SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Lima lagi suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk permohonan reman, petang tadi. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!
SEBERANG PERAI – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seorang lelaki tempatan yang ditemukan berikat dalam tangki kumbahan di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd Ghapar berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kes berkenaan diklasifikasikan semula daripada Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini selain perkembangan terkini dalam siasatan kes berkenaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif serta punca kejadian, selain mengesan dan menahan mana-mana suspek yang terlibat,” katanya di sini, malam ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 10 suspek ditahan reman selama tujuh hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, polis menerima laporan kehilangan seorang lelaki tempatan yang dibuat pada 7 September lalu, manakala pada 9 September, satu mayat ditemukan di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal.
“Bedah siasat yang dijalankan hari ini mengesahkan identiti mangsa, sekali gus membawa kepada pengklasifikasian semula kes berkenaan sebagai kes bunuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan