"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Nampak seorang berkutu, kami terus buat operasi'

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my 
MOHD Halim dan guru-guru membantu membersihkan kepala murid yang berkutu. FOTO Mohd Halim Mohamad Zaid.
MOHD Halim dan guru-guru membantu membersihkan kepala murid yang berkutu. FOTO Mohd Halim Mohamad Zaid.
Kuala Lumpur: "Ini rutin cikgu-cikgu di sini," kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar Gua Musang, Kelantan, Mohd Halim Mohamad Zaid, 44.

Kisah guru ini tular apabila video yang dikongsikan di TikTok yang memaparkan dia bersama guru lain membersihkan kutu murid di sekolah itu meraih perhatian pengguna laman sosial.

Mohd Halim yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Muzik berkata, aktiviti mereka itu lebih pada mahu menyantuni murid yang juga anak Orang Asli.

"Anak-anak polos ini kami santuni macam anak sendiri. Itu memang rutin kami. Cuma tak tentu. Tapi dalam setahun kerap juga. Kadang tak rancang pun.

"Nampak seorang macam berkutu saja, kami terus buat operasi. Cikgu di sini sangat prihatin. Lagi pun ramai yang tinggal di asrama. Bukan cikgu saja, tapi kakitangan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) juga sangat ambil berat.

"Ada ketika kami akan bawa mereka ke sungai sambil mandi manda. Kami bawakan syampu dan mereka syampu rambut.

"Murid di sini okay saja. Tidak ada apa-apa masalah. Cikgu pun okay. Tiada kata arahan wajib buat tak. Ini semua atas kerelaan sendiri. Kita anggap macam anak sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anak-anak dari suku Temiar itu seronok dan tersenyum.

Menurutnya, kebanyakan masa dihabiskan di bersama murid dan tidak terhad pada waktu persekolahan saja.

"Kalau nak kata mereka mempunyai masalah berkutu, tak juga. Bukan mereka nak sebenarnya. Lagi pula mereka ini bukan macam kita di bandar.

"Kita dulu zaman kecil pun ada juga masalah kutu. Saya masa kecil pun ada. Sebab kita rasa boleh tolong sikit-sikit apa salahnya bantu.

"Kami ini 24 jam di sekolah sebenarnya. Kami beramai-ramai borak dan main bola dengan murid, budak perempuan di sini main permainan macam zaman kita kecil dulu iaitu main batu seremban dan getah. Jadi, kita melayan mereka kalau ada masa.

"Kami juga akan ke rumah anak murid Orang Asli untuk ziarah, bertanya khabar mereka sambil kenal rapat dengan keluarga serta kenal budaya mereka," katanya.

Menurutnya yang sudah tiga tahun berkhidmat di sekolah itu berkata, dia akan pulang ke rumah di Kota Bharu, Kelantan pada setiap hujung minggu.

"Saya baharu tiga tahun di sini. Nak kata jatuh cinta dengan sekolah pedalaman, saya positif saja. Pergi mana-mana saya positif saja.

"Kalau kerja di bandar lengkap dengan segala hal pun tapi kerja asyik merungut itu ini pun tak guna juga kan.

"Saya memang akan balik KB setiap minggu. Isteri dan anak-anak di sana. Cuma minggu ini saja tak balik sebab minggu depan dah mula cuti sekolah. Rasa serba salah nak balik," katanya.

2 suspek yang cederakan polis miliki 23 rekod jenayah lampau ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis retak pergelangan tangan kanan selepas terjatuh dalam pergelutan dengan dua suspek kes dadah di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Walaupun cedera, anggota polis itu bersama rakan setugasnya berjaya menahan kedua-dua suspek, yang kemudian didapati mempunyai 23 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah, lapor Bernama.

Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota Balai Polis Kubang Kerian mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Bandar Satelit Pasir Tumboh sekitar 3.45 pagi.

Kereta itu didapati dinaiki lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an.

Apabila dikesan, suspek memecut kenderaan itu untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan di Kampung Pangkal Pisang, Melor.

“Semasa proses tangkapan dibuat, kedua-dua suspek bertindak agresif serta berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota polis ditendang sehingga terjatuh, mengakibatkannya mengalami kecederaan retak pergelangan tangan kanan.

“Anggota polis yang cedera bersama rakan setugas tetap berjaya memberkas kedua-dua suspek berkenaan,” katanya.

Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut menemukan ketulan-ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM700 di dalam kereta tersebut, dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC.

“Polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 23 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah serta turut dikehendaki oleh pihak polis kerana terbabit aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kota Bharu,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 15 Dis depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Bersatu akan dipinggirkan oleh Pas

HarapanDaily.com

K PRAGALATHl

Mutakhir ini Bersatu semakin lemah dan akan dipinggirkan oleh rakannya dalam Perikatan Nasional, Pas kata pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam ucapannya hari ini sempena konvensyen tahunan DAP Johor.

“Sejak PRN dan PRK ini, adalah jelas bahawa Bersatu semakin lemah dan besar kemungkinannya akan dipinggirkan oleh Pas.

“Jelas untuk semua juga bahawa Muhyiddin tidak akan jadi PM lagi dan Bersatu tidak lagi relevan. Yang relevan adalah parti Pas.”

Liew berkata bahawa kerelevanan Pas terserlah kerana menguasai kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Bersatu mengetuai mana-mana kerajaan negeri.

Jadi pembangkang bertanggungjawab, PN
Liew yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut memberi cadangan bernas supaya PN bertindak sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.

“Setahun selepas PRU ke-15, sudah tiba masanya pembangkang hari ini memeterai Memorandum Persefahaman atau Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan Kerajaan Perpaduan seperti apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dengan Kerajaan Dato’ Seri Ismail Sabri pada September 2021.

“Pembangkang hari ini perlu memikul peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan bukan lagi kumpulan yang hanya berminat tebuk atap.

“Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan akan mentadbir sehingga tamatnya penggal ke-15, dan bersiap sedia untuk bersaing dalam PRU ke-16.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor Dato Onn Hafiz Ghazi di atas kerjasama erat yang terbentuk di antara Pakatan Harapan dan Umno.

“Salah satu faktor utama yang memenangkan Pakatan Harapan di kedua-dua kerusi ini adalah kerana Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan jentera Umno Johor bertungkus lumus berkempen seolah-olah Umno sendiri yang bertanding,” kata Liew, merujuk kepada pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram.”

Beliau turut menyatakan prinsip yang menjadi asas kerjasama tersebut.

“Pertama, oleh kerana kita berada dalam kerajaan yang sama di peringkat persekutuan, sudah tentu baik untuk kita bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Barisan Nasional yang juga rakan komponen dalam Kerajaan Persekutuan; dan

“Kedua, dalam hal-hal di mana pihak kerajaan negeri telah memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk menyumbang idea demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat, usul-usul atau rundingan-rundingan tersebut akan kita memberi sokongan secara rasmi.”