi sentiasa berusaha mencari jalan cuba menebuk atap untuk menjatuhkan Anwar, meskipun disedari kerajaan perpaduan ini dibentuk atas titah Yang Dipertuan Agong.

Malah walau dikepung dengan akta lompat parti sekali pun yang pada hakikatnya kerajaan hanya mungkin bertukar melalui PRU, Pas sentiasa membakar hati para pengikut dan walaunnya tentang kemungkinan Anwar boleh tumbang pada bila-bila masa.

Suka hatilah nak buat apa pun Tok Guru, bak kata Anwar – biarlah Hadi terus merancang dan mengigau.

Yang kedua paling membuatkan Pas benci dan sakit hati ialah pengenalan Menu Rahmah oleh Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tiada usaha atau inisiatif lain daripada kerajaan selain Menu Rahmah yang membuatkan Pas memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk mencari salahnya.

Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan perpaduan untuk menyantuni golongan miskin dan bagi memastikan mereka sentiasa kenyang melalui pengenalan harga serendah RM5 untuk satu hidangan bagi makan tengahari atau malam.

Ia adalah gambaran paling mudah untuk menunjukkan kerajaan perpaduan ini punya perasaan kasih sayang dan ingin membela hidup rakyat semua bangsa.

Inisiatif ini tanpa sebarangg modal dikeluarkan oleh kerajaan, tetapi melalui libat urus dengan persatuan dan pengusaha kedai makan dengan setakat ini, selain lebih 15 ribu kedai makan di seluruh negara terlibat menyertainya, bahkan restoran makanan segera seperti McD, KFC, Burger King, MarryBrown dan pelbagai lagi turut bersama-sama menjayakannya.

Makna kata, melalui pengenalan Menu Rahmah, kebarangkalian untuk rakyat kelaparan tak mampu membeli makanan amat tipis sekali, bahkan boleh pula dengan harga RM5 juga, sesekali menukar selera di restoran makanan segera yang berkenan di hati.

Apabila rakyat gembira kerana boleh makan pelbagai selera dengan harga semurah RM5, parti seperti Pas dengan sendirinya hilang modal untuk menanam kebencian atau menghasut rakyat.

Apa pun serangan yang direka pembangkang kepada kerajaan, akhirnya yang membuatkan rakyat gembira ialah apabila mereka tidak lapar dan boleh makan dengan senang.

Lantaran itulah macam-macam yang cuba dilakukan Pas untuk memburukkan Menu Rahmah, termasuk didakwa sebagai penyebab kanser dan autisme.

Oleh kerana gagal mempertahankan dakwaannya itu dari segi sains perubatan, Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali yang membuat dakwaan bohong itu, sambil tersengih kelat, akhirnya terpaksa memohon maaf atas perbuatannya.

Terbaru, Exco Terengganu Hanafiah Mat pula dilihat seolah-olah memperlekeh Menu Rahmah dengan tersebar video kononnya hidangan itu tidak berkualiti, tidak cukup lauknya dan hanya sedap dimakan setelah dituang dengan air oren sebagai kuahnya.

Perbuatan beliau itu bukan setakat tidak berjaya pun memperlekeh Menu Rahmah, sebaliknya yang menonjol ialah bagaimana beliau secara jelas telah menghina rezeki yang Allah beri.

Rata-rata pengguna media sosial yang menonton video itu mengutuk dan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang sudah “masuk air dalam kepala”.

Agaknya pemimpin Pas itu tidak belajar adab yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui hadis Bukhari yang meriwayatkan baginda tidak pernah mencela makanan di mana apabila suka, baginda akan memakannya, sebaliknya jika tidak menyelerakan, baginda tidak memakannya.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, adab siapa sebenarnya yang Exco Pas itu contohi?

Yang nyata, Menu Rahmah telah membuatkan Pas seperti hilang akal dalam berpolitik dan lupa adab Islam yang sebenar.

Dalam hal ini, kalaulah semua menteri dapat memikirkan satu inisiatif baru bagi setiap kementerian yang menyerupai Menu Rahmah yang kesan langsungnya dapat dirasai oleh rakyat, dicampur dengan kepimpinan Anwar yang terus diyakini, bukan saja pembangkang seperti Pas akan kehilangan modal dan mati akal, malah kerajaan perpaduan ini senang-senang boleh kekal memerintah negara lebih lama lagi. – ShahbudinHusin 03/03/2023.