"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chegubard PKR ditahan kerana aduan hasutan, kata polis

SEREMBAN, 10 Julai: Polis menahan anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shahrin di sini malam tadi kerana mahu merakamkan kenyataannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan di pejabat perhubungan parti itu di Jalan Rahang di sini dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini untuk dirakamkan kenyataannya berhubung tulisan dalam blognya.

“Kita menahannya lebih dua jam dan dia beri kerjasama yang baik. Kita cuma mahu rakam kenyataanya, kalau ada perkataan dalam blognya itu berunsur menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong dan juga institusi raja.

“Sebelum ini ada pihak yang membuat laporan polis mengenai penulisan dalam blognya itu,” katanya di sini, hari ini.

Osman berkata Badrul Hisham ditahan sebelum pukul 9 malam tadi untuk direkodkan kenyataannya dan selepas itu dia dibebaskan dengan jaminan.

Katanya kes ini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
-Bernama-

Bapa nafi larikan anak untuk dijual

Selepas hampir dua minggu didakwa melarikan anak perempuannya untuk dijual bagi membayar hutangnya dengan ah long, seorang bapa hari ini tampil menafikan dakwaan isterinya itu.

Soo Kian Keong, 35, yang hadir bersama anak perempuannya itu, Nicole Soo Siew Qing, 3, di Biro Aduan Awam MCA di sini menjelaskan bahawa dia meninggalkan rumah dengan anaknya itu pada 26 Jun lalu setelah bertengkar dengan isterinya, Kristina, 34.

Soo, yang hanya mengetahui berita tentang dakwaan isterinya itu semalam, berkata dia tiada niat untuk menjual anaknya itu tetapi tertekan setelah bertengkar dengan isterinya itu yang juga seorang warga Indonesia.

Pemandu lori itu sebaliknya mendakwa Kristina mengalami masalah mental selepas melahirkan Nicole dan mereka sering bertengkar.

"Saya bukan nak jual anak saya sendiri sebab nak bayar hutang...memang saya ada hutang dengan ah long tapi hutang itu dah nak selesai," katanya kepada pemberita di Wisma MCA hari ini.

Kristina membuat laporan kepada biro itu setelah Soo dan Nicole tidak pulang ke rumah selepas membeli makanan.

Soo berkata beliau kini dalam proses penceraian dengan Kristina dan akan memohon hak penjagaan terhadap Nicole manakala anak bongsunya Soo Chean Keat, sembilan bulan, akan dijaga oleh isterinya.

Sementara itu Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata beliau cuba menyelesaikan masalah perkahwinan pasangan itu tetapi gagal.

"Saya cuba selesaikan masalah mereka supaya tidak cerai tapi mereka masih berdegil...sekarang ini suaminya nak minta Nicole di bawah jagaannya dan Chean Keat di bawah jagaan isterinya, tapi isterinya mahu kedua-dua anak," katanya.

Bagaimanapun, Kristina bersetuju untuk membenarkan suaminya membawa kedua-dua anaknya balik ke rumah suaminya pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Kristina dan anak-anaknya akan menumpang di Rumah Kebajikan Ti-Ratana mulai minggu depan setelah gagal melunaskan bayaran sewa rumahnya.

-Bernama-

Akhbar Tamil 'serang' pemimpin MIC satu sama lain

Pemimpin MIC hari ini diingatkan supaya tidak lagi menggunakan akhbar bahasa Tamil untuk menyerang antara satu sama lain, kata pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya diamalkan memandang masyarakat India merupakan komuniti minoriti yang berjumlah hanya 9.8 peratus daripada penduduk negara.

"Ini ada tiga suratkhabar India asyik bantai sana sini... Hari ini bantai sana, dua tiga hari kemudian yang sana bantai yang sini, tidak habis-habis," katanya tanpa menamakan individu terbabit.

"Anda sebenarnya memusnahkan satu sama lain, anda memusnahkan BN," tambahnya.

Sebaliknya, akhbar tersebut sepatutnya digunakan untuk menyatukan masyarakat India dengan menerangkan bagaimana dasar kerajaan boleh membantu mereka, kata perdana menteri.

Dalam ucapannya itu ketika merasmikan perhimpunan agung MIC ke-64 hari ini, Najib juga berkata MIC perlu mengenepikan politik berasaskan kasta bagi menjamin perubahan kepemimpinan parti.

Katanya, MIC sebaliknya perlu memilih pemimpin berdasarkan kemampuan sesorang calon dan bukannya berasakan taraf atau kasta seseorang.

"Kata tidak sepatutnya menjadi kayu pengukur dalam memilih pemimpin. Pilihlah mereka berdasarkan keupayaan, tidak kiralah (kasta) mereka atas sikit atau bawah sikit," katanya.