Minderjeet Kaur
Penganalisis berkata Umno tak mungkin serah jawatan itu dengan mudah walaupun tekanan akar umbi PAS semakin meningkat untuk terajui Putrajaya.
Penganalisis berkata desakan yang semakin meningkat dalam PAS untuk parti itu menuntut jawatan perdana menteri berisiko menjejaskan kerjasama dengan Umno untuk PRU16.
PETALING JAYA: Desakan dalam PAS supaya parti itu menuntut jawatan perdana menteri boleh menjadi punca ketegangan dengan Umno sekiranya kedua-dua parti Melayu itu bekerjasama untuk PRU akan datang, kata penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata PAS mempunyai keyakinan dan alasan yang kukuh untuk menuntut jawatan itu selepas memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU 2022, berbanding 26 kerusi yang dimenangi Umno.
“Jadi, apabila Pemuda PAS bercakap tentang perdana menteri daripada PAS, mereka sedang menghantar mesej kepada Umno: ‘Kami bukan lagi rakan kongsi junior’,” kata Zaharuddin kepada FMT.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melihat peningkatan keyakinan dalam PAS, dan berkata gesaan sebelum ini supaya PAS mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu kerana kekuatannya lebih besar dalam gabungan itu.
Pada muktamar PAS minggu lalu, Ketua Pemuda PAS Kedah Ilyas Ahmad berkata parti Islam itu sepatutnya tidak lagi memberi laluan kepada parti lain untuk jawatan perdana menteri, kerana PAS sendiri ada calon yang layak.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga sebelum ini berkata bahawa parti itu mempunyai calon perdana menteri untuk PRU akan datang, tetapi hanya akan mendedahkannya selepas melihat jumlah kerusi yang dimenangi setiap parti
Perkara ini berlaku ketika Umno dan PAS memperbaharui kerjasama politik mereka, setelah masing-masing bekerjasama melalui Barisan Nasional (BN) dan PN dalam PRN Negeri Sembilan bulan lalu.
Susunan itu dijangka diteruskan kepada PRN Melaka akan datang.
Bagaimanapun, Syaza berkata Umno berkemungkinan besar akan bertegas untuk mendapatkan jawatan perdana menteri sebagai sebahagian daripada mana-mana perjanjian untuk bekerjasama dengan PAS.
“Itulah yang akan diminta oleh Umno sebagai balasan untuk bekerjasama dengan PAS. Dan Umno tahu mereka boleh memintanya kerana PAS amat menyedari bahawa perdana menteri daripada PAS akan menjadi sangat tidak popular dalam kalangan orang ramai,” katanya.
“Tetapi jika Umno mengambil jawatan Perdana Menteri, walaupun PAS mempunyai lebih banyak kerusi, hubungan itu akan cepat menjadi keruh.”
Syaza berkata PAS boleh mengurangkan kebimbangan sekiranya calon parti itu menjadi perdana menteri dengan mengemukakan tokoh yang dilihat tidak seperti pemimpin tradisional PAS yang lain seperti Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, profil Samsuri yang juga menteri besar Terengganu itu boleh menjadikannya lebih diterima pengundi dan rakan politik.
Bagaimanapun, Zaharuddin berkata Umno masih mempunyai kelebihan dari segi rangkaian politiknya di seluruh negara dan pengalaman mentadbir di peringkat persekutuan selama beberapa dekad, manakala PAS kekal lebih tertumpu dari segi geografi.
“Di sinilah pakatan PAS-Umno boleh menjadi sangat rumit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan