"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu selepas 6 tahun penjanaan 'Ulul Albab'

MAT ZAIN MAT ISA
Renungkan beberapa fakta berikut. Pertama, seramai 6,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu dikenal pasti sebagai pelajar berisiko terbabit dalam berbagai masalah sosial.

Kedua, seorang pelajar perempuan di Besut yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada rakannya sehingga berhutang RM1,000 bersubahat membuka laluan rumahnya dipecah masuk rakannya itu bagi melunaskan hutangnya.

Ketiga, seorang pelajar perempuan dari Marang tergamak menggadaikan tubuhnya untuk diratah samseng jalanan hanya dengan tukaran nilai tambah kredit telefon bimbit berharga RM5.

Keempat, hasil Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan (NHMS), Terengganu berada di kedudukan ketiga kadar peningkatan masalah gangguan mental kanak-kanak dan remaja.

Kelima, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu mendedahkan sepanjang 2009 seramai 127 pelajar ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah, termasuk curi motosikal, pecah rumah, rogol dan pemerasan.

Demi Allah apa yang dimuatkan di atas bukannya rekaan atau figmentasi penulis. Semua kes dan fakta itu dikutip dari paparan dua tabloid harian edisi Terengganu antara Jumaat (26 Februari) hingga Isnin (1 Mac) lalu.

Fakta pertama tadi memetik pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Menurutnya, masalah ponteng sekolah mencatatkan peratusan tertinggi. Selebihnya membabitkan gejala samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah.

Ada pun kes di Besut itu memetik kenyataan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria. Katanya, pelajar Tingkatan Empat itu mengambil kesempatan melunaskan hutangnya ketika dia dan keluarga bercuti ke Kuala Lumpur hujung minggu itu.

Pelajar itu membuka selak tingkap rumah yang sebelum itu sudah dikunci bapanya bagi memudahkan dua rakannya yang juga pembekal video lucah dilangganinya memecah masuk rumahnya. Beberapa barang kemas milik ibunya didapati hilang sebaik keluarga itu pulang.

Minat remaja belasan tahun terhadap aksi lucah rupanya tidak terhenti sekadar sebagai penonton video. Mereka juga sanggup melakukannya sendiri. Itulah yang terbukti dengan pengakuan pelajar Tingkatan Tiga dari Marang. Akhbar turut menyiarkan gambarnya dari sisi belakang dengan pakaian 'topless'.

Selain menjaja tubuh, remaja itu turut mengakui menjadi anggota kumpulan samseng jalanan sejak lebih setahun lalu dan bergiat aktif di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Dengan bayaran hanya RM5 dia sedia menyerahkan tubuhnya kepada lelaki.

"Saya akan ikut sesiapa saja yang memenuhi permintaan saya dan selepas setahun menjadi minah rempit, saya sering bertukar pasangan dan sehingga kini sudah lebih 20 lelaki mendampingi saya," akuinya tanpa rasa malu.

Tidak syak lagi pengakuan berani sebegitu mengundang seribu persoalan mengenai aspek asuh didik dan penyemaian nilai murni hidup terhadap mereka. Sungguh menjijikkan, mereka bagaikan hidup tanpa ilmu dan kesedaran tentang dosa-pahala.

Apakah didikan agama dan akhlak tidak sampai kepada mereka? Ataukah mereka sebenarnya dibelenggu kaedah berfikir yang sudah tidak normal? Satu soalan agak sensitif, tetapi wajar ditanyakan, apakah perlakuan sedemikian menggambarkan kesempurnaan kesihatan mental remaja kita?

Jika hujah-hujah dikemukakan Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dijadikan sandaran, persoalan itu mungkin lebih mudah dirungkaikan. Menurut Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi, peningkatan masalah gangguan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja di Terengganu antara lain disebabkan faktor persekitaran dan pembangunan fizikal yang terlalu pesat yang tidak seimbang dengan pendedahan dalam aspek kerohanian.

"Kebanyakan kanak-kanak tidak mampu berhadapan dengan pembangunan yang berlaku terlalu pesat sedangkan pendedahan yang diterima dalam aspek kerohanian tidak diberikan penekanan," katanya.

Menurutnya lagi, desakan hidup yang melampaui kemampuan diri dan kehendak sebenar seseorang anak juga mengakibatkan kecelaruan dalam diri mereka.

Meskipun akhbar-akhbar berkenaan sekadar melaporkan apa yang kebetulan berlaku pada hari-hari terbabit dan tidak berhasrat mengaitkan antara satu kes tadi dengan yang lain, hubungkait itu boleh diperhati dan dinilai sendiri oleh para pembaca.

Misalnya, akibat kurang pendedahan terhadap nilai agama beserta desakan hidup yang cintakan kebendaan, maka generasi muda mudah terjebak dengan segala macam aktiviti jenayah. Statistik dikeluarkan polis berhubung tangkapan pelajar tadi mengesahkan andaian tersebut.

Seringkali disebutkan orang bahawa apa pun isu yang disorot media atau termuat di dada akhbar hanyalah sebahagian amat kecil berbanding jumlah kes sebenar di luar sana. Kita percaya kes dan fakta berhubung salah laku sosial dan kebejatan moral remaja juga tidak terkecuali.

Cuma agak mendukacitakan apabila kes-kes tersebut berlaku di Terengganu, negeri yang telah melancarkan program penjanaan generasi Ulul-Albab. Sudah lebih enam tahun program itu dicanangkan kerajaan negeri. Sepatutnya ia telah menampakkan kesan positif, paling tidak pun lebih baik berbanding negeri-negeri lain yang tiada program Ulul-Albab!

Jumlah Pusat Hiburan Langgar Syarat

TUAN HAJI MOHD. SALLEH BIN MAN
Berapakah jumlah Pusat Hiburan Awam di Pulau Pinang yang melanggar syarat Pusat Hiburan serta tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri.

Mengikut statistik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), sejak tahun 2009, terdapat sebanyak 34 pusat hiburan yang melanggar syarat Pusat Hiburan. Di samping itu, sebanyak 25 premis hiburan yang mempunyai lesen tetapi telah ditarikbalik atas perakuan Pihak Polis manakala 9 premis hiburan diambil tindakan penguatkuasaan kerana beroperasi tanpa kebenaran/lesen.

Bagi Majils Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sepanjang tahun 2009, terdapat sebanyak 2 kes bagi pusat hiburan awam di seluruh Seberang Perai yang didapati telah melanggar syarat-syarat Lesen Hiburan Awam.

Kerajaan negeri amat tegas dengan pihak pengusaha pusat hiburan yang melanggar syarat supaya tidak timbul masalah sosial nanti. Pengusaha yang melanggar syarat akan dibatalkan lesen hiburan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

PBT akan memantau premis tersebut supaya pengusaha tidak beroperasi. Walau bagaimanapun selaras dengan norma biasa dan prinsip keadilan, pengusaha dibenarkan merayu kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh 30 hari daripada notis pembatalan lesen.

Satu Jawatankuasa diperingkat negeri yang terdiri daripada agensi-agensi berkaitan seperti Polis, MPPP, MPSP, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Imigresen ditubuhkan untuk meneliti dan menasihatkan mengenai setiap kes rayuan untuk mendapatkan keputusan daripada oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK).

Sepanjang tahun 2009 sehingga bulan Oktober, Pihak Berkuasa Negeri telah menolak 2 kes rayuan lesen hiburan.

GPMS sahkan akan hadir berdebat di P.Pinang

GPMS sahkan akan hadir Debat Perdana Rakyat. Perkara ini disahkan melalui telefon oleh setiausaha GPMS kepada Ahmad Azrizal Tahir, Naib Ketua 1 AMK P.Pinang.

Semalam AMK P.Pinang dan SAMM bersama Chegu Bard menghantar surat jemputan kepada Najib, Khairy dan Reezal Merican di Bangunan UMNO di PWTC supaya hadir ke Debat tersebut.

Manakala AMK P.Pinang, Pemuda Pas P.Pinang dan Pemuda DAP telah membuat sidang media di Bangunan UMNO di Jalan Macalister, P.Pinang.

Adakah Pemuda UMNO P.Pinang dan Dewan Perniagaan Melayu P.Pinang akan mengikuti jejak langkah GPMS?

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/