"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 ditahan tertembak rakan, sorok mayat hingga reput

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan kerana tertembak rakan ketika memburu dan menyembunyikan mayat mangsa di kawasan semak.

Mayat lelaki dalam lingkungan 50-an itu ditemui di kawasan hutan Kampung Takula, dekat Sipitang, beberapa hari selepas kejadian.

Ketua Polis Sipitang, Awang Anak Suanda, berkata polis menerima laporan dibuat ahli keluarga atas kehilangan mangsa selepas keluar bersama dua rakannya.

“Kes dibuka pada Selasa lalu sebagai kes orang hilang selepas ahli keluarga memaklumkan mangsa keluar pada Jumaat (3 Julai) bersama dua lagi rakannya.

“Pada awalnya mereka dikatakan keluar untuk memancing. Dua rakannya pulang pada Ahad, namun mangsa tidak pulang sehingga Selasa menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada maklumat mangsa dipercayai tertembak ketika memburu dan dua rakan mangsa yang ditahan Jumaat lalu membawa polis ke lokasi mayat disembunyikan.

“Mayat ditemui dalam keadaan mula mereput. Siasatan awal mendapati suspek bertindak menyembunyikan mayat kerana panik dan takut selepas mangsa maut akibat tertembak.”

Katanya, dua suspek dalam lingkungan 50-an itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk turut dirampas daripada suspek.

Wanita rentung selepas kereta dipandu terbakar

Mohd Roji Kawi
Wanita ditemukan rentung di dalam kereta yang terbakar di Selangau, Sibu malam ini.-Foto JBPM
KUCHING: Seorang wanita ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kejadian di jejambat Jalan Sibu-Bintulu, di Selangau, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Simbut Sigai, 49, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.24 malam.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta sedang terbakar membabitkan bahagian enjin dan hadapan kenderaan.

“Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat seorang mangsa masih terperangkap di dalam kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya, sebelum meneruskan operasi menyelamat.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) kerana mangsa didapati masih tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi berjaya dikawal pada jam 8 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 8.53 malam selepas anggota bomba melakukan kerja pembersihan di lokasi.

Mayat wanita tinggal sendirian lepas 6 hari meninggal ditemui

NUR SHARIEZA ISMAIL

SEREMBAN – Bau kurang menyenangkan yang dihidu penduduk dari sebuah unit kediaman di Flat UDA Ampangan di sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.39 petang itu, polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, dengan bantuan bomba, pintu rumah berjaya dibuka sebelum mangsa ditemui meninggal dunia kira-kira sejak enam hari lalu di dalam kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang tanda pergelutan, unsur jenayah atau kesan pecah masuk.

“Siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai tinggal bersendirian dan mempunyai sejarah beberapa masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR) dan siasatan diteruskan sementara menunggu keputusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE