"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuan Ibrahim Tuan Man: PN jangan terlalu yakin

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: PAS menyifatkan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kelebihan dan peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Kemaman berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia berdasarkan Ahmad Samsuri adalah Menteri Besar Terengganu berbanding calon BN yang bukannya orang politik.

"Dari segi calon insya-Allah ia memberi kelebihan kepada calon PAS berbanding calon BN memandangkan Ahmad Samsuri adalah Menteri Besar dan lebih dikenali berbanding calon BN.

"Kita mengangkat calon daripada Menteri Besar ini bukan saja-saja sebaliknya ia satu keperluan kerana kita mahu membawa agenda negeri ke peringkat pusat secara terus.

"Walaupun kita mempunyai kelebihan, saya mengingatkan jentera Perikatan Nasional (PN) supaya tidak 'over confident', sebaliknya perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman adalah milik kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelntan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Semalam, media melaporkan PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Mohamed Affandi manakala Ahmad Samsuri diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, setakat ini maklum balas dan jentera sangat aktif selain kerjasama antara parti komponen PN juga sudah turun ke lapangan.

"Kita yakin dapat mengekalkan kemenangan kerusi berkenaan dan usaha berterusan perlu dilakukan. Kita juga perlu pastikan peratusan keluar mengundi dapat dipertingkatkan," katanya.

Bekas ahli kongsi gelap peluk Islam dalam penjara

SYAMILAH ZULKIFLI
Mohd Bilal bertanya kepada Muhammad Ridzuan berkenaan ajaran agama Islam
Mohd Bilal bertanya kepada Muhammad Ridzuan berkenaan ajaran agama Islam
Mohd Bilal bertanya kepada Muhammad Ridzuan berkenaan ajaran agama Islam
SEREMBAN - Siapa sangka seorang bekas ahli kongsi gelap menemui hidayah dengan memeluk agama Islam ketika menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka.

T Logeswaran, 38, atau nama Islamnya, Mohd Bilal Abdullah yang dibebaskan pada tahun lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan bergaduh menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan.

Dia terbabit dengan kegiatan gengster kira-kira empat tahun dan bekerja sebagai penarik kereta.

"Bagaimanapun sepanjang bergelumang dalam kongsi gelap, itu kali pertama saya ditangkap selepas menikam tapak tangan seorang lelaki hingga putus.

"Tapi tak sangka kehidupan di dalam penjara telah mengubah saya sepenuhnya sehinggalah seminggu sebelum dibebaskan saya terbuka hati untuk memeluk Islam," katanya ketika ditemui pada Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Kata Mohd Bilal, semuanya bermula selepas dia sering didedahkan dengan agama Islam oleh rakan-rakan banduannya.

Ujarnya, sejak itu dia mula merasakan Islam adalah agama yang paling terbaik dan sekiranya mengenal Islam lebih awal, dia tidak akan terjerumus ke kancah jenayah.

"Lebih kurang dua minggu sebelum dibebaskan, saya mengucap kalimah syahadah di hadapan pegawai penjara dan dua rakan yang mana merekalah memberi nama saya Bilal.

"Sejak peluk Islam, hati saya lebih tenang dan secara rasmi bergelar mualaf pada 5 April tahun lalu dengan mengucap syahadah buat kali kedua di Majlis Agama Islam Melaka sebaik saja dibebaskan dari penjara," katanya.

Mohd Bilal berkata, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan nekad mahu berubah ke arah lebih baik demi anaknya, Muhammad Umar berusia enam tahun yang turut diislamkan sebulan selepas itu.

Tambahnya, dia masih belajar mengenai Islam dan kini tinggal bersama anaknya di rumah disediakan oleh Persatuan Ikatan Ukhwah Saudara Baru Negeri Sembilan(PIUSBNS) di Rahang di sini.

"Saya tidak dapat kembali kepada keluarga kerana mereka masih belum menerima keputusan saya memeluk Islam, tapi kami selalu berhubung.

"Tapi saya tak pernah berhenti mendoakan yang terbaik buat ibu bapa saya," katanya.

Sementara itu kata Mohd Bilal, dia sudah dua bulan tidak bekerja selepas terbabit kemalangan jalan raya yang mengakibatkan sikunya cedera.

Buat masa ini ujarnya, dia mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada PIUSBNS untuk meneruskan hidup dan mahu mencari kerja sebaik pulih dari kecederaan dialami.

"Saya masih bertatih untuk belajar agama dan bagi saya perlu lebih banyak program pemantapan akidah mualaf ini perlu dianjurkan.

"Ini kerana saya dapati ramai mualaf yang sesat dan tidak menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang sebenar," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi PIUSBNS, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah berkata, seramai 40 mualaf berusia 20 hingga 70an yang hadir dalam program yang kali pertama dianjurkan itu.

Guru besar dedah lebih 3 tahun tinggal dalam stor sekolah, hingga bersara wajib

Johary Indan
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video di Tiktok ketika George menceritakan pengalaman tinggal dalam stor sekolah. FOTO TikTok George Odol
TANGKAP layar video di Tiktok ketika George menceritakan pengalaman tinggal dalam stor sekolah. FOTO TikTok George Odol
Kota Kinabalu: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, George Odol mendedahkan pengalamannya tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu.

Dia yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan di sekolah itu pada 2020.

George menceritakan sekolah itu dibina pada 1999 tanpa rumah guru.

"Guru yang bertugas di sekolah itu terpaksa menumpang di rumah penduduk kampung dan bilik darjah (di sekolah) yang diubah suai.

 Bapa dan Guru sekolah ada membina dua rumah ala kadar sebagai kemudahan guru yang berkhidmat di SK Ulu Ansuan itu," katanya menceritakan kisah hidupnya itu yang disiarkan di media sosial, TikTok.

George berkata, pada 2020, selepas ditempatkan bertugas di sekolah itu, dia terpaksa tinggal dalam stor prasekolah dengan keluasan 13.4 meter persegi.

"Agak menyedihkan seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja.

"Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi (yang disediakan) di prasekolah," katanya.
KEADAAN dalam stor yang dijadikan kediaman George selama lebih tiga tahun. FOTO TikTok George Odol
KEADAAN dalam stor yang dijadikan kediaman George selama lebih tiga tahun. FOTO TikTok George Odol
Bagaimanapun, George mengakui sedikit pun tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazan Dusun yang terpaksa mengorbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar untuk datang ke sekolah pedalaman.

Tambahan pula, katanya, kebanyakan murid di sekolah kawasan pedalaman di negeri ini adalah etnik Kadazan Dusun.

"Justeru, jika bukan kami guru (dalam kalangan etnik) Kadazan Dusun datang ke sini untuk mendidik anak Kadazan Dusun di sekolah pedalaman, siapa lagi yang (boleh) diharapkan," katanya yang menerima keadaan itu dengan reda.

George menyifatkan, ia pengorbanan mereka sebagai pendidik yang dihantar bertugas di sekolah pedalaman Sabah.

Bagaimanapun, katanya, pada penghujung perkhidmatannya, sebuah 'rumah panjang' tujuh pintu dibina di sekolah itu.

Namun, George mengambil keputusan tidak menetap di rumah panjang itu untuk memberi keutamaan kepada guru dari luar daerah menetap di situ.