"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Dua termasuk seorang warga asing ditahan terlibat perlombongan emas secara haram, peralatan dan jentera bernilai RM640,000 disita

Ing Boon Seng
Sebahagian peralatan dan jentera yang digunakan untuk aktiviti perlombongan emas secara haram di Gua Musang dirampas.
Foto ihsan PSP Bukit Aman
KUALA LUMPUR: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman membongkar aktiviti perlombongan emas secara haram hasil penahanan dua lelaki di kawasan ladang sawit Sungai Terah, Guan Musang, Kelantan.

Pelbagai peralatan, jentera dan kenderaan yang dianggarkan bernilai lebih RM640,000 disita.

Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah dijalankan Pasukan Risik PSP Bukut Aman, Jabatan Keselamatan Dalan Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan jam 6 petang semalam.

Bertindak atas maklumat risikan, dua lelaki termasuk seorang warga Myanamar yang dikesan dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk siasatan.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah serta lesen perlombongan yang dibenarkan.

“Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa menyita pelbagai jentera dan peralatan termasuk dua buah jengkaut, sebuah pacuan empat roda, enjin pam penyedut, palong, diesel dan karpet pemprosesan yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Tambah SAC Rosli, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi khazanah negara secara haram demi kepentingan peribadi.

Menurut beliau, pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang dilaksanakan melalui operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan telah membolehkan tindakan diambil secara menyeluruh, pantas dan berimpak tinggi, bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan jenayah, malah merangkumi aspek tanah, imigresen dan keselamatan negara.

“Aktiviti perlombongan emas secara haram bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada negara dari segi hasil, malah membawa ancaman serius terhadap alam sekitar, keselamatan awam serta kedaulatan undang-undang.

Justeru, tindakan tegas dan bersepadu akan terus dilaksanakan tanpa pengecualian,” tegas beliau.

Wanita bertudung senam aerobik pakai skirt pendek disiasat JAIS

Nurul Hidayah Bahaudin
Tangkap layar tular di aplikasi TikTok menunjukkan aktiviti senaman aerobik yang tidak beradab didakwa berlaku di Bukit Badong, Kuala Selangor.
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat rakaman video aktiviti senaman aerobik yang tular baru-baru ini dan didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor.

Rakaman video itu memaparkan seorang wanita bertudung memakai baju putih dan skirt pendek ketika aktiviti senam aerobik.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu-individu yang terbabit dalam acara itu.

“Pihak JAIS memandang serius perbuatan itu dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana ia sangat tidak beradab.

“Malah, perbuatan itu mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau berkata, JAIS memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di talian 1800-88-2424.

Kedah: Bapa, dua anak kecil maut dalam nahas di Kulim

AZAHAR HASHIM
Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Sungai Kob, Kulim hari ini. - Foto ihsan JBPM Kedah
KULIM – Polis mengesahkan tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kulim-Mahang di sini petang tadi ialah seorang pekerja kilang, Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, bersama dua anaknya, Muhammad Affan Mikhael, 2, dan Muhammad Aqeel Afnan, 4.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 27 tahun yang merupakan pemandu Proton S70 mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton S70 dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva dinaiki tiga beranak.

“Jenazah tiga beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim, manakala kenderaan terlibat dihantar ke Balai Trafik Kulim untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE