Zuliaty Zulkiffli
SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang tular di media sosial kerana didakwa meminta wang daripada orang awam sebelum menjerit terhadap seorang pemilik kenderaan selepas permintaannya tidak dilayan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan jam 11 malam berhampiran sebuah kedai nasi kandar, di sini.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Bakar Kapor, di sini, dikesan selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Berdasarkan video berkenaan, suspek dipercayai meminta wang daripada seorang pemilik kenderaan di hadapan sebuah kedai buku di pusat perniagaan Taman Pekan Baru, di sini.
Namun, selepas permintaannya tidak dilayan, suspek dipercayai menjerit terhadap mangsa.
Kejadian itu menjadi perhatian selepas suspek didakwa memegang objek menyerupai parang, sekali gus menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan pelanggan dan pekerja premis, khususnya wanita.
Hanyan berkata, bagaimanapun sehingga kini, polis masih belum menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan