"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Pelajar gugur bayi, minta bantuan masjid kebumikan

MEDIA MULIA
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi seorang pelajar dipercayai melahirkan bayi di tandas asrama sebuah kolej di Dungun, Rabu lalu.
DUNGUN – Tindakan seorang pelajar perempuan meminta bantuan pengurusan sebuah masjid untuk menguruskan pengebumian bayinya membongkar kejadian dia melahirkan seorang bayi lelaki di tandas asrama sebuah kolej, di sini, malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan penemuan mayat bayi itu pada pukul 10.48 malam tadi dan siasatan awal mendapati pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi itu di tandas asrama selepas mengalami keguguran. 

Katanya, bayi yang dilahirkannya itu dianggarkan berusia lapan bulan. 

“Pelajar itu telah membungkus bayi yang dilahirkannya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan simpan di dalam loker asrama,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pelajar terbabit kemudian menghubungi pihak pengurusan sebuah masjid bagi meminta bantuan pengebumian, namun pihak terlibat pula telah memaklumkan perkara itu kepada pengurusan kolej berkenaan.

Katanya, polis akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan selain mendapatkan keterangan daripada saksi berkaitan.

“Mayat bayi dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Tiada ulasan: