"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat lelaki ditemukan dalam tangki kumbahan, dipercayai dibunuh

Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my
POLIS menjalankan siasatan penemuan mayat lelaki dalam tangki septik di sebuah rumah di Taman Seri Bistari. FOTO Auris Faqrurazzi
POLIS menjalankan siasatan penemuan mayat lelaki dalam tangki septik di sebuah rumah di Taman Seri Bistari. FOTO Auris Faqrurazzi
Nibong Tebal: Bau busuk dari sebuah rumah di Taman Seri Bistari di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam tangki kumbahan hari ini.

Polis sebelum ini menerima laporan orang hilang daripada keluarga mangsa di daerah Seberang Perai Tengah.

Mangsa, yang dipercayai berusia lingkungan 50-an, ditemukan dengan tangan dan kaki terikat di dalam tangki kumbahan di belakang sebuah rumah teres setingkat di Lorong 7, berhampiran dapur.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
 
Polis dimaklumkan jiran yang menyedari bau busuk datang dari rumah berkenaan sebelum pemeriksaan dijalankan di premis itu.

Mayat mangsa yang dipercayai berada dalam tangki kumbahan berkenaan selama dua hari kemudian dikeluarkan polis dengan bantuan anggota bomba.

Anak saudara mangsa turut membuat laporan selepas mendapati RM30,000 dipindahkan daripada akaun bank mangsa ke akaun sebuah kedai runcit di Sungai Bakap pada Isnin lalu.

Pemeriksaan dilaporkan mendapati pemilik kedai runcit itu diarahkan untuk memindahkan wang berkenaan ke sebuah bank di Myanmar.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungai Bakap semalam turut memperincikan beberapa transaksi mencurigakan terdahulu membabitkan akaun mangsa, termasuk pemindahan wang ke akaun perniagaan dan akaun peribadi.

Polis menyiasat kematian mangsa, transaksi kewangan yang didakwa berkenaan serta motif kejadian.

Tiada ulasan: