Fazli Ahmad

Bomba mengusung mayat pelancong Jerman yang meninggal dunia selepas terjatuh di Gunung Jasar, Cameron Highlands, hari ini.- Foto NSTP
CAMERON HIGHLANDS: Seorang pelancong Jerman maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Jasar di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi, ketika Jorg Habelbusch, 58, mendaki gunung terbabit bersama isteri.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan seorang pelancong cedera ketika mendaki gunung itu pada jam 12.04 tengah hari.
Menurutnya, sejurus mendapat laporan, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi.
Katanya, bomba terpaksa mendaki laluan curam dan mengambil masa lebih sejam untuk tiba di lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan, mangsa terjatuh di kawasan lurah bekas laluan air berhampiran puncak gunung.
“Ketika tiba di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Zulfadli berkata, bomba dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands, terpaksa mengusung mayat mangsa melalui cerun berbahaya ke kaki gunung.
Menurutnya, operasi membawa turun mayat mangsa mengambil masa hampir tiga jam dan dilakukan ketika hujan lebat.
Isteri mangsa, Marina Dehne, 57, berkata beliau dan suami mula mendaki Gunung Jasar pada jam 10 pagi, hari ini.
Menurutnya, ketika suaminya melangkah kawasan cerun, mangsa terjatuh.
“Muka suami saya terbenam dalam lumpur dan seorang pendaki cuba membantu mengangkat dia tetapi gagal,” katanya ketika ditemui.
Marina berkata, beliau dan suami tiba di Cameron Highlands sejak semalam untuk percutian selama tiga hari di pusat peranginan itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, untuk proses bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan