"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suri rumah direman bantu siasatan bersubahat samun, seksa dan paksa rakan berbogel

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
DUA wanita direman kerana bersubahat dengan tiga lelaki yang menyamun, mengurung serta dan cucuh kaki rakan dengan pemetik api. FOTO Alias Abd Rani
DUA wanita direman kerana bersubahat dengan tiga lelaki yang menyamun, mengurung serta dan cucuh kaki rakan dengan pemetik api. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Suri rumah antara dua wanita direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana disyaki bersubahat mengurung rakan sendiri sebelum mangsa disamun, dicucuh dengan pemetik api dan dipaksa berbogel dengan video dirakam tiga lelaki tidak dikenali, semalam.

Perintah reman ke atas suspek masing-masing berusia 29 dan 46 tahun dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Ia membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 342 (pengurungan salah), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Menurut laporan, mangsa berusia 32 tahun bekerja sebagai pembantu kedai menerima panggilan daripada salah seorang suspek dan meminta datang ke sebuah rumah di Taman Banang Heights, di sini, pada jam 7 pagi semalam.

Sebaik tiba, mangsa mendapati terdapat tiga lelaki tidak dikenali turut berada dalam rumah suspek.

Salah seorang suspek kemudian bertindak menahannya dan tidak membenarkannya keluar dari rumah.

Seorang suspek lelaki bertindak memukul serta membakar pergelangan kaki mangsa menggunakan pemetik api. Mangsa juga dipaksa menanggalkan semua pakaian sebelum salah seorang daripadanya merakam gambar dalam keadaan bogel.

Bukan itu sahaja, malah suspek turut mengugut mahu mencederakan mangsa dengan pisau sekiranya enggan menyerahkan kad bank kepadanya.

Mangsa ketakutan lalu menyerahkan kad terbabit dan suspek kemudiannya mengeluarkan wang berjumlah RM4,200 serta merampas telefon bimbit milik mangsa.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/ Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menjalankan siasatan lalu menahan kedua-dua suspek terbabit malam tadi.

Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila rakan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana mengesyaki menipu mereka dalam urusan pembelian dadah.

Akibat kejadian itu, mangsa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan disahkan mengalami kecederaan pada pergelangan kaki dan muka.

Susulan itu, polis giat mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia 30-an kerana disyaki menjadi dalang utama dalam kejadian ini.

Polis buru lelaki warga asing peluk, cium pelajar di sekolah

Noor Sara Mohamad Hanif
am@hmetro.com.my

Arau: Polis memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan insiden tular membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid sekolah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 41 tahun pada jam 1 tengah hari, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pada jam 5.45 petang semalam, pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.

"Pengadu mendapati seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang dan terus menuju ke kawasan padang tempat mereka berlatih.

"Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab yang munasabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk segera menghalang perbuatan lelaki terbabit.

Katanya, pengadu bertindak mengarahkan suspek beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.

"Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan.

"Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand," katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis sudah berjumpa bersama pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan.

Katanya, pihak sekolah memaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkan dia membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.

"Laporan itu kini dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit," katanya.

Kelantan: Jurujual kereta didenda RM5,000 simpan video lucah dengan kekasih

Hidayatidayu Razali

KOTA BHARU: Seorang jurujual kereta didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan video lucah, bulan lalu.

Tertuduh, Wan Amirul Izuddin Wan Mohamad, 28, membuat pengakuan itu hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala telefon bimbit milik tertuduh dilupuskan polis selepas tamat tempoh rayuan 14 hari selaras dengan Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah.

Wan Amirul Izuddin dituduh memiliki video lucah di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, di sini, pada 11.45 malam, 10 April lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan kekasihnya yang berusia 27 tahun melakukan hubungan intim di sebuah rumah, di sini pada 11.45 malam, 10 April lalu dan tertuduh merakam aksi itu yang kemudian disimpan dalam telefon iPhone 15 Pro Max miliknya.

Bimbang rakaman tersebar, kekasih tertuduh membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.