Shakira Buang
Ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini disifatkan sebagai isyarat “perang” terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata, luahan Zahid dalam ucapan dasarnya mengesahkan keresahan dan kebimbangan yang selama ini dirasai anggota parti itu terhadap kerajaan.
“Memang, apa yang telah diluahkan setelah lapan tahun (selepas BN kalah pilihan raya umum) dia tunggu, hari ini dia luahkan segala-galanya dan luahan itu luahan perang.
“Jadi kita bersedia untuk berdepan dengan apa saja kebarangkalian dan kemungkinan yang akan berlaku,” katanya kepada Malaysiakini selepas ucapan dasar Zahid di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Menurut Mustafa, isyarat yang diberikan Zahid itu dijangka menjadikan perbahasan pada PAU kali ini lebih panas.
Katanya, Umno bukan sahaja bersedia untuk berdepan dengan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Anwar, malah berhasrat untuk menawan semula Putrajaya.
“Saya rasa tak nak tambah banyak sebab apa yang dia cakap itu selama ini kita dah cakap dan hari ini dia mengesahkan keresahan dan kebimbangan, kesakitan hati kita orang Umno.
“Dan dia dah mengesahkan tadi, insya-Allah, bukan saja perang dengan kerajaan yang ada sekarang khususnya Anwar, kita juga bercita-cita untuk menawan balik Putrajaya,” katanya.
Mustafa turut menyifatkan ucapan dasar Zahid sebagai satu manifesto sekiranya Umno berjaya kembali menguasai Putrajaya.
“Ucapan presiden tadi sebagai manifesto sekiranya kita berjaya memenangi Putrajaya.
“Jadi saya tak nak cakap banyak sebab segala-galanya telah diluahkan oleh presiden tadi dan kita hanya tunggu saat dan ketikanya untuk kita meneruskan amanat tadi dan untuk menjalankannya,” katanya.
Hubungan Zahid-Anwar
Ditanya sama ada penegasan dan luahan Zahid itu menjadi bukti hubungan antara Presiden Umno berkenaan dengan Anwar kini tidak lagi sehaluan, Mustafa berkata perkara itu tidak lagi boleh disembunyikan.
“Tidak boleh disembunyikan lagi, sahih, sah dan tak ada benda nak sembunyikan lagi,” katanya.
Bagaimanapun, dia berkata kedudukan Zahid dan Anwar yang masih berada dalam kerajaan menyebabkan kedua-duanya perlu mengekalkan hubungan secara rasmi.
“Jadi, apa kedudukan sekarang ini oleh kerana kedua-duanya berada dalam kerajaan terpaksalah bermanis muka tapi hakikatnya tidak lagi,” katanya.
Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan berbeza dan enggan membuat tafsiran bahawa ketegasan Zahid itu membuktikan dia dan Anwar kini tidak lagi sehaluan.
“Itu tafsiran masing-masing, saya lebih suka melihat ini sebagai ucapan daripada bakal kerajaan akan datang.
“Hala tuju yang jelas untuk masa depan negara kita,” katanya ketika diminta mengulas sama ada ketegasan Zahid dalam ucapan dasarnya membuktikan hubungan timbalan perdana menteri itu dengan Anwar tidak lagi sebulu.
"Ucapan Zahid jelas bagi hala tuju Umno dan BN dalam pilihan raya yang akan datang, saya rumuskan ucapan ini, sebagai ucapan bakal perdana menteri untuk kerajaan akan datang," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan