"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kaki putus jadi bantal (Gambar)


New Delhi – Kaki seorang lelaki yang terputus akibat kemalangan jalan raya dijadikan bantal ketika dia dimasukkan ke wad kecemasan kerana hospital di Jahnsi itu kekurangan bantal.

Susulan itu, pihak kerajaan mengarahkan supaya siasatan dilakukan terhadap kejadian pelik yang berlaku di Hospital Kolej Perubatan Maharani Laxmi Bai Jhansi kelmarin.

Menurut laporan media India, Ghanshyam, 28, yang bekerja sebagai pencuci bas sekolah dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Mauranipur.

Hindustan Times melaporkan, pengetua kolej itu, Dr Sadhna Kaushik berkata, jawatankuasa empat ahli ditubuhkan untuk mengenal pasti kakitangan hospital yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

“Dr Rajeev Sinha (ketua jabatan pembedahan) yang mengetuai jawatankuasa itu akan menyediakan laporan dalam tempoh 48 jam. Tindakan akan diambil berdasarkan keputusan laporan terbabit.

“Saya sudah menemui 30 orang di wad kecemasan terbabit namun, tidak seorang pun mengaku ada melihat siapa melakukannya,” katanya yang menganggap kes itu sebagai khianat.

Kolej perubatan itu juga akan melihat rakaman kamera litar tertutup untuk mengesan kakitangan yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang disifatkan sebagai memalukan.

Menurut akhbar Times of India, Sadhna berkata, ahli keluarga mangsa termasuk abang dan ibunya menemani ke hospital tersebut sambil membawa kakinya yang terputus itu.

Namun menurutnya, seorang daripada mereka tidak menyerahkan kaki itu kepada doktor atau kakitangan lain selepas selesai urusan formaliti undang-undang.

Keluarga itu membawa sebiji bantal yang digunakan pihak hospital untuk melapik paha mangsa yang berada di atas pengusung.

Ibu mangsa, Devki memberitahu pihak berkuasa, doktor meletakkan kaki yang terputus itu untuk mengalas kepala memandangkan mereka tidak cukup bantal.

Ketua perubatan, Harish Chandra Arya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sebaik selesai siasatan. – Agensi
-kualalumpurpost 

Nik Omar pewaris Nik Aziz dalam politik Kelantan?

Zulkifli Sulong
 Nik Omar pewaris Nik Aziz dalam politik Kelantan?
Nama Nik Omar Nik Abdul Aziz disebut-sebut sebagai calon menteri besar untuk parti Amanah, namun masih terhalang untuk menyertai parti dan seterusnya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.
NIK Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin ternama PAS meninggalkan legasi besar dalam parti itu tetapi tidak semua anak lelakinya kini kekal dalam parti Islam tersebut.

Ada di kalangan cahaya matanya itu cenderung untuk menyertai parti seteru PAS iaitu Amanah dan mungkin menjadi calon menteri besar untuk parti tersebut.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz itu, Nik Omar, 54, hingga sekarang masih belum menegaskan minatnya itu disebabkan tekanan keluarga.

Nik Omar dikatakan sukar untuk menzahirkan minatnya itu kerana allahyarham bapanya merupakan seorang bekas menteri besar dan pemimpin PAS paling dihormati.

Orang yang paling dihormati oleh Nik Omar iaitu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak pula tidak senang jika beliau menyertai Amanah dan bertanding pilihan raya kerana bimbang akan berlaku perpecahan dalam keluarga besar Nik Aziz itu.

"Nik Omar ini sangat minat untuk menyertai dan aktif dalam Amanah tetapi kerana tekanan keluarga, nampaknya sukar bagi beliau," kata Dr Mujahid Yusof, rakan rapat Nik Omar.

Lebih-lebih lagi memandangkan Amanah sudah diberikan pelbagai label buruk oleh pemimpin PAS termasuk oleh adik beliau sendiri, Nik Abduh.

Nik Abduh merupakan AJK PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.

Seorang lagi adik beliau, Nik Rahim adalah aktivis Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Islam yang sering meraih kontroversi atas pendirian berhubung isu melibatkan agama Islam dan bangsa Melayu.

Adik beliau seorang lagi, Nik Adli adalah bekas tahanan ISA yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan ketika belajar di Pakistan dahulu.

Namun tumpuan utama kini adalah pada Nik Omar, yang sudah disebut-sebut sebagai antara calon parti Amanah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nik Omar kini mewarisi sekolah agama yang diasaskan oleh ayah beliau, iaitu Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumah Nik Aziz.

Sebagai pengetua sekolah agama swasta ini, Nik Omar mahu menjadikan sekolah ini sebagai penyambung pemikiran Nik Aziz khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau juga mahu sekolah ini menyelami suasana pendidikan yang diterima Nik Aziz semenjak kecil sehingga mencorakkan kehidupannya.

Bakal menteri besar

Sebagai anak bekas menteri besar paling berpengaruh di Kelantan, Nik Omar juga disebut sebagai antara calon menteri besar Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesesuaian Nik Omar menggantikan arwah ayahnya sebagai menteri besar disebut oleh Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa dalam beberapa majlis sejak November 2016.

Malah, Amanah sanggup memberi kemenangan percuma sekiranya PAS meletakkan Nik Omar sebagai calon di sebuah DUN yang pernah diwakili Nik Abdul Aziz, kata Husam.

"Kalau PAS calonkan Nik Omar untuk DUN ini, pihak kita tidak akan meletakkan calon lain dan mahu beliau menang seperti arwah ayahnya mewakili rakyat di sini," kata Husam seperti dipetik dalam laporan Malaysia Dateline.

Nama Nik Omar kembali disebut sebagai bakal calon MB Amanah pada bulan lalu apabila Istana Kelantan memberi isyarat negatif kepada Husam dengan menarik balik darjah kebesarannya.

Namun rakan rapat beliau, Mujahid, tidak berapa setuju dengan cadangan mencalonkan Nik Omar sebagai menteri besar kerana berpendapat, ulama tersebut tidak suka terlibat dalam suasana politik yang sentiasa tegang.

"Nik Omar ini orangnya lembut. Beliau tidak suka suasana tegang dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan dalam politik. Jadi saya tidak fikir beliau sesuai untuk menjadi MB kerana ia perlukan orang yang keras hati," kata Mujahid.

Mujahid, ahli Parlimen Parit Buntar, Perak mengenali Nik Omar dengan rapat kerana pernah tinggal bersama selama lima tahun ketika sama-sama belajar di Universiti Al Azhar, Mesir lebih 30 tahun lalu.

"Dia lebih senior setahun daripada saya tetapi kerana kedua-dua kami anak pemimpin kanan PAS ketika itu, hubungan kami sangat rapat," kata naib presiden Amanah yang merupakan anak mursyidul am PAS pertama, Yusof Rawa itu.

Nama Nik Omar turut disebut dalam rundingan kerusi PH Kelantan. Beliau dikatakan akan diletak oleh Amanah di kerusi DUN Kijang yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa, kubu PAS selama ini.

"Amanah juga sedia meletakkan beliau di kerusi ayahanda beliau dulu, Chempaka jika beliau sedia bertanding," kata Mohamad Zainal Abidin Hussein, AJK Amanah Kelantan.

Namun, kata Zainal, sehingga kini belum ada kata putus sama ada Nik Omar sedia bertanding atau tidak.

"Kita tidak tahu lagi sejauh mana kesediaan beliau bertanding dalam pilihan raya kali ini sebab dia terikat dengan keluarganya.

"Namun sejak timbul isu audio yang dikatakan suara adiknya Nik Abduh itu, suasana agak lain," kata Zainal.

Beliau merujuk kepada penularan satu rakaman audio yang mendakwa Nik Abduh terbabit mengatur kerjasama di antara PAS dan Umno dengan melibatkan sejumlah wang.

Nik Abduh bagaimanapun menafikan beliau merupakan individu yang bercakap dalam rakaman yang tersebut, namun Zainal mendakwa, kesannya sudah dapat dilihat.

"Ada ahli keluarga besar Tok Guru (Nik Aziz) yang kata, dengan audio ini Nik Abduh akan kalah di semua kerusi jika beliau bertanding," kata Zainal yang merupakan bekas pegawai penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS), sebuah badan di bawah kerajan negeri Kelantan.

Berdasarkan perhitungan kasar itu, sekiranya Nik Abduh tidak lagi memegang kuasa politik, hanya Nik Omar sahajalah merupakan pewaris keluarga Nik Aziz dalam arena politik di Kelantan.

Sahabat saya Dr Maszlee masuk parti - Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Jika orang meminta saya menyenaraikan antara sahabat baik dalam hidup saya, maka al-fadhil Dr Maszlee Malik antara mereka. Saya lama mengenalinya dan sentiasa menganggap beliau mempunyai keistimewaan yang tersendiri khususnya dalam aliran-aliran pemikiran politik. Demikian juga dalam sejarah gerakan Islam yang pelbagai. Beliau juga handal dalam pandangan fikah. Beliau tokoh ilmuwan.
Ya, seperti sifat ahli akademik, ada perkara yang kami setuju dan tidak setuju, tapi beliau sahabat yang baik untuk saya. Saya mengasihi beliau sebagai sahabat bahkan bagaikan adik-beradik saya sendiri. Banyak perkara yang saya belajar dari beliau ataupun menjenguk dari tingkap yang dibuka oleh beliau melalui perbincangan dan perbahasan. Ini khususnya berkaitan pemikiran Barat. Apatah lagi, bahasa Inggeris beliau bagus dan banyak membaca bahan barat. Pada hari-hari awal saya mendekati penulisan barat -sebelum menjadi felo di Oxford- Dr Maszlee merupakan antara rujukan saya dalam memilih bahan-bahan penting.

Semasa saya dilantik menjadi mufti Perlis buat kali pertama pada tahun 2006-2008, beliau antara tokoh yang saya pilih menganggotai Jawatankuasa Fatwa Perlis. Kemudian beliau ke United Kingdom (UK) menyambung pelajaran. Selepas itu saya pula tamat sebagai mufti bagi kali pertama 2008, saya terus ke Lampeter, Wales UK. Di UK, kami bersahabat lebih rapat walaupun tempat tidak sama. Beliau di Durham. Namun kami selalu berjumpa di London.

Hari-hari yang datang dan pergi menjadikan kami lebih dekat atas pelbagai perkembangan dakwah dan pemikiran dalam negara ini. Dalam kerangka pemikiran fikir, saya rasa kami tidak jauh walaupun ada perkara-perkara yang kami berbeza. Dalam saat-saat cabaran yang getir dalam dakwah saya, beliau sentiasa ada sebagai sahabat yang dekat. Maka, dalam banyak perkara saya mengambil kira pandangan beliau dalam menilai sesuatu secara seimbang.

Apabila saya dilantik semula sebagai mufti Perlis untuk kali kedua pada 2015, saya sekali mencalonkan nama beliau sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Ini atas kelayakan beliau di bidang fikah dan pemikiran Islam. Beliau aktif dan bernas apabila hadir mesyuarat. Walaupun kadangkala saya kurang gembira sebab beliau sering juga 'gagal hadir' mesyuarat kerana sibuk.

Di sudut kembara, kami pergi umrah bersama. Pernah ke Scotland bersama. Pernah ke Jerman bersama. Pernah ke Republik Czech bersama. Pernah ke Gaza bersama. Pernah ke Amerika Syarikat bersama dan pelbagai lagi. Pendek kata beliau antara sahabat yang dekat.

Saya pernah bawa nama beliau untuk pelbagai cadangan. Namun, 'semangat politik' beliau sentiasa mengatasi saya. Saya orang biasa. Beliau orang luar biasa dalam semangat berpolitik. Orang seperti beliau memerlukan platform yang membolehkan beliau melebarkan cakupan pemikiran politik yang hendak diketengahkan. Saya rasa beliau perlu pegang satu institusi kajian politik yang bebas tapi teguh. Sukar untuk diperoleh institusi seperti itu di negara kita.

Beberapa hari lepas, pada subuh hari beliau menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau akan menyertai parti BERSATU. Beliau meminta saya mendoakan beliau dalam tahajud. Saya pada mulanya terdiam sebab saya rasa itu bukan aliran politik beliau. Saya fikir sahabat baik kami Wan Saiful Wan Jan mempengaruhi beliau. Ini kerana pada saya aliran asal pemikiran politik Wan Saiful Wan Jan juga berbeza dari BERSATU. Wan Saiful juga sahabat kami bersama. Namun setelah Dr Maszlee jelaskan kepada saya, saya dapat faham pola pemikiran mereka. Ya, saya akur politik itu sentiasa fleksibel dan ijtihad politik juga sentiasa mengikut keperluan semasa atau maslahah yang hendak dicapai.

Saya bertanya beliau: Sudah istikharah? Beliau jawab: "Sudah dan berulang kali."

Alhamdulillah, saya doakan Allah merahmati keputusan beliau. Sebagai sahabat saya akan mendoakan yang terbaik untuk beliau. Bak kata Nabi SAW ketika melepaskan pasukan pejuang (bermaksud):

"Berjalanlah kamu dengan nama Allah.”

Ada orang bertanya saya, tidakkah mahu masuk politik sebab dua sahabat ternama telah masuk. Saya jawab, saya orang biasa. Bak kata pujangga: "Datang tidak bertambah, pergi tidak berkurang".

Ada pun mereka ahli dalam bidang tersebut. Semoga mereka dirahmati Allah.