"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX: ‘Tangkap zaman Mahathir, dakwa zaman Muhyiddin, penjara zaman Ismail Sabri, akhirnya Anwar juga salah’

Firdaus Azil

Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, rakyat tak akan lupa bahawa penangkapan bekas Perdana Menteri itu dilakukan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara, kemudian pendakwaan era Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anwar berkata beliau hairan mengapa dipersalahkan, sedangkan beliau sendiri pernah membentangkan rayuan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mengapa harus pertimbang? Kerana dia pernah jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, pernah ada jasa pada negara... kedudukan dia di penjara... laporan penjara baik, tak ada timbul masalah. Kesihatan dia umumnya baik tapi sesekali pergi hospital ulang alik. Itu pandangan saya bagi sepenuhnya.

“Jadi terpulang kepada YDP Agong (ketika itu). YDP Agong tangguh keputusan dua kali sehingga Januari tahun lalu. Dan Januari, dikurangkan hukuman dari RM210 juta jadi RM50 juta dan penjara enam tahun dari 12 tahun.

“Saya bukan ahli (Lembaga Pengampunan), saya ahli sebelum 2023 kerana masa itu saya jalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas itu baru saya lantik (Datuk) Dr Zaliha (Mustafa), dia hadir saya tak hadir.

"Jadi keputusan (Lembaga Pengampunan) itu dihantar kepada Ketua Pengarah Penjara, dan itu hukuman dia,” katanya lagi.

Anwar berkata, sikap sesetengah pihak tertentu yang menuduh Kerajaan sengaja menyembunyikan Titah Adendum YDP Agong bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah adalah tidak wajar sama sekali.

"Surat tu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.

"Dan Peguam Negara kemudian... bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Program Muhibbah MADANI Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.

"Kita tertakluk pada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh. Proses di mahkamah itu diteruskan," katanya lagi.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikatakan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sementara itu dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau hairan dengan sikap sesetengah pemimpin parti yang mempolitikkan isu tersebut, khususnya Pas yang satu ketika ‘menghentam Najib dari hujung rambut sampai hujung kaki’.

Katanya lagi, beliau mengharapkan agar pihak berkenaan turut bersuara dalam memperjuangkan nasib orang lain yang turut didapati bersalah atas kesalahan mencuri.

“Ini dunia, ada orang kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Ini politik sekarang ni, saya tak ada masalah, tetapi apa dia yang Pas ni (dahulu) punya hentam Najib dari hujung rambut sampai hujung kaki, la ni (sekarang) junjung kerana politik.

“Tapi kerana banyak fitnah, semua nak jadi pakar, nak jadi hero. Kalau nak jadi hero, jadi hero rakyat, bela orang susah ramai, berapa ramai orang susah masuk jel kerana curi motor…mana dia suara hangpa?

“Mana dia suara ketika orang susah ditangkap, mana pejuang ni kalau nak jadi pembela. Jadi ini yang saya nak tekankan. Kita sekarang ini masalah ekonomi ada, kos sara hidup ada, harga barang masalah, kita cuba tumpu sebab tu kita sentiasa bekerja kuat,” katanya lagi.

Gadis hilang ditemukan di masjid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang pada Jumaat ditemui selamat di sebuah masjid di Ampang Jaya, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Sepang, Shan Gopal Krishnan, berkata gadis itu ditemui pihaknya di sebuah masjid pada jam 3.05 pagi dan diserahkan kepada keluarganya.

“Aduan kehilangan remaja itu diterima daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu selepas dia yang keluar rumah pada petang Khamis lalu tidak kembali ke rumah seperti biasa.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui selamat di sebuah masjid di Ampang Jaya, awal pagi ini dan siasatan awal mendapati tiada sebarang kegiatan jenayah dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Jumaat lalu, ibu kepada remaja terbabit membuat laporan polis selepas anaknya yang meninggalkan rumah keluarga mereka di Taman Bandar Bukit Puchong, Putra Perdana, Sepang, petang Khamis lalu, tidak kembali seperti biasa.

Polis kemudian mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang.

Shan Gopal berkata, penemuan pelajar Tingkatan 2 itu hasil kerjasama orang awam yang berkongsi maklumat selepas kes itu diuar-uarkan.

“Kerjasama dan sokongan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan kes ini diselesaikan dengan cepat dan selamat,” katanya.

Bersatu terperangkap, kata penganalisis selepas pemimpin keluar parti

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Bersatu kelihatan terperangkap dalam percanggahan pandangan berkait himpunan solidariti bekas perdana menteri Najib Razak, selepas seorang pemimpinnya keluar parti baru-baru ini.

Mengulas pengumuman bekas setiausaha Wilayah Persekutuan Mahathir Rais semalam, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata keadaan itu boleh dielakkan jika pucuk pimpinan Bersatu menyatakan pendirian jelas berhubung penyertaan dalam himpunan Isnin lalu.

“Saya lihat Bersatu terperangkap dan berpecah atas isu solidariti untuk Najib, mungkin menyebabkan hasrat menggantikan Umno sebagai platform perjuangan orang Melayu semakin hilang arah,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mahathir yang juga bekas ketua bahagian Segambut umum meninggalkan Bersatu kerana mendakwa ‘perjuangan sudah tidak selari’.

Beliau sebelum ini mengkritik pembabitan rakan Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS dalam himpunan menyokong Najib, mendakwa ia mencerminkan kesediaan parti komponen itu berkompromi dengan prinsip demi kepentingan politik.

Antara pemimpin kanan PAS yang hadir ialah Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Turut serta Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.

Menurut Mahathir, sabitan dan hukuman ke atas Najib dalam kes SRC International peristiwa penting bagi Malaysia, dan menyifatkan perhimpunan solidariti itu sebagai mengecewakan.

Hamzah dilapor berkata, mereka hadir ke himpunan itu untuk dengar sendiri sama ada wujud titah adendum berkait tahanan rumah Najib, dalam kes di Mahkamah Rayuan hari itu.

“Orang Melayu menyertai Bersatu pun keliru sama ada Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin masih kekal pendirian tolak Najib atau telah mula bersamanya menerusi tindakan Hamzah bersama rakan-rakan,” kata Tawfik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pada Khamis bertegas kehadiran pemimpin PN tidak bermakna gabungan itu menukar pendirian berkait skandal 1MDB.

Tawfik bagaimanapun berkata, sebarang percanggahan tidak akan berlaku jika Presiden Muhyiddin tidak membisu, misalnya secara jelas menolak pembabitan Bersatu.

Sebelum ini, penganalisis berpandangan Bersatu tiada pilihan selain membenarkan ahli menghadiri himpunan tersebut, kerana parti itu semakin hilang sokongan berbanding PAS.

“Dehidrasi politik Melayu dalam Bersatu semakin serius sehingga berlaku perbalahan sesama sendiri,” kata Tawfik tidak menolak kemungkinan ahli Bersatu akan keluar parti kerana keliru dengan pendirian mengenai Najib.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berpandangan, tidak mustahil PN akan berpecah kepada beberapa kem, ditambah dengan tindakan PAS cuba berbaik dengan Umno dalam isu Najib.

“Kemungkinan perpecahan lebih besar akan berlaku jika pimpinan tidak mengawal situasi ini segera,” katanya.

“Perkara terakhir yang Bersatu inginkan adalah mereka yang keluar menubuhkan parti sendiri atau memilih untuk kembali kepada Umno.”