"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 beranak ditemui mati di bilik sewa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual pencuci rambut ditemui mati bersama dua anaknya di sebuah bilik sewa di Kampung Baru Ampang, pagi tadi.

Mayat tiga beranak itu ditemui oleh seorang lagi penyewa bilik lain unit pangsapuri sama kira-kira jam 7.30 pagi, menurut Berita Harian.

Jasad mereka ditemui di bilik tidur utama selepas sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya bergegas ke lokasi terbabit.

Mayat wanita berusia 42 tahun terbabit ditemui bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 15 tahun.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki mati akibat terhidu bau gas penghidup api.

Pemeriksaan oleh pegawai pembantu perubatan Hospital Ampang mengesahkan semua mangsa telah meninggal dunia lebih dari tempoh 24 jam.

Pas tiada harapan di Simpang Jeram, pemimpinnya ekstrem – bekas ADUN

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Bekas ADUN Pas di Johor menyifatkan angan-angan Pas, yang mahu kembali merampas kerusi DUN Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini sebagai sia-sia kerana parti tersebut sudah tidak relevan di kawasan itu.

Bekas ADUN Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang kini menyertai AMANAH berkata, perjuangan ‘Pas For All’ yang mesra kepada masyarakat bukan Islam sudah tiada apabila Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Apa yang tinggal katanya, hanyalah sekumpulan pemimpin yang agak ekstrem dan sering memainkan isu 3R, raja, kaum dan agama.

“Dulu Pas sesuai dengan jiwa saya, masa itu perjuangan kita mesra kepada masyarakat bukan Islam, bila ada ‘Pas For All’ itu slogan yang dapat sambutan daripada masyarakat Cina, India, luar biasa kita tak jangka, sangat sesuai dengan perjuangan saya.

“Tapi apabila Allahyarham Nik Abdul Aziz meninggal, slogan itu mati, jadi Pas yang tinggal ini sedikit ekstrim dan hari ini nampak lebih ekstrim lagi dengan macam-macam isu Melayu, agama, raja-raja (3R) dimainkan dan ini sudah tentulah tidak sesuai di Simpang Jeram,” katanya seperti dilapor Bernama.

Simpang Jeram merupakan satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Bakri, Muar.

Dahulunya Simpang Jeram dikenali sebagai DUN Sungai Abong, sebelum persempadanan semula dibuat pada 2018.

Sheikh Ibrahim yang menjadi ahli Pas selama 36 tahun berkata, pemimpin ekstrem yang membuatkan beliau tawar hati dengan Pas dan kini menyertai AMANAH sejak 2019.

Menurutnya, perjuangan AMANAH yang turut bermula di Simpang Jeram pada 2015, adalah lebih sesuai dengan situasi masyarakat semasa, lebih terbuka dan lebih bersederhana sesuai dengan konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Bila tak dapat sokongan Cina maka isu 3R ini Pas akan main dan saya percaya selepas ini mereka akan jadi lebih ekstrim memandangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam satu gabungan yang lebih moderate (sederhana), DAP yang lebih sederhana, semua akan lebih bersederhana,” katanya.

Katanya, hasrat Pas yang mahu melahirkan doktor kedua, iaitu kemenangan calon berlatarbelakangkan pakar perubatan di Simpang Jeram melalui pendekatan kempen calon Perikatan Nasional (PN) merawat dan mendekati pengundi sakit, hanya dilihat sebagi gimik bagi meraih undi semata-mata.

“Kerana saya doktor dan anak tempatan di sini, berkhidmat di sini daripada mula saya bertugas pada 80-an hingga hari ini, walaupun saya sudah bersara, saya doktor berkhidmat dan calon berkhidmat dan memberi rawatan kepada penduduk di sini sepanjang saya jadi ADUN.

“Tapi calon PN ini berkhidmat semasa berkempen sahaja, beza berkhidmat semasa kempen untuk menarik pengundi. Dia pernah bertanding sini pada 2018, kalau niat nak berkhidmat di sini dia akan bertanding lagi pada 2022, tapi mana nampak dia punya keikhlasan, lepas kalah lari,” katanya.

PRK di Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan calon PH Nazri Abdul Rahman akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.

Fitnah ceramah politik di masjid, Fahmi saman 3 individu

Bernama
Fahmi Fadzil memfailkan saman terhadap tiga individu termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Dusuki Rani kerana memfitnahnya memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memfailkan saman terhadap tiga individu termasuk blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif turut menyaman penceramah bebas Dusuki Rani serta pemilik dan pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi memberitahu Bernama, ketiga-tiga saman itu difailkan secara berasingan pada 5 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Asheeq Ali & Company.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan anggota Jemaah Menteri.

Menurut plaintif, pihaknya telah telah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Plaintif juga menuntut agar tiga defendan itu membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui akaun laman sosial mereka dan semua media massa dan media atas talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.

Kes saman terhadap Dusuki dan Fauzan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar pada 5 Okt ini manakala kes membabitkan Muhammad Azri pada 9 Okt di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Aisyaf Falina Abdullah.